Tag: hanyut

  • Mayat penumpang Myvi ditemukan

    Mayat penumpang Myvi ditemukan

    MAYAT seorang lelaki ditemukan dalam kereta Perodua Myvi yang dihanyutkan arus deras di Jalan Kionsom Lama, Inanam di sini lewat petang semalam, selepas kenderaan itu berjaya dikeluarkan dari dalam air pada 11.28 pagi tadi.

    Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam kenyataan terbaru memaklumkan, mangsa yang ditemukan merupakan penumpang kereta tersebut iaitu Juning Maturun, 37, dan mayat mangsa telah diserah kepada pihak polis.

    “Operasi pencarian bagi mangsa kedua (pemandu Simon Sanga Tupe, 68) masih dijalankan bersama Unit K9, Pasukan Penyelamat di Air, pihak polis dan penduduk kampung,” menurut kenyataan itu.

    Semalam tular video kereta berkenaan cuba menyeberangi sebuah jambatan yang dilimpahi air sebelum dihanyutkan arus deras ke dalam sungai berhampiran dalam kejadian kira-kira 6 petang.- BERNAMA

  • [Video]Myvi dihanyutkan arus deras di Inanam ditemukan pagi ini

    [Video]Myvi dihanyutkan arus deras di Inanam ditemukan pagi ini

    SEBUAH kereta Perodua Myvi yang dihanyutkan arus deras di Jalan Kionsom Lama, Inanam di sini lewat petang semalam ditemukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah bersama orang awam pada 7.20 pagi tadi.

    Pusat Gerakan Operasi JBPM Sabah dalam kenyataan hari ini memaklumkan kereta berkenaan ditemukan kira-kira 200 meter dari lokasi ia dilapor hanyut dan pada masa ini pasukan selam jabatan itu sedang menjalankan operasi pemulihan kenderaan terbabit.

    https://youtu.be/8C0-MGylNNY

    Menurut kenyataan itu pasukan bomba masih dalam usaha mencari dua lelaki mangsa kejadian iaitu pemandu kereta bernama Simon Sanga Tupe, berusia 68 tahun dan seorang penumpang dikenali sebagai Juning, 30.

    “Anggota pasukan selam ada menemukan petanda mangsa berada di dalam kereta itu, bagaimanapun operasi masih dijalankan ketika ini dan pasukan sedang mendapatkan pengesahan,” menurut kenyataan itu.

    Semalam tular video kejadian kereta berkenaan cuba menyeberangi sebuah jambatan yang dilimpahi air sebelum dihanyutkan arus deras ke dalam sungai berhampiran dalam kejadian kira-kira 6 petang.- BERNAMA