Tag: harga

  • Harga RON95 dan diesel kekal, RON97 naik satu sen

    Harga RON95 dan diesel kekal, RON97 naik satu sen

    HARGA runcit petrol RON95 dan diesel, masing-masing kekal pada kadar RM2.05 dan RM2.15 seliter bagi tempoh mulai esok hingga 15 Sept, manakala harga runcit petrol RON97 naik satu sen seliter daripada RM2.72 kepada RM2.73.

    Kementerian Kewangan dalam kenyataan hari ini memaklumkan, harga itu berdasarkan penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik (APM).

    “Bagi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga sebenar minyak di pasaran global, kerajaan mengekalkan harga runcit petrol RON95 pada paras harga siling RM2.05 seliter dan diesel RM2.15 seliter, sungguhpun harga pasaran sebenar bagi kedua-dua produk telah meningkat melebihi paras harga siling yang telah ditetapkan,” menurut kenyataan tersebut.

    Menurut Kementerian Kewangan, kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.- BERNAMA

  • Harga runcit maksimum kit ujian pantas Covid-19 ditetapkan RM19.90

    Harga runcit maksimum kit ujian pantas Covid-19 ditetapkan RM19.90

    KERAJAAN menetapkan harga runcit maksimum bagi kit ujian pantas antigen COVID-19 (ujian sendiri) pada RM19.90 bagi setiap set manakala harga borong ditetapkan RM16 satu set, berkuat kuasa 5 Sept ini.

     Penetapan harga maksimum bagi kit ujian pantas antigen COVID-19 itu diumumkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Menteri Kesihatan Khairy Jamaludin dalam satu kenyataan bersama hari ini.

    “Penentuan harga maksimum borong dan runcit kit ujian pantas antigen COVID-19 (ujian sendiri) dibuat mengikut kewajaran dan kesesuaian bagi penguatkuasaan yang lebih berkesan untuk memastikan harga yang berpatutan dan keberadaan bekalan di pasaran bagi manfaat pengguna dan peniaga,” menurut kenyataan itu.

    Menurut kenyataan itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menentukan harga maksimum borong dan runcit kit ujian pantas antigen COVID-19 berdasarkan pemantauan harga di semua premis dan farmasi di seluruh negara.

    Harga maksimum turut ditentukan berdasarkan maklum balas dari agensi kerajaan seperti Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA),Kementerian Kesihatan (KKM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan perbincangan dengan pengilang, pengimport, peruncit serta persatuan farmasi barangan tersebut.

    KPDNHEP juga telah mengadakan libat urus dengan semua pemain industri tempatan dan pengimport dalam menentukan harga kawalan yang berpatutan bagi semua pihak. 

    Kenyataan bersama itu menyebut KPDNHEP dan KKM bekerjasama dalam melaksanakan penentuan harga borong dan runcit berkenaan susulan permintaan terhadap kit ujian itu yang dijangka meningkat berikutan kesedaran orang ramai bagi membuat ujian sendiri bagi memastikan diri bebas daripada wabak COVID19. 

    “Kerajaan yang prihatin dan serius dalam menangani kos sara hidup yang meningkat pada masa kini dan sebagai tanda sokongan kementerian bagi menangani wabak COVID-19.

    “KPDNHEP juga menjangkakan kesan persaingan akan menstabilkan lagi harga jualan di semua peringkat seperti mana berlaku kepada harga pelitup muka sekarang,” katanya.

    Kenyataan itu menyebut KPDNHEP akan mengawal harga borong dan runcit maksimum bagi kit ujian pantas antigen COVID-19 itu di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.

    Mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 iaitu bagi kesalahan menjual melebihi harga maksimum.

    Menurut kenyataan berkenaan, KPDNHEP menyediakan pelbagai medium penyaluran aduan bagi memudahkan rakyat mengemukakan aduan berkaitan isu harga dan mewujudkan Skuad Tindakan Aduan Rakyat (STAR) dalam usaha menangani aduan rakyat dengan lebih berkesan.

    Kit Ujian Pantas Antigen COVID-19 adalah peranti yang diluluskan secara bersyarat oleh MDA, KKM bagi pengesanan antigen yang menyebabkan penyakit COVID-19 dengan menggunakan sampel bendalir mulut atau swab dari hidung.- BERNAMA

  • Pantau harga, ketulenan produk ‘pulse oximeter’ di pasaran

    Pantau harga, ketulenan produk ‘pulse oximeter’ di pasaran

    PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan menyelesaikan keraguan dalam kalangan pengguna mengenai harga dan kualiti produk ‘pulse oximeter’ yang ketika ini semakin popular di pasaran.

    Pegawai Pendidikannya N. V. Subbarow berkata, pihaknya mendapati produk itu dijual secara dalam talian dan di banyak tempat tanpa sekatan termasuk oleh mereka yang tidak mengetahui apa-apa mengenai perubatan.

    Jelasnya, perkara itu meletakkan pengguna dalam risiko kesihatan yang besar apabila mereka membeli instrumen perubatan tersebut di kedai yang tidak diketahui yang mungkin palsu dan cenderung dijual pada harga lebih tinggi.

    Sehubungan itu, beliau menasihatkan pengguna membeli alat pemeriksaan diri tersebut atas cadangan doktor yang menjualnya dengan betul di farmasi.

    “Instrumen itu adalah alat elektronik yang mengukur oksigen dan nadi pengguna. Jika jika jumlah yang ditunjukkan salah disebabkan produk dibeli adalah palsu, maka ia boleh membahayakan nyawa.

    “Sekiranya pengguna mahu mendapatkan alat tersebut adalah lebih baik membelinya di farmasi atau di kedai ubat terdekat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Menurut beliau, dengan membelinya di farmasi, pengguna boleh mendapatkan penerangan tentang cara mengendalikannya dan boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenainya daripada ejen jualan.

    Selain itu tambah beliau, CAP turut menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengawal harga alat ujian kendiri itu memandangkan setiap kedai menjualnya pada harga yang berbeza.

    Jelasnya, peranti ini sepatutnya hanya boleh dijual di farmasi atau kedai ubat sekali gus dapat memastikan keaslian produk selain harga berpatutan dapat dijamin kepada para pengguna.