Tag: Hari Guru

  • Pengorbanan warga pendidik sungguh besar – Muhyiddin

    Pengorbanan warga pendidik sungguh besar – Muhyiddin

    PENGERUSI Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan Selamat Hari Guru kepada warga pendidik di seluruh negara yang menyambutnya hari ini.

    Berikut adalah ucapan penuh beliau yang disiarkan dalam laman Facebook hari ini:

    Assalamualaikum dan apa khabar semua? Saya harap saudara-saudari sihat walafiat.

    Alhamdullillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan rahmat-Nya kita dapat menyambut Hari Guru pada hari ini.

    Sempena sambutan Hari Guru, saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga kepada seluruh warga pendidik di negara ini atas segala jasa dan pengorbanan mereka mendidik anak bangsa menjadi warga berguna sekali gus menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan negara.

    Saya pasti sambutan Hari Guru tahun ini terutama di peringkat sekolah lebih meriah kerana negara sudah memasuki fasa peralihan endemik dan sudah tidak ada lagi sekatan untuk mengadakan majlis atau acara sambutan termasuk Hari Guru.

    Gunakanlah peluang ini untuk mengeratkan lagi silaturahhim sesama guru atau dengan anak murid.

    Kita tidak akan sesekali melupakan pengorbanan besar para guru dan pendidik ketika negara berhadapan dengan pandemik COVID-19 sehingga kerajaan terpaksa melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

    Ketika itu murid dan pelajar tidak dapat ke sekolah kerana semua sekolah dan institusi pendidikan terpaksa ditutup bagi mengekang penularan virus berbahaya itu.

    muhyiddin hari guru

    Bagaimanapun warga pendidik tidak berdiam diri dan meneruskan tanggungjawab sebagai seorang guru dengan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian bagi memastikan murid dan pelajar dapat belajar seperti biasa.

    Kerajaan juga telah memperkenalkan DidikTV bagi memudahkan pengajaran dan pembelajaran di rumah terutamanya bagi pelajar luar bandar yang mempunyai akses internet dan peranti yang terhad.

    Setelah pandemik reda dan murid sudah dapat kembali belajar semula, sebahagian besar sekolah memperkenalkan pula ’catch up programme’ kepada murid-murid yang terjejas bagi memastikan mereka tidak jauh ketinggalan atau tercicir dalam pelajaran.

    Sungguh besar pengorbananmu wahai warga pendidik dan tidak mampu dibalas dengan apa juga harta dunia. Hanya Allah sahaja yang dapat membalas segala jasa dan khidmat bakti anda selama ini.

    Saya berdoa agar anda semua sentiasa sihat, tabah dan diberi kekuatan untuk terus memikul tanggungjawab mendidik dan memartabatkan anak bangsa.

    Selamat Hari Guru 2022. Sekolah Tunjang Negara SEJAHTERA

  • Guru perlu jadi ikon bentuk keperibadian murid – Radzi

    Guru perlu jadi ikon bentuk keperibadian murid – Radzi

    KERJAYA guru bukan sekadar tertumpu kepada penyampaian ilmu, tetapi ia mendesak para pendidik menjadi ikon penting dalam membentuk kemenjadian murid dengan keperibadian unggul, kata Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin.

    Beliau berkata, peranan mereka sebagai pembimbing penting dalam usaha melahirkan generasi bukan sahaja berilmu pengetahuan tetapi memiliki nilai sahsiah dan berkemahiran tinggi yang seterusnya dapat menabur bakti kepada kesejahteraan negara.

    “Ini dapat dilaksana melalui penjiwaan, penghayatan dan pembudayaan berterusan elemen nilai murni, kemahiran serta sikap positif yang diterapkan secara semula jadi di sekolah,” katanya dalam Perutusan Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali ke-51 Tahun 2022, hari ini.

    Sambutan Hari Guru disambut 16 Mei setiap tahun.

    Justeru, Radzi berharap warga pendidik dapat terus meningkatkan usaha dalam membentuk keperibadian murid daripada pelbagai latar belakang sosioekonomi bertepatan tema Hari Guru tahun ini iaitu ‘Guru Tunjang Sekolah SEJAHTERA’.

    Mengulas lanjut, beliau berkata, terdapat 14 elemen SEJAHTERA terkandung dalam konsep Sekolahku SEJAHTERA, iaitu selamat, seronok, sihat, etika, empati, jati diri, adab sopan, harmoni, tekun, teliti, terampil, eksplorasi, rasional dan artikulasi.

    Katanya, guru dapat menyampaikan penerapan elemen itu melalui pelbagai aktiviti di dalam dan luar sekolah sama ada secara langsung atau tidak langsung.

    “Penerapan elemen SEJAHTERA secara semulajadi sejak dari peringkat awal persekolahan tentunya akan dijadikan amalan dalam kehidupan mereka dan seterusnya diwarisi oleh generasi pewaris negara yang berikutnya,” katanya.

    Tema Hari Guru tahun ini juga menurut Radzi, sangat bertepatan bagi menghargai peranan guru sebagai tunjang penting dalam ekosistem pendidikan untuk menjayakan agenda pembangunan pendidikan negara.

    “Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada hampir 500,000 guru di seluruh negara atas segala pengorbanan, keringat, komitmen dan dedikasi dalam mendidik serta membentuk generasi pewaris negara yang berkualiti tinggi.

    “Akhir kata, semoga guru dan pendidik sekalian terus bersatu hati dan bertekad untuk memartabatkan profesion keguruan demi pendidikan generasi pewaris negara. Ayuh, laksanakan amanah ini dengan jujur, ikhlas dan berintegriti,” katanya. – BERNAMA