Tag: Harga tiket kapal terbang ke Sabah

  • Harga tiket RM3,138 penerbangan sehala KL-Tawau untuk ekonomi, bukan perniagaan

    Harga tiket RM3,138 penerbangan sehala KL-Tawau untuk ekonomi, bukan perniagaan

    BEKAS menteri pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong tampil mempertahankan kenyataannya berhubung harga tambang penerbangan sehala bagi laluan Kuala Lumpur ke Tawau menjelang Aidilfitri mencecah sehingga RM3,138 bagi kelas ekonomi.

    Menurut beliau, harga itu merupakan kelas ekonomi berdasarkan semakan di laman web dan bukan kelas perniagaan seperti mana dijawab Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berhubung isu dibangkitkannya.

    “Dia kata saya tidak dapat bezakan antara kelas penerbangan ekonomi dan perniagaan.

    “Saya hairan sebab semalam saya (lihat) sememangnya adalah tiket ekonomi (KL ke Tawau sehala) RM3,138 dan saya sahkan dua…tiga kali,” katanya di akaun Facebook miliknya.

    Terdahulu, Loke menafikan dakwaan Wee bahawa harga tambang penerbangan sehala Kuala Lumpur ke Tawau menjelang Aidilfitri mencecah sehingga RM3,138 untuk kelas ekonomi.

    Katanya, hanya tiket penerbangan kelas perniagaan itu tersedia untuk perjalanan pada 20 April sempena Aidilfitri.

    Loke berkata, beliau menghubungi Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airlines Bhd (MAB), Izham Ismail untuk mengesahkan dakwaan itu, dan pihaknya dimaklumkan semua tiket kelas ekonomi untuk laluan itu pada Aidilfitri telah habis dijual.

    Mengulas lanjut Ka Siong yang merupakan Ahli Parlimen Ayer Hitam berkata, sekiranya syarikat penerbangan yang memaparkan harga itu tidak betul, beliau menyarankan Loke mengambil tindakan segera.

    Katanya, isu dibangkitkan itu bukanlah untuk menuduh mana-mana pihak, tetapi hanya ingin membawa suara rakyat terkesan dengan harga tiket penerbangan mahal.

    “Kecuali laman web ini memberi satu paparan tak betul… (tetapi) hari ini saya buka sekali lagi laman web dan harga tetap sama. Aplikasi menunjukkan RM3,138 kelas ekonomi.

    “Apakah syarikat ini kaut keuntungan seperti mana dikatakan. Kita nak cari penyelesaian dan tak kisah pemerintahan siapa.. isu ini relevan. Biarlah kita selesaikan secara bersama,” katanya.

    Semalam, Ka Siong kecewa kerana harga tiket penerbangan dari ibu negara ke Sabah melambung tinggi pada musim perayaan walaupun sektor penerbangan semakin pulih selepas pandemik Covid-19.

    Beliau berkata, hasil semakannya mendapati tambang sehala bagi laluan dari Kuala Lumpur ke Tawau menjelang Aidilfitri mencecah sehingga RM3,138 untuk kelas ekonomi.

  • Harga tiket kapal terbang ke Sabah, Sarawak sudah turun 30% – KSU

    Harga tiket kapal terbang ke Sabah, Sarawak sudah turun 30% – KSU

    LEBIH 30 peratus harga tiket penerbangan telah diturunkan susulan kesediaan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) untuk bertolak ansur menurunkan kadar harganya pada musim perayaan.

    Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Isham Ishak bagaimanapun berkata suruhanjaya itu akan mengeluarkan kenyataan rasmi bagi melihat secara terperinci kadar perbandingan penurunan harga tiket penerbangan dalam masa terdekat.

    “Ada yang mengatakan ia (tiket penerbangan) telah naik 70 peratus, tetapi kita telah berjaya kurangkan banyak daripada kadar berkenaan, pagi ini pun apabila kita lihat, sudah ada penurunan.

    “Ini kerana kita berjaya meningkatkan kekerapan penerbangan dengan cara redeploy (menyusun semula pergerakan) kapal-kapal terbang supaya tumpuan diberikan kepada sektor (perayaan) ini,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penghantaran kakitangan Express Rail Link (ERL) ke ‘Al Mashaaer Al Mugaddassah Metro Line’ bagi menyokong operasi musim Haji 2022, di KL Sentral, hari ini.

    Semalam Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengingatkan pengendali syarikat penerbangan agar tidak mengambil keuntungan secara berlebihan dengan menaikkan harga tiket penerbangan ke Sabah dan Sarawak terlalu tinggi pada musim perayaan ini.

    Isu harga tiket penerbangan ke Sabah dan Sarawak menjadi tajuk perbualan hangat sejak kebelakangan ini apabila harga yang dipaparkan pada laman web syarikat penerbangan dikatakan meningkat sehingga RM2,000 bagi penerbangan dua hala ke Sabah atau Sarawak, berbanding kebiasaan sekitar RM300 bagi perjalanan sama.

    Sementara itu merujuk kepada cadangan berhubung penubuhan Pusat Kecemerlangan Rel Kebangsaan (NRCOE), sebagai pusat kecemerlangan nasional bagi industri kereta api, Isham berkata ia dijangka diluluskan oleh kabinet dalam masa terdekat.

    Beliau berkata kandungan kepakaran tempatan dalam pengangkutan rel negara ini masih kurang, iaitu 15 peratus sahaja dan dengan kewujudan NRCOE diharapkan dapat membina industri kereta api mengikut standard Malaysia.

    “Dengan adanya standard berkenaan, kita berupaya mengembangkan pengetahuan dan melatih lulusan universiti untuk bekerja dalam industri ini serta juga mengeksport kompenan atau barang kereta api sendiri,” katanya. – Bernama