Tag: Guru KAFA

  • Guru KAFA perlu dibantu, bukan difitnah

    Guru KAFA perlu dibantu, bukan difitnah

    Oleh NAZIR HELMI

    Pengajian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) telah dilaksanakan oleh JAKIM sejak 1990 bermula dengan hanya 44 orang penyelia, 5,830 orang guru dan 169,330 orang murid.

    Selaras dengan objektif KAFA untuk memperkukuh asas pembelajaran Al-Quran dan pendidikan Islam dalam kalangan kanak-kanak di negara ini, pelbagai inisiatif telah diusahakan oleh agensi agama serta pihak kerajaan.

    Sehingga kini, KAFA terus berkembang dan setakat 2021, ia telah mempunyai seramai 383 orang penyelia, 35,000 orang guru dan lebih 1.1 juta orang murid.

    Dengan kata lain, sudah puluhan juta umat Islam mendapat manfaat daripada kelas KAFA.

    Pastinya guru KAFA adalah antara yang memainkan peranan penting dalam membentuk individu Muslim yang berpegang kepada ajaran Islam di negara ini.

    Alhamdulillah, sepanjang kewujudan program KAFA dari tahun 1990, kerajaan telah meluluskan 8 kali kenaikan elaun bermula dari RM168 sehinggalah ke RM1,100 pada tahun ini.

    Pada tahun lepas sahaja, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Datuk Ustaz Haji Idris Ahmad telah mengumumkan 2 inisiatif buat institusi KAFA di Wilayah-Wilayah Persekutuan iaitu;

    1) Bantuan Elaun Tambahan kepada guru KAFA sebanyak RM800

    2) Skim Bantuan Buku Teks KAFA kepada golongan asnaf dan B40

    Inisiatif ini adalah salah satu usaha kerajaan dalam memperkasa institusi KAFA.

    Namun, seperti yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Kuala Krai dan Jerai di dalam Dewan Rakyat semalam, elaun guru KAFA sekarang hakikatnya masih lagi rendah daripada gaji minimum negara.

    Kerajaan perlu mencari penyelesaian segera terutama dalam isu elaun dan status perjawatan guru KAFA ke jawatan tetap dan berpencen.

    Malangnya perbahasan di dewan yang mulia itu telah dicemari dengan tuduhan liar YB Hulu Langat yang mendakwa guru KAFA berpolitik di sekolah.

    Amat memalukan apabila seorang Ahli Parlimen dari Pakatan Harapan dengan mudah membuat dakwaan berat kepada guru-guru KAFA tanpa bukti dan tanpa hujah. Permohon maaf dan penarikan semula fitnah perlu segera dilakukan.

    Sidang Parlimen seharusnya menjadi tempat perbincangan dan mencari solusi bagi masalah rakyat, bukannya tempat melemparkan persepsi dan dakwaan yang berat seperti ini.

    35,000 guru KAFA ini perlu dibantu bukan difitnah.

    Penulis ialah Ketua Penerangan Pemuda Pas

  • Tidak dapat penuh, separuh pun jadilah-Guru KAFA

    Tidak dapat penuh, separuh pun jadilah-Guru KAFA

    KEPUTUSAN Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menangguhkan kemudahan cuti bersalin dengan elaun penuh kepada guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) ibarat mimpi buruk buat tenaga pengajar kumpulan itu.

    Lebih menyedihkan, sudahlah elaun tidak seberapa ditambah pula kos bebanan hidup yang tinggi membuatkan guru-guru ini seakan tidak dihargai.

    Bagi guru KAFA yang hanya mahu dikenali sebagai Maman, dia merasa agak terkilan dengan pengumuman penangguhan itu sedangkan sebelum ini telah diberi harapan oleh JAKIM mengenai elaun cuti bersalin.

    “Sudahlah kami hanya dapat elaun dan bukan gaji seperti penjawat lain. Perkataan elaun susah untuk meyakinkan orang terutama untuk buat pinjaman dan membeli barang ansuran.

    “Elaun RM1,000 tolak Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) 11 peratus hanya tinggal RM885.25 sen sahaja. Apa kami nak makan dengan jumlah sebanyak itu. Mahu bayar bil dan barang keperluan lain lagi,” katanya ketika dihubungi SatuBerita hari ini.

    Menurut Maman, bagi menampung perbelanjaan harian dia terpaksa bekerja sambilan sebagai penghantar makanan selepas habis waktu mengajar.

    “Saya habis mengajar dalam pukul 4 petang. Selepas solat dan mandi,saya menghantar makanan hingga pukul 10 malam. Ikutkan penat, Tuhan sahaja tahu tapi saya tiada pilihan kerana inilah salah satu sumber rezeki.

    “Saya harap pihak berwajib boleh meneliti semula sebelum membuat keputusan. Jangan anaktirikan kami. Sudahlah tidak dapat kemudahan lain, takkan elaun pun mahu ditarik,” katanya.

    Bagi guru KAFA yang hanya mahu dikenali sebagai Seri, penangguhan kemudahan bersalin dengan elaun menjadikan dirinya yang susah bertambah susah.

