Tag: Hannah Yeoh

  • ‘Jom Ziarah Gereja’: Hannah Yeoh tampil beri keterangan

    ‘Jom Ziarah Gereja’: Hannah Yeoh tampil beri keterangan

    MENTERI Belia dan Sukan Hannah Yeoh hari ini hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di sini bagi membantu siasatan berkaitan penganjuran program ‘Jom Ziarah Gereja’ oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bernaung di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

    Beliau tiba di IPD Sentul bersama peguamnya, Sangeet Kaur Deo kira-kira pukul 5.30 petang.

    Ahli Parlimen Segambut itu berkata beliau memberikan kerjasama penuh kepada siasatan polis dan keterangannya konsisten seperti yang dijawab dalam Parlimen minggu lepas berkaitan program berkenaan.

    “Saya hadir selepas membaca berita bahawa saya dipanggil untuk memberi keterangan hari ini dan tidak mahu membuang masa,” katanya kepada pemberita di hadapan IPD Sentul di sini, hari ini.

    Beliau turut berharap polis dapat melengkapkan kertas siasatan berhubung kes itu.

    Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai ketika dihubungi mengesahkan Hannah telah hadir memberi keterangan hari ini bagi membantu siasatan.

    Semalam Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim dilaporkan berkata satu kertas siasatan dibuka berhubung penganjuran program itu walaupun program berkenaan telah dibatalkan.

    Program ‘Jom Ziarah Gereja’ adalah inisiatif di bawah Projek Artikel 11 diterajui Impact Malaysia iaitu sebuah NGO yang bernaung di bawah KBS.

    Selasa lepas, ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2023 bagi Kementerian Belia dan Sukan di Dewan Rakyat, Hannah menjelaskan bahawa program ‘Jom Ziarah Gereja’ tidak melibatkan individu beragama Islam. – BERNAMA

  • Tempahan konsert Jay Chou dibuat sejak 2019 – Hannah Yeoh

    Tempahan konsert Jay Chou dibuat sejak 2019 – Hannah Yeoh

    STADIUM Nasional Bukit Jalil (SNBJ) sudah ditempah terlebih dahulu oleh Penganjur Jelajah Dunia Jay Chou pada 2019 sebelum Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berbuat demikian pada 18 Ogos lalu.

    Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menjelaskan perkara itu menerusi akaun Twitter miliknya.

    “Booking (tempahan) stadium konsert Jay Chou World Tour dibuat 13 Mac 2019 manakala AFF 2022 oleh FAM dibuat 18 Ogos 2022.

    “Konsert perlu 14 hari pasang pentas oleh 500 krew+185 krew antarabangsa, 45 jentera berat, 200 speaker & 800 lampu. Mereka dah delay 2.5hari bagi ruang AFF,” katanya, hari ini.

    Lapor Berita Harian, berikutan persediaan konsert Jay Chou sehingga menyebabkan 21,000 tempat duduk Stadium Nasional Bukit Jalil terpaksa dikosongkan, akaun Facebook bintang dari Taiwan itu `diserang’ penyokong skuad Harimau Malaya.

    Rata-rata meluahkan rasa tidak puas hati selepas selebriti yang bakal melangsungkan konsertnya pada 15 Januari itu menyebabkan mereka gagal mendapatkan tiket perlawanan separuh akhir Piala AFF 2022 berdepan Thailand, Sabtu ini.

    Selain meluahkan rasa tidak puas hati, mereka juga menuntut Jay Chou supaya menangguhkan konsert terbabit bagi memberi laluan untuk ‘pemain ke-12’ memberikan sokongan kepada skuad Harimau Malaya.

  • Tampar pemain: KBS teruskan siasatan jurulatih bola tampar

    Tampar pemain: KBS teruskan siasatan jurulatih bola tampar

    KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) akan meneruskan siasatan ke atas jurulatih yang menampar dua pemain remajanya ketika satu kejohanan di Johor.

    Menterinya, Hannah Yeoh menerusi catatan Twitter berkata, ia bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

    “@KBSMalaysia akan meneruskan siasatan bebas kami kerana ini bukan mengenai seorang jurulatih atau dua pemain, tetapi duluan yang akan kami tetapkan untuk generasi akan datang dalam sukan.

    “@FadhlinaSiddiq dan saya sedang meneliti perkara ini bersama. Terima kasih,” katanya merujuk menteri pendidikan itu, lapor Free Malaysia Today.

    Klip video yang tular di media sosial menunjukkan jurulatih itu menampar dua pemainnya ketika Kejohanan Bola Tampar Remaja B14 di Kota Tinggi, Johor baru-baru ini.

    Tindakannya mengundang kemarahan ramai, termasuk Yeoh yang berkata, perbuatan itu salah.

    Semalam, Exco Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Melaka, VP Shanmugam berkata, jurulatih itu sudah berjumpa ibu bapa pemain terbabit untuk memohon maaf.

    Hari ini, bapa salah seorang pemain itu dilaporkan berkata, beliau sudah memaafkan jurulatih itu dan berharap dia tidak dikenakan sebarang tindakan.

    Sementara itu, pasukan bola tampar wanita B14 Melaka tampil menyokong jurulatih mereka. Dalam catatan Twitter, mereka menggesa warganet berhenti menularkan insiden itu di media sosial.

    “Henti viralkan isu ini kerana kami sayang jurulatih kami. Biarkan kami yang menilai baik dan buruknya. Kami sentiasa berdiri teguh di belakang jurulatih dan pasukan kami kerana kami pasukan Melaka.”