Tag: hamil

  • Pemandu treler terlibat kemalangan di Gerik ditahan

    Pemandu treler terlibat kemalangan di Gerik ditahan

    POLIS telah menahan pemandu treler yang terlibat dalam kemalangan tular membabitkan beberapa kenderaan di KM69, Lebuhraya Timur-Barat (Gerik-Jeli), 29 Okt lepas.

    Ketua Polis Daerah Gerik Supt Zulkifli Mahmood berkata kejadian berlaku pada 11 pagi dan lelaki berusia 47 tahun itu ditahan pada hari sama ketika melalui sekatan jalan raya Batu Melintang di Jeli, Kelantan.

    “Lelaki itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Gerik untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Kertas siasatan kes itu telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata kemalangan berpunca daripada muatan siling putih yang jatuh daripada sebuah treler semasa melalui selekoh dari arah Gerik ke Jeli lalu menimpa sebuah kenderaan jenis Subaru Forester dan tiga kenderaan lain.

    Menurutnya pemandu Subaru Forester yang berusia 29 tahun tidak mengalami kecederaan, isterinya yang berusia 31 tahun cedera parah dan dirujuk ke Hospital Tanah Merah, Kelantan manakala mangsa lain hanya cedera ringan.

    Hari ini, tular menerusi laman Twitter @isusemasaviral, rakaman video kemalangan berdurasi 16 saat mengenai kejadian dan perkongsian keadaan isteri mangsa yang hamil anak pertama pasangan itu. – BERNAMA

  • Jururawat hamil anak sulung meninggal dunia akibat Covid-19

    Jururawat hamil anak sulung meninggal dunia akibat Covid-19

    SEORANG jururawat di Kelantan yang sedang hamil tidak sempat menatap wajah bayi ditunggu selama 10 tahun selepas meninggal dunia akibat Covid-19, di Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai, semalam.

    Wanita itu, Norfaizah Mohamed, 34, menghembuskan nafas terakhir pada pukul 3.02 pagi ketika kandungannya berusia 26 minggu.

    Bayi tidak cukup bulan itu bagaimanapun berjaya dikeluarkan menerusi pembedahan, berikutan keadaan jururawat itu yang semakin tenat.

    Allahyarham dipercayai berada dalam kategori lima jangkitan Covid-19 selepas dilapor mendapat penyakit berkenaan daripada pesakitnya.

    Anak sulung jururawat itu ketika ini ditempatkan di unit rawatan intensif neonatal (NICU) bagi rawatan lanjut.

    Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Zaini Hussin mengesahkan jururawat itu meninggal dunia akibat Covid-19, semalam.

    Menurutnya, Allahyarham adalah jururawat di Hospital Gua Musang dan seorang petugas berdedikasi.

    Tambahnya, jenazah wanita itu dikebumikan di Kampung Lembaga, dekat Gua Musang.