Tag: harta

  • ‘Saya tiada rumah, harta, anak, ibu bapa, malah semuanya tiada’ – Zaiton Sameon

    ‘Saya tiada rumah, harta, anak, ibu bapa, malah semuanya tiada’ – Zaiton Sameon

    PENANTIAN penyanyi veteran, Zaiton Sameon untuk memiliki kediaman sendiri bakal menjadi realiti apabila menerima Kad Orang Upaya (OKU) dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan, di Kuala Lumpur, hari ini.

    Menerusi kelayakan kategori OKU Fizikal: Traumatic Brain Injuries (Trauma Kecederaan Otak), Zaiton, 66, layak memohon untuk menduduki rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di sekitar Kuala Lumpur.

    “Syukur kerana masalah saya mendapat perhatian. Saya tiada rumah, tiada harta, tiada anak dan ibu bapa serta tiada semuanya.

    “Memang saya ada adik-beradik tapi saya tak nak ganggu mereka. Saya sekarang tinggal dengan anak angkat bernama Ikah (Che Sikah Ismail) sejak 11 tahun lalu.

    “Kami berjumpa pada 2010 di Johor Bahru ketika saya menyanyi di sebuah restoran. Kebetulan dia tiada ibu bapa, jadi dia panggil saya dengan nama ibu,” katanya pada sidang media.

    Penyanyi lagu Menaruh Harapan ini berkata, mereka kini menyewa rumah di Bukit Indah, Ampang dengan kadar sewa RM800 sebulan.

    “Saya kini bergantung harap pada jualan produk makanan Rendang Nasib selain menyanyi. Saya ada juga mohon rumah PPR tapi gagal atas alasan tiada pendapatan tetap.

    “Rasa sedih orang lain dapat tapi saya tak. Mentang-mentanglah saya ‘cacat’. Saya bukan ‘cacat anggota’ tapi ‘cacat otak’. Orang pandang lekeh kata saya tak boleh menyanyi. Padahal lagu-lagu Inggeris pun saya boleh menyanyi dengan baik tanpa lupa lirik,” katanya lapor Harian Metro.

    Menurutnya, dia juga pernah terlambat membayar sewa bulanan rumah kerana wang tidak mencukupi.

    “Bagaimanapun saya bersyukur kerana tuan rumah boleh bertolak ansur. Tambah lagi dia adalah peminat saya sebelum ini,” katanya.

    Penyerahan Kad OKU yang berlangsung di ibu pejabat JKM Wilayah Persekutuan di sebuah hotel di sini dilakukan Pengarah JKM Wilayah Persekutuan, Che Samsuzuki Che Noh.

    Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan, Datuk Zaizalnizam Zainun.

    Sementara itu, Samsuzuki berkata, Zaiton layak menerima kad OKU berdasarkan bukti-bukti seperti surat pengesahan doktor yang diterima pihaknya.

    Zaizalnizam pula melahirkan kesyukuran kerana usaha mereka membawa isu ini kepada JKM mendapat perhatian.

    Pada 1990, Zaiton mengalami kemalangan jalan raya sehingga mengakibatkan anaknya, Azirwan Abu Bakar yang ketika itu berusia 13 tahun meninggal dunia, manakala dia mengalami kecederaan parah di kepala hingga hilang ingatan sementara.

  • Balu Allahyarham Jamaludin Jarjis mohon pinda tuntutan saman harta sepencarian RM1 bilion

    Balu Allahyarham Jamaludin Jarjis mohon pinda tuntutan saman harta sepencarian RM1 bilion

    PUAN Sri Kalsom Ismail, balu bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Allahyarham Tan Sri Jamaludin Jarjis, yang terkorban dalam nahas helikopter, telah memfailkan permohonan bagi meminda tuntutan samannya terhadap empat anak dan ibu mertuanya berhubung harta sepencarian kira-kira RM1 bilion.

    Peguam Syarie, Datuk Sulaiman Abdullah yang mewakili Kalsom selaku plaintif berkata pihaknya akan meminda pernyataan tuntutan saman membabitkan beberapa aset antaranya hartanah.

    “Permohonan plaintif (Kalsom) bagi mendapatkan kebenaran mahkamah untuk meminda tuntutan saman itu akan didengar 17 Mei ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sebutan kes di hadapan Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah Hadi Hamat.

    Sementara itu, Peguam Syarie, Nur Hidayah A. Bakar yang mewakili ibu Allahyarham Jamaludin, Aminah Abdullah, 88, selaku defendan kelima berkata pihak plaintif telah memfailkan permohonan itu pada 25 Mac lepas.

    Menurut Nur Hidayah, pindaan itu membabitkan perkataan hartanah di Boston, Amerika Syarikat yang akan dibuang dalam pernyataan tuntutan tersebut.

    “Selain itu, saham dalam syarikat Rantai Wawasan, isu sumbangan tidak langsung berkaitan penjagaan arwah (Jamaludin) semasa sakit kaki dan isu berkaitan tanah di Selangor akan dimasukkan dalam pernyataan tuntutan yang dipinda itu,” katanya.

    Kalsom, 66, memfailkan tuntutan harta sepencarian termasuk 20 hartanah di Malaysia, Amerika Syarikat, Makkah serta beberapa buah syarikat pada Oktober 2018, dengan menamakan anaknya, Ikwan Hafiz, Nur Anis, Nurul Alyaa, Noor Adilla, dan ibu mertuanya Aminah sebagai defendan.

    Pada 4 April 2015, Jamaludin, yang juga bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, ketika itu berusia 64 tahun, bersama lima lagi maut apabila helikopter yang mereka naiki dari Pekan, Pahang ke Kuala Lumpur terhempas di kawasan kebun getah di Kampung Sungai Pening, Semenyih pada 4.55 petang.

    Turut maut juruterbangnya Kapten Clifford William Fournier, Ketua Setiausaha Sulit kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Seri Azlin Alias, ahli perniagaan Datuk Tan Huat Seang, pegawai peribadi Jamaludin, Razakan Seran serta seorang wanita yang dikenali sebagai Aidana Baizieva. – BERNAMA