Tag: hakim

  • 3 saksi utama pendakwaan dalam kes VLN Ahmad Zahid tak boleh dipercayai – Hakim

    3 saksi utama pendakwaan dalam kes VLN Ahmad Zahid tak boleh dipercayai – Hakim

    MAHKAMAH Tinggi hari ini memutuskan tiga saksi utama pendakwaan dalam kes rasuah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membabitkan 40 pertuduhan menerima rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN) adalah tidak boleh dipercayai, tidak boleh diharap dan tidak berwibawa.

    Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa ketika membacakan penghakiman lebih dua jam, berkata tiga saksi utama itu ialah bekas Pengarah Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) Harry Lee Vui Khiun, Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani dan David Tan Siong Sun yang merupakan saksi pendakwaan ke-15, 16 dan 17.

    “Saya dapati tiga saksi utama yang dipanggil oleh pihak pendakwaan adalah tidak boleh dipercayai dan tidak mempunyai kredibiliti,” katanya.  

    Hakim Mohd Yazid berkata mahkamah mendapati notasi ‘Z’ dan ‘ZH’ yang tertera dalam lejar (UKSB) tidak mencukupi untuk membuktikan bahawa tertuduh (Ahmad Zahid) menerima wang atau suapan itu.

    “Saya juga mendapati walaupun ada cadangan bahawa tertuduh telah menerima sumbangan politik berjumlah RM200,000 sebanyak dua kali, namun tiada bukti yang mencukupi mengenai butir-butir di hadapan mahkamah untuk saya mengemukakan sebarang pertuduhan pindaan,” katanya.

    Hakim selanjutnya berkata Harry Lee (SP15) dan Wan Quoris Shah (SP16) juga bersetuju bahawa tiada bukti bebas untuk menyokong dakwaan bahawa wang itu sebenarnya dibayar kepada Ahmad Zahid.

    “Berdasarkan semua keterangan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan, saya dapati tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dikemukakan di mahkamah, pemandu (saksi utama) tidak dipanggil, pengawal (rumah Ahmad Zahid) dan anggota polis tidak dipanggil,” katanya.

    “Slip transaksi Touch ‘n Go atau log panggilan telefon dan mesej dengan tertuduh juga tidak dikemukakan (sebagai bukti),” katanya.

    Merujuk kes solar Datin Seri Rosmah Mansor, Hakim Mohd Yazid berkata semua individu yang terlibat dalam proses untuk menyerahkan RM5 juta kepadanya dipanggil sebagai saksi.

    “Bagaimanapun dalam kes Ahmad Zahid, saksi-saksi yang terlibat atau mempunyai pengetahuan mengenai sumber dana itu termasuk Nicole (seorang ahli perniagaan dari Hong Kong) dan dua pengurup wang tidak dipanggil sebagai saksi bagi menyokong kes pendakwaan,” katanya.

    Hakim Mohd Yazid juga berkata tiga saksi utama memberi keterangan semua wang tunai dimasukkan ke dalam sampul surat berwarna coklat setiap kali penghantaran, bagaimanapun pihak pendakwaan tidak mengemukakan sebarang sampel sampul surat sebagai bukti.

    “Tiada bukti untuk menunjukkan saiz sampul surat yang digunakan. Saya sendiri tidak dapat membayangkan sampul surat apa, saiz apa yang boleh memuatkan wang tunai SG$600,000 yang bersamaan kira-kira RM1.6 juta pada masa itu.

    “Lebih mengejutkan, David Tan (SP17) pencipta lejar itu, mengakui semasa pemeriksaan balas bahawa penyerahan kedua wang tunai RM3 juta menggunakan sebuah bagasi adalah satu perkara yang difikirkan kemudian.

    “Keterangannya oleh SP17 ini adalah lebih mencukupi bagi saya untuk menyimpulkan bahawa SP17 tidak memiliki kredibiliti,” katanya.

    Untuk menyokong lagi dapatannya, hakim berkata David Tan memberi keterangan bahawa beliau akan merekodkan pembayaran pada hari yang sama atau keesokan harinya, tetapi kebanyakan ruangan ‘catatan’ di lejar dibiarkan kosong.

    “SP15 juga bersetuju bahawa ruangan remark tidak menunjukkan wang telah dibayar kepada tertuduh. Ruang catatan kosong itu menimbulkan kemungkinan inferens seperti yang dicadangkan oleh pihak pembelaan bahawa wang itu boleh diagihkan antara mereka bertiga (SP15, SP16 dan SP17) kerana mereka mengekalkan gaya hidup mewah,” kata hakim.

    Beliau berkata mereka masing-masing memiliki satu unit harta tanah di Pavilion, dengan SP16 juga memiliki sebuah rumah banglo di Putrajaya, satu rumah berkembar di Cyberjaya, dua Range Rovers, motosikal mewah dan membayar cukai berjumlah jutaan ringgit.

