Tag: Gunung Inas

  • Penduduk terjejas banjir di Baling gesa kerajaan tubuh RCI

    Penduduk terjejas banjir di Baling gesa kerajaan tubuh RCI

    PENDUDUK kampung yang terjejas akibat banjir di Kupang, Baling menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat tragedi di Kampung Iboi pada 4 Julai lalu yang meragut tiga nyawa dan merosakkan lebih 1,000 rumah.

    Memetik laporan Malaysiakini, mereka juga menggesa supaya semua kertas kerja, surat kelulusan, laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA), perjanjian, keputusan pembalakan untuk pemaju swasta dan negeri, dan laporan daripada agensi terlibat didedahkan kepada umum.

    Jurucakap mereka Hamirudin Hasan berkata, penduduk kampung dan mangsa banjir berhak mengetahui semua maklumat kerana mereka yang menderita akibat pembangunan itu.

    “Kita tidak menolak pembangunan hutan dan pembalakan, kerana kita faham ia juga antara sumber wang kerajaan yang akhirnya akan kembali kepada rakyat. Tetapi biarlah pembangunan yang dijalankan itu mampan dan menjaga ekosistem semula jadi dan masyarakat.

    “Kita menentang segala pembangunan yang hasilnya hanya untuk mereka yang tertentu, sedangkan rakyat dan masyarakat menderita.

    “Kami menggesa pakar-pakar yang mengeluarkan laporan mengenai punca kepada banjir untuk memberi jaminan masa hadapan, untuk menyiasat dengan teliti, sebelum mengeluarkan laporan yang boleh mengelirukan orang ramai,” kata Hamirudin semasa perhimpunan ‘Memerdekakan Gunung Inas’ hari ini.

    Himpunan yang berakhir jam 5 petang itu diadakan dengan tujuan untuk menyampaikan memorandum kepada kerajaan negeri dan persekutuan.

    Wakil dari Kampung Iboi, Kampung Bukit Iboi, Kampung Bendang Bechah, Kampung Hangus, Kampung Tanjung, Kampung Sadek, Kampung Kuala Kuang, Kampung Sineyek, Pekan Kupang, Kampung Masjid, Kampung Bok Bak, Kampung Pisang, Taman Mesra Kupang dan Kampung Jerai menghadiri majlis tersebut.

    Penduduk kampung turut menggesa kerajaan menghentikan sepenuhnya penanaman projek ladang durian Musang King dan menggantikannya dengan spesies pokok yang dibenarkan oleh Jabatan Perhutanan.

    Mereka juga mahu Jabatan Perhutanan bersama Jabatan Alam Sekitar lebih proaktif dan telus dalam memantau dan membenarkan pembangunan hutan simpan Gunung Inas.

    Tambah mereka, Gunung Inas merupakan kawasan tadahan air dan sumber minuman untuk penduduk kampung maka ia perlu sentiasa dilindungi tanpa sebarang kompromi.

    Hamirudin berkata mereka akan menyerahkan memorandum tersebut kepada Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor, Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim dan Adun Bayu Abd Nasir Idris, Kupang Najmi Ahmad dan Kuala Ketil Mansor Zakaria.

    “Kita mahu kerajaan mengembalikan status ladang durian Musang King kepada hutan simpan kekal Gunung Inas. Ini bagi memastikan keseimbangan semula jadi di kawasan penempatan kekal terjamin,” katanya.

    Hamirudin berkata mereka juga mahu kerajaan menghentikan semua pembangunan hutan di kawasan yang mempunyai kecerunan melebihi 25 darjah dan ketinggian melebihi 1,000 kaki. Ini kerana 70 peratus kawasan pergunungan itu merupakan kawasan bercerun.

    Dia berkata zon penampan sungai dan kawasan tadahan di situ hendaklah dilindungi sepenuhnya daripada sebarang gangguan tangan manusia atas nama pembangunan.

