Tag: haiwan

  • Campak tiga ekor kucing jiran dari tingkat 15, lelaki ditahan polis

    Campak tiga ekor kucing jiran dari tingkat 15, lelaki ditahan polis

    SEORANG lelaki tempatan ditahan semalam kerana disyaki melakukan penganiayaan dan khianat terhadap haiwan dengan mencampakkan tiga ekor kucing dipercayai milik jirannya dari tingkat 15 di sebuah apartment di Jalan PJS 8/9, Petaling Jaya.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata penahanan suspek lelaki berusia 44 tahun itu berdasarkan laporan polis yang diterima pihaknya, pada Isnin (17 Okt) lepas.

    Beliau berkata laporan itu menyatakan suspek telah bertindak mencampakkan haiwan terbabit daripada tingkat kediamannya.

    “Selain penahanan lelaki itu polis turut menemukan tiga ekor kucing yang tidak bernyawa bersamanya. Hasil siasatan awal mendapati, suspek mengaku terlibat dalam kes ini dengan membuang kucing-kucing milik jirannya itu dari kediamannya dari tingkat 15,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mohamad Fakhruddin berkata suspek kini direman selama empat hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan kerana menganiaya dan khianat terhadap haiwan. – BERNAMA

  • Tiga anak lotong hampir jadi mangsa penyeludupan

    Tiga anak lotong hampir jadi mangsa penyeludupan

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    PERMINTAAN tinggi terhadap anak lotong atau nama saintifiknya ‘Trachypithecus cristatus’ sebagai haiwan peliharaan mendorong sesetengah pihak cuba menyeludup haiwan itu walaupun ia salah di sisi undang-undang.

    Bagaimanapun, hasrat seorang lelaki yang dipercayai mahu menjual haiwan eksotik tersebut tidak berjaya apabila dia dicekup polis bersama-sama tiga ekor anak lotong berwarna emas di Jalan Dr. Ismail, Mersing, semalam.

    Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua, Asisten Komisioner Muhd. Zailani Abdullah berkata, sepasukan pegawai dan anggota pasukan itu bersama anggota Balai Polis Mersing menerima maklumat kejadian itu daripada orang awam sebelum melakukan serbuan.

    “Hasil pemeriksaan telah menemukan tiga ekor anak lotong dalam sebuah sangkar plastik yang berada di bahagian belakang tempat duduk penumpang sebuah kereta.

    “Polis menahan seorang lelaki tempatan berumur 27 tahun yang mengaku sebagai pemilik kereta berkenaan bagi membantu siasatan atas kesalahan di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.

    “Semua rampasan telah dibawa balik ke Markas Taktikal PPM Wilayah Dua Mersing untuk pemeriksaan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Menurut Muhd. Zailani, anggaran kasar nilai jualan seekor anak lotong boleh mencecah RM500 dan kes telah diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Jabatan Perhilitan Mersing untuk tindakan susulan.

    “Kita menyeru kerjasama orang ramai untuk terus menyalur sebarang maklumat kegiatan yang menyalahi undang-undang dalam membantu pihak polis untuk membanteras kegiatan jenayah.

    “PPM sentiasa bekerjasama dengan balai polis yang berhampiran bagi mengekang kegiatan ini. Sebarang maklumat boleh disalurkan melalui talian 07-2372222,” katanya.