    “Tanpa bukti yang kukuh, saya tidak boleh membuat dapatan bahawa wang itu sebenarnya diterima oleh tertuduh seperti yang dicadangkan oleh pihak pendakwaan berdasarkan transaksi yang direkodkan di dalam lejar kerana tiada rekod bahawa wang itu sebenarnya diterima oleh tertuduh dalam ruangan catatan,” kata hakim.

    Hakim Mohd Yazid selanjutnya berkata berdasarkan keterangan tiga saksi utama itu menunjukkan bahawa Harry Lee (SP15) yang sebenarnya mengawal dan memutuskan dana tersebut dan membuat pembayaran kepada pelbagai pihak.

    “Selanjutnya wang ini tidak boleh dilaporkan kepada pihak berkuasa cukai, tidak pernah dilaporkan kepada juruaudit luaran dan dalaman UKSB dan wang ini tidak ditunjukkan dalam akaun UKSB yang telah diaudit.

    “Saya dapati terdapat bukti yang mencukupi untuk menunjukkan kesalahan jenayah telah dilakukan. Berdasarkan lejar (UKSB), wang yang diterima dari September 2004 hingga Ogos 2018 ialah kira-kira RM238,356,966,” katanya.

    Hakim Mohd Yazid berkata mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap kesemua pertuduhan apabila gagal membuktikan elemen paling penting terhadap Ahmad Zahid, iaitu penerimaan wang rasuah itu.

    “Berdasarkan alasan dan analisis bukti dan undang-undang di atas, saya dengan ini melepas dan membebaskan tertuduh daripada semua pertuduhan tanpa memanggil pembelaannya kerana pihak pendakwaan telah gagal mewujudkan kes prima facie,” katanya.

    Bagaimanapun, mengenai isu derma politik, hakim itu berkata pihak pembelaan gagal mengemukakan bukti yang menunjukkan bahawa sumbangan politik sebanyak RM200,000 telah dibelanjakan untuk tujuan politik.

    Mengenai isu perbicaraan yang tidak adil dan pendakwaan terpilih yang dibangkitkan oleh pihak pembelaan, beliau berkata perkara itu tidak timbul sama sekali dalam kes berkenaan.

    “Saya sendiri sudah tentu sejak hari pertama menahan diri daripada terpengaruh dengan sebarang komen yang dibuat di luar mahkamah ini. Adalah menjadi tanggungjawab saya untuk menegakkan keadilan tanpa pilih kasih dan rasa takut atau prejudis,” tambah beliau.

    Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kedua-dua pihak atas profesionalisme mereka dalam mengendalikan perbicaraan, membolehkan prosiding berjalan lancar tanpa sebarang permohonan interlokutori yang menyusahkan dan remeh. 

    Selepas hakim selesai membacakan penghakiman lebih 100 muka surat, Ahmad Zahid yang berpakaian baju Melayu putih dan seluar hitam menjerit ‘Allahu Akbar’, diikuti dengan tepukan oleh ahli keluarga dan penyokong.

    Ahmad Zahid mengaku tidak bersalah terhadap 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada Syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd sebagai dorongan untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri, melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di China dan Sistem VLN serta didakwa mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).

    Bagi tujuh pertuduhan lain, beliau didakwa memperoleh untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000; RM3,000,000; 15,000 Swiss Franc dan US$15,000 daripada syarikat sama yang mempunyai hubungan dengan kerja rasmi beliau.

    Beliau didakwa melakukan kesalahan di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan di Country Heights, Kajang, antara Oktober 2014 dan Mac 2018.- BERNAMA

  • SPRM ada kuasa siasat hakim

    SPRM ada kuasa siasat hakim

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan, agensi itu mempunyai kuasa untuk menyiasat mana-mana pegawai badan awam setelah menerima laporan atau aduan rasmi.

    SPRM dalam kenyataan hari ini memaklumkan telah diberikan kuasa, untuk menyiasat kes jenayah rasuah di bawah Akta SPRM 2009 termasuk siasatan terhadap pegawai badan awam yang ditafsirkan dalam Seksyen 3 akta tersebut.

    “Pegawai badan awam ertinya mana-mana orang yang menjadi anggota, pegawai, pekerja atau pekhidmat sesuatu badan awam, dan termasuklah anggota pentadbiran, Ahli Parlimen dan ahli sesuatu Dewan Undangan Negeri.

    “Selain itu, hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Persekutuan, dan mana-mana orang yang menerima apa-apa saraan daripada wang awam, dan, jika badan awam itu ialah suatu perbadanan seorang, termasuklah orang yang diperbadankan sebagai perbadanan itu,” menurut kenyataan itu.

    Kenyataan SPRM itu dikeluarkan susulan kritikan yang diterima agensi itu setelah ia mengesahkan membuka siasatan terhadap Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang didakwa menerima sejumlah wang.

    Kenyataan itu memaklumkan, selaras dengan prinsip pengasingan kuasa, setelah semua proses siasatan selesai dilakukan, kertas siasatan akan dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara untuk membuat keputusan sama ada melakukan pendakwaan atau sebaliknya.

    “SPRM juga telah mempunyai rekod menyiasat hakim yang mana kertas siasatan berkaitan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk membuat penilaian.

    “Berhubung siasatan terhadap hakim tersebut, SPRM telah menerima satu aduan pada 15 Mac lalu disusuli dua lagi aduan pada 23 dan 27 April lepas. Siasatan ini masih berada di fasa awal dan melibatkan kepentingan awam,” menurut kenyataan itu.

    Kenyataan itu menegaskan, apabila sesuatu siasatan dijalankan terhadap mana-mana individu, ia tidak bermakna individu tersebut telah melakukan kesalahan.

    “Sehubungan itu, SPRM memohon masyarakat umum memberi ruang untuk proses siasatan dijalankan mengikut lunas undang-undang yang ditetapkan,” menurut kenyataan itu. – BERNAMA

  • Kegagalan kenaikan pencen, pesara hakim saman kerajaan

    Kegagalan kenaikan pencen, pesara hakim saman kerajaan

    SERAMAI 35 individu terdiri daripada bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi termasuk di Sabah dan Sarawak serta tujuh balu bekas hakim memfailkan saman terhadap Kerajaan Malaysia dan tiga pihak lain berhubung kegagalan menetapkan kenaikan pencen dan faedah diterima mereka sejak 2015.

    Hakim bersara terbabit termasuk bekas Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff, bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Siti Norma Yaakob dan Tan Sri Haidar Mohamed Nor, bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yunos serta 31 individu lain memfailkan saman pemula itu minggu lepas di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menerusi Tetuan Chooi & Company + Cheang & Ariff.

    Mereka menamakan Kerajaan Malaysia, Perdana Menteri, Jemaah Menteri dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam sebagai defendan.

    Dalam saman itu, kesemua plaintif memohon deklarasi bahawa kegagalan untuk menetapkan peratusan kenaikan lebih tinggi daripada dua peratus setiap tahun yang sesuai ke atas pencen dan faedah lain bagi setiap plaintif mengikut Seksyen 15B(2) Akta Saraan Hakim 1971 (Akta 45) melalui perintah dalam Warta telah melanggar Perkara 125(7) dan 125(9) Perlembagaan Persekutuan.

    Mereka memohon perintah bahawa defendan kedua atau ketiga (Perdana Menteri dan Jemaah Menteri) hendaklah menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menetapkan peratusan kenaikan lebih tinggi daripada dua peratus setiap tahun yang sesuai ke atas pencen dan faedah lain yang diberikan kepada setiap plaintif berkuat kuasa dari 1 Julai 2015 mengikut Seksyen 15B(2) akta tersebut.

    Selain itu, mereka memohon perintah mahkamah supaya defendan membayar amaun yang setiap plaintif berhak terima sejak 1 Julai 2015 selain kos, faedah dan perintah lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

    Plaintif berkata mengikut Seksyen 15B Akta Saraan Hakim 1971, pencen hakim bersara dan orang tanggungan hakim yang telah meninggal dunia diselaraskan secara automatik berdasarkan gaji semasa hakim masih berkhidmat yang disemak secara berperingkat dari semasa ke semasa sebagaimana yang wajib dilakukan menurut Perkara 125(7) dan 125(9) Perlembagaan Persekutuan.

    Menurut plaintif, cara pengiraan pelarasan dinyatakan dalam Jadual Ketiga dan Keempat akta terbabit tetapi ia dipadamkan daripada akta itu menyebabkan hak mereka terjejas apabila gaji hakim yang sedang berkhidmat dinaikkan berkuat kuasa pada 1 Julai 2015.

    “Di bawah peruntukan Seksyen 15B Akta Saraan Hakim 1971 (sebelum pindaan dibuat), pencen plaintif akan diselaraskan secara automatik sejajar dengan kenaikan gaji hakim yang masih berkhidmat.

    “Bagaimanapun, mengikut peruntukan Seksyen 15B(1) (selepas pindaan dan dikira secara retrospektif), pencen hakim bersara diselaraskan setiap tahun dengan kenaikan dua peratus dan tidak lagi mengambil kira kenaikan gaji yang diterima oleh hakim yang masih berkhidmat,” menurut plaintif dalam saman itu.

    Plaintif berkata keadaan itu menyebabkan mana-mana hakim yang dilantik sebelum 1 Jan 2014 akan menerima pencen lebih rendah daripada sepatutnya.

    Menurut mereka, Perkara 125(7) yang dibaca bersama Perkara 125(9) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa hak pencen seseorang hakim dilarang atau secara mandatori dihalang daripada diubah sehingga merugikan beliau selepas pelantikannya. – BERNAMA