    Tambahnya, penduduk kampung juga ingin kerajaan menyegerakan pembaikan infrastruktur yang runtuh dan rosak teruk akibat runtuhan banjir seperti jambatan, jalan raya, longkang, sumber air bersih dan sistem kumbahan penduduk.

    “Naiktarafkan kolam tadahan air bagi menjamin kemudahan air bersih dan selamat untuk penduduk kampung.

    “Sejak projek pembalakan dan penanaman durian Musang King, penduduk mempunyai bekalan air yang sangat kotor dan tidak sesuai untuk kegunaan harian mereka.

    “Wartakan kawasan tadahan air bagi memastikan tiada pembalakan yang akan dijalankan pada masa hadapan.

    “Kami juga menggesa kerajaan negeri meluluskan segera pemberian hak milik kekal kepada pemilik tanah pertanian di petak 8 yang tertangguh sejak sekian lama, seperti yang dijanjikan kerajaan negeri sejak 2012,” katanya.

    Tambahnya, tanah-tanah tersebut sudah lebih 60 tahun diusahakan oleh penduduk kampung, namun masih belum mendapat status hak milik kekal oleh kerajaan negeri.

    Dia berkata pemilik tanah di sini telah membelanjakan sejumlah wang yang besar untuk mengukur secara terperinci tanah-tanah yang telah diusahakan dengan persetujuan Jabatan Perhutanan Kedah pada 2012, tetapi kerajaan negeri masih belum menyelesaikan perkara ini.

    “Kami mahu Jabatan Perhutanan respons mengenai perkara ini, namun ia terus mengambil pendekatan berdiam diri dan lepas tangan atas apa yang terjadi.

    “Oleh itu, kami ingin menuntut perkara ini diselesaikan segera,” katanya.

  • Tiada unsur penyelewengan berkaitan Musang King di Gunung Inas

    Tiada unsur penyelewengan berkaitan Musang King di Gunung Inas

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setakat ini mendapati tidak wujud sebarang unsur penyelewengan berhubung keputusan kerajaan negeri untuk melaksanakan projek tanaman durian Musang King di Gunung Inas, Baling.

    Menurut pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd. Manap, hampir kesemua minit mesyuarat Exco kerajaan negeri berhubung perkara itu sudah pun diteliti setelah pihaknya mendapatkan dokumen berkaitan, sebelum ini.

    Katanya, penelitian awal mendapati dokumen-dokumen tersebut tidak mengandungi sebarang unsur salah laku atau penyelewengan yang boleh diambil tindakan di bawah bidang kuasa SPRM.

    “Namun jika terdapat maklumat baharu yang terkait dengan bidang kuasa kami, kemungkinan siasatan ini akan diteruskan kembali.

    “Setakat ini tiada laporan rasmi dibuat oleh mana-mana pihak sebaliknya siasatan ini dijalankan hasil inisiatif kami sendiri termasuk berkunjung ke Wisma Darul Aman bagi mendapatkan dokumen berkaitan sebelum ini,” katanya.

    Pada 10 Julai lalu, SPRM Kedah dilaporkan telah memulakan siasatan awal bagi melihat kemungkinan terdapat salah laku yang mendorong kepada berlakunya tragedi banjir lumpur serta aliran puing di kawasan berhampiran gunung tersebut.

    Selain berkunjung ke Wisma Darul Aman, pegawai terlibat turut dihantar ke kawasan bencana bagi meninjau keadaan di situ.

    Shaharom menambah, pihaknya turut merujuk laporan dibuat Pasukan Khas Siasatan Bencana-Tragedi Baling 2022 yang dilihat telah menyentuh aspek dalam kejadian itu secara lebih menyeluruh.

    “Laporan tersebut tampak lebih lengkap dan kami telah meneliti perkara di dalamnya bagi melihat perkara yang mungkin terkait dengan bidang kuasa SPRM.

    “Setakat ini kami tangguh dulu siasatan hingga ada maklumat baharu. Jika ada maklumat lanjut selepas ini, kami boleh mulakan siasatan semula, tertakluk kepada perkara di bawah bidang kuasa SPRM,