Tag: Hari Pahlawan

  • Tentera, polis pahlawan tulen ketika negara berdepan ancaman COVID-19

    Tentera, polis pahlawan tulen ketika negara berdepan ancaman COVID-19

    PENGERUSI Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan Selamat Hari Pahlawan kepada seluruh warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

    Menurut beliau, segala jasa dan pengorbanan mereka dalam menjaga keamanan dan mempertahankan kedaulatan negara tidak terkira besarnya.

    Bekas Perdana Menteri itu berkata, warga ATM dan PDRM telah membuktikan mereka adalah pahlawan tulen ketika negara berhadapan dengan ancaman COVID-19 sedikit masa dahulu.

    “Mereka merupakan petugas barisan hadapan yang sanggup mempertaruhkan nyawa bagi membantu apa sahaja perancangan kerajaan demi mengekang penularan wabak ini tanpa mengira waktu walaupun diri mereka sendiri terdedah kepada ancaman wabak tersebut.

    “Pengorbanan besar anda semua akan dikenang sampai bila-bila dan hanya Allah SWT sahaja yang mampu membalas segala khidmat bakti dan kebaikan anda.

    “Marilah kita sama-sama terus mendoakan kesejahteraan, keselamatan dan kesihatan kepada para pahlawan kita yang masih setia berkhidmat.

    “Kepada yang terkorban dan telah pergi meninggalkan kita semua, semoga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Selamat Hari Pahlawan 2022,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

  • Khidmat bakti ATM, PDRM semasa pandemik Covid-19 tidak ternilai harganya – PM

    Khidmat bakti ATM, PDRM semasa pandemik Covid-19 tidak ternilai harganya – PM

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    PERDANA Menteri menyifatkan sumbangan dan khidmat bakti warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya ketika bertugas di barisan hadapan ketika negara berdepan penularan wabak Covid-19, tidak ternilai harganya.

    Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dalam memerangi pandemik, para pahlawan di barisan hadapan keselamatan membuktikan kesungguhan mereka dalam mempertaruh nyawa demi melindungi rakyat Malaysia, sehingga ada antara mereka turut dijangkiti dan kehilangan nyawa.

    “(Semua khidmat mereka) daripada mengawal sempadan negara kepada sekatan jalan raya, daripada memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi kepada membantu golongan terkesan dengan agihan bakul makanan, daripada membantu menggerak program vaksinasi kepada merawat pesakit Covid-19 yang terjangkiti.

    “Para wira dan wirawati barisan hadapan ini sentiasa sederap bersama-sama pahlawan barisan hadapan kesihatan dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat dan negara,” katanya dalam satu kenyataan sempena Hari Pahlawan hari ini.

    Muhyiddin berkata, kepada perwira yang masih dalam tugasan, jasa dan sumbangan amat dihargai dan didoakan agar semua diberi kesihatan dan dilindungi daripada segala bahaya serta kemudaratan.

    Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan buat ahli keluarga perwira negara yang terkorban semasa bertugas, jasa dan pengorbanan mereka tentunya tidak akan disia-siakan.

    “Semoga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh. Tentunya pengorbanan mereka terus dikenang sepanjang zaman.

    “Segala jerit perih, komitmen serta pengorbanan para pahlawan dan perwira negara, sama ada dahulu atau sekarang adalah demi mempertahankan keamanan, kemakmuran dan kedaulatan negara.

    “Semoga khidmat bakti dan pengorbanan mereka disanjung tinggi dan diberkati. Insya-Allah,” katanya.

  • Negara terhutang budi kepada pahlawan negara-TPM

    Negara terhutang budi kepada pahlawan negara-TPM

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    NEGARA dan rakyat amat terhutang budi kepada pahlawan negara kerana apa yang dinikmati hari ini tidak dapat dicapai tanpa pengorbanan mereka sejak sebelum merdeka sehingga kini.

    Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jasa dan pengorbanan pahlawan negara akan terpahat dalam sejarah yang abadi.

    “Alhamdulillah hari ini tanggal 31 Julai 2021, merupakan Hari Pahlawan yang disambut setiap tahun bagi mengenang jasa pahlawan negara yang tiada titik noktahnya.

    “Tidak kira di darat, laut mahupun di awan biru, pahlawan kita terus bersiap siaga mempertahankan ibu pertiwi dan sanggup melakukan pengorbanan tertinggi demi kedaulatan negara serta rakyat tercinta,” katanya.

    Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata demikian dalam ucapan sempena Hari Pahlawan 2021 yang dimuat naik menerusi Facebook miliknya, hari ini.