Tag: Hadi

  • Muhyiddin, Hadi dan pemimpin politik sedih dengan pemergian Salahuddin

    Muhyiddin, Hadi dan pemimpin politik sedih dengan pemergian Salahuddin

    PRESIDEN Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub yang meninggal dunia malam ini.

    Muhyiddin, yang juga Pengerusi Perikatan Nasional, mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh.

    “Saya merasa dukacita mendengar perkhabaran ini dan berdoa semoga seluruh ahli keluarga Allahyarham dapat bersabar dan tabah melalui detik mendukacitakan ini,” katanya dalam catatan di laman Facebook.

    Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang, menerusi laman Facebook, turut mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham.

    “Semoga Allah mengampunkan segala dosanya dan mencucuri rahmat ke atasnya,” kata beliau.

    Pengerusi DAP Lim Guan Eng pula menyifatkan ketokohan dan jasa Salahuddin menyemai benih harapan untuk masa depan negara.

    “Tidak terungkap kesedihan dengan pemergian sahabat dan rakan seperjuangan saya saudara Salahuddin Ayub. Salam takziah untuk keluarga beliau, semoga sabar menghadapi ujian ini,” katanya.

    Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut mengutuskan ucapan takziah kepada keluarga Salahuddin sambil berterima kasih atas usaha dan keringat Allahyarham ketika berkhidmat untuk negara.

    “Semoga beliau ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman,” katanya.

    Salahuddin, 61, menghembuskan nafas terakhir pada 9.23 malam di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah.

  • Hadi, Mat Sabu ucap takziah pemergian Salahuddin

    Hadi, Mat Sabu ucap takziah pemergian Salahuddin

    UCAPAN belasungkawa dan bacaan Al-Fatihah mencurah-curah daripada pelbagai pihak atas pemergian Allahyarham Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub.

    Presiden PASas, Tan Sri Abdul Hadi Awang turut mengucapkan takziah atas pemergian Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu.

    “Takziah kami ucapkan kepada seluruh ahli keluarga almarhum.

    “Semoga Allah mengampunkan segala dosanya dan mencucuri rahmat ke atasnya,” katanya pada satu kenyataan.

    Sebelum bergiat secara langsung dalam politik, Salahuddin merupakan aktivis Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) pada awal 1980an.

    Allahyarham kemudiannya menyertai Pas dan dari 1983 ke 1987 merupakan Naib Yang Dipertua Pas Pontian.

    Salahuddin juga berkhidmat dua kali sebagai ahli Parlimen Pas di Kubang Kerian.

    Pada 2015, allahyarham ikut mengasaskan Amanah, parti yang sebahagian besarnya dianggotai oleh bekas pemimpin Pas.

    Sementara itu, Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu pada maklum balas segera di media sosial berpesan kepada semua ahli dan penyokong Amanah supaya bersabar.

    Mohamad juga meminta mendoakan roh Allahyarham Salahuddin ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh serta amal baktinya diterima di sisi Allah SWT.

    “Malam ini adalah malam yang paling menyedihkan buat seluruh ahli dan penyokong Parti Amanah Negara,” katanya.

    Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Pembangkang l, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, dalam menyampaikan ucapan takziah berkata, Menteri Kos Sara Hidup itu merupakan seorang yang dihormatinya.

    “Walaupun berbeza idealogi politik, Allahyarham Salahuddin merupakan tokoh yang saya hormati. Beliau merupakan sosok pimpinan yang matang, progresif dan pragmatik.

    “Kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham Salahuddin, saya faham kehilangan orang yang tersayang bukanlah sesuatu yang mudah tetapi bersabarlah dengan ujian Allah SWT,” katanya pada hantaran di media sosial.

    Sementara itu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke ketika berceramah pada majlis PH di Negeri Sembilan malam ini, menyebut penghargaan terhadap pelbagai usaha Allahyarham Salahuddin seperti inisiatif Rahmahnya.

    Perkara ini benar-benar membantu rakyat, kata Loke.

    Salahuddin meninggal dunia malam ini selepas beliau dikejarkan ke hospital di Alor Setar pada hari Jumaat dan doktor mengesan beliau mengalami pendarahan otak.