    Pemegang diploma Pengajian Islam itu berharap kerajaan buka mata dengan keperitan guru KAFA yang semakin lama semakin dipinggirkan.

    “Kami tiada sebarang elaun tambahan seperti guru lain dan hanya bergantung kepada elaun RM1,000 sahaja. Sudah tiba masa kerajaan ambil peduli tentang guru KAFA dan serapkan kami mengikut saluran yang betul.

    “Gaji minimum sudah RM1,500 tapi kami masih begini. Jika benar sudah tiada jalan penyelesaian, janganlah mansuh semua, bagi separuh pun masih okay lagi,” katanya.

    Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Guru KAFA Negeri Pahang (PEGUSAKAPA),Harmizi Hanafi berkata, isu ini berbangkit disebabkan status kontrak guru KAFA  dan bukan penjawat tetap kerajaan.

    “Sikap acuh tak acuh pihak bertanggungjawab yang sekadar menabur janji untuk menjadikan mereka kakitangan berstatus tetap menjadikan isu ini semakin meruncing. Perkara ini serig dibincang tetapi tiada kata putus sehingga sekarang selain elaun yang sangat rendah.

    “Setiap kali hampir pilihan raya , mereka akan ‘digula-gulakan’ kononnya akan diserap sebagai penjawat tetap tetapi selepas pilihan raya, hilang begitu sahaja.

    “Jika diberi syarat untuk tambah elaun dengan memanjangkan waktu mengajar, perkara itu tiada masalah asalkan kerajaan dapat berbuat sesuatu atau mencari mekanisma bagi membela nasib mereka,” katanya.

    Sebelum ini Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Hakimah Mohd Yusoff mengesahkan menangguhkan kemudahan cuti bersalin dengan elaun penuh kepada guru KAFA.

    Keputusan itu dibuat sebagai mematuhi saranan dan pandangan Kementerian Kewangan.

  • Sultan Selangor dukacita, teliti nama enggan ambil vaksin

    Sultan Selangor dukacita, teliti nama enggan ambil vaksin

    SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah akan meneliti nama-nama guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), ahli jawatankuasa masjid dan jurunikah yang tidak mahu divaksin dan menentukan tindakan yang bakal diambil terhadap mereka.

    Menerusi hantaran yang dimuat naik dalam Facebook Selangor Royal Office, Sultan Selangor menzahirkan rasa dukacita dan amat kecewa apabila diberitahu hanya 203 daripada 873 guru KAFA, ahli jawatankuasa masjid dan jurunikah di Selangor menghadiri sesi program vaksinasi khas COVID-19 Frontliner JAIS, yang dianjurkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) hari ini.

    “Lebih mendukacitakan baginda, daripada 203 orang yang hadir, 96 daripada mereka menolak untuk divaksin.

    “Titah baginda apa yang berlaku ini amat mengecewakan kerana kedegilan individu-individu tertentu ini akan hanya menyusahkan urusan sekalian rakyat jelata terutamanya murid-murid yang akan meneruskan pembelajaran KAFA,” menurut kenyataan itu.

    Sultan Selangor bertitah pelbagai inisiatif dan cara dilakukan dengan kerjasama JAIS dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, termasuk memperluas dan mempermudah pemberian suntikan vaksin COVID-19 kepada petugas masjid dan pejabat agama demi kesejahteraan dan membolehkan umat Islam kembali menunaikan ibadah dan melakukan aktiviti keagamaan seperti biasa.- BERNAMA

  • Jakim kaji guru KAFA belum vaksin dikecuali pengajaran bersemuka

    Jakim kaji guru KAFA belum vaksin dikecuali pengajaran bersemuka

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang mengkaji untuk melarang guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) yang belum atau enggan menerima vaksin Covid-19 untuk dikecualikan daripada aktiviti pengajaran secara bersemuka.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad berkata, perbincangan perkara itu akan dilakukan di peringkat pengurusan Jakim dalam tempoh terdekat.

    ‘Justeri kita menasihatkan agar semua guru KAFA tidak menolak daripada mengambil suntikan vaksin COVID-19 demi keselamatan semua pihak khususnya golongan murid.

    “Saya nasihatkan (guru-gura KAFA) supaya ambil vaksin. Apa yang kita takut sangat soal vaksin ini? Setakat hari ini, ramai orang meninggal dunia disebabkan COVID-19 daripada meninggal dunia (disebabkan) kena vaksin.

    “Bab ini (vaksin) saya tidak boleh hurai panjang kerana bukan bidang kuasa saya, kepakaran itu (pada) bahagian KKM (Kementerian Kesihatan). Perkara ini akan dibincangkan di pihak bahagian pendidikan yang kendalikan KAFA,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir dari tiga perkampungan di Taiping, hari ini.

    Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan pemberita sama ada Jakim akan mengambil langkah sama seperti Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terhadap guru KAFA yang masih atau enggan divaksin.

    Semalam, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin menegaskan, seramai 2,500 guru yang enggan atau belum divaksin tetap perlu ke sekolah namun akan diberi tugasan lain yang tidak membabitkan aktiviti pengajaran di dalam kelas secara bersemuka dengan pelajar.