Tag: halang kenderaan

  • [VIDEO]Buaya besar naik atas jalan kampung, halang kenderaan

    [VIDEO]Buaya besar naik atas jalan kampung, halang kenderaan

    GELAGAT seekor buaya besar naik ke atas jalan Kampung Seri Damai di Kuantan, Pahang yang dinaiki air hingga mengganggu kenderaan penduduk menggunakan laluan itu berjaya dirakam semalam.

    Video kejadian berdurasi 29 saat itu mula tular hari ini selepas dimuatnaik di media sosial oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Manis, Mohammad Rafiq Khan Ahmad Khan di akaun Facebook beliau.

    Menurut Rafiq, kejadian itu berlaku Isnin lalu di laluan jalan Air Hitam berhampiran Jalan Kuantan-Pekan.

    Katanya, video buaya itu diperoleh daripada salah seorang penduduk yang terserempak dengan reptilia berkenaan pada pukul 9 malam.

    Difahamkan, buaya bersaiz besar itu berasal dari Sungai Belat berhampiran namun ia tidak mengganggu penduduk.

    Jelas beliau, kejadian buaya berada di atas jalan sering berlaku apabila hujan lebat melimpahi jalan kerana di situ memang kawasan habitat buaya.

    Namun ini adalah kali pertama kejadian itu dapat rakam dan tular.

    Video itu setakat ini telah mendapat lebih 3,000 tontonan

    Rafiq menambah, bagi mengelak berlaku sebarang kejadian tidak diingini, penduduk boleh menggunakan laluan alternatif di Simpang Sri Damai bersebelahan Taman Mas.

    Ibu bapa juga perlu memastikan anak-anak mereka tidak bermain air di kawasan tersebut.

  • Lelaki himpit, halang kenderaan di lampu isyarat diburu polis

    Lelaki himpit, halang kenderaan di lampu isyarat diburu polis

    SEORANG lelaki bersama keluarganya berdepan detik cemas apabila secara tiba-tiba kenderaan dinaiki mereka dihalang sebuah kereta lain dari arah bertentangan di persimpangan lampu isyarat Jalan Suakasih, Bandar Tun Hussein Onn, Cheras Ahad lalu.

    Memetik laporan Sinar Harian, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, risau diapa-apakan, mangsa bertindak mengundurkan kenderaan lalu memecut laju melarikan diri namun suspek terus mengejarnya.

    “Siasatan awal mendapati mangsa tidak mengenali lelaki yang cuba menghalang dan menakutkan secara jenayah.

    “Suspek bertindak menghimpit dan mengejar kereta mangsa supaya berhenti hingga mendatangkan bahaya kepada keluarga mangsa. Tidak dapat dipastikan motif suspek terbabit,” katanya dalam kenyataan pada semalam.

    Detik-detik cemas itu tular selepas video rakaman kamera papan pemuka dari kenderaan dinaiki mangsa dimuat naik seorang pengguna Facebook pada Isnin.

    Video berdurasi tiga minit itu memaparkan sebuah kenderaan berwarna merah secara tiba-tiba menghalang mangsa dan keluarganya di sebuah lampu isyarat sebelum berlaku kejar mengejar antara mereka.

    Dalam pada itu, Mohd Zaid berkata, mangsa yang ketakutan terus memandu melarikan diri sehingga berjaya meninggal suspek di belakang.

    Katanya, polis telah mengenal pasti suspek dan sedang mengesan lelaki terbabit untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

    “Sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh tampil ke mana-mana balai berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Muhammad Fudhail Zikri di taluan 01156566511,”ujar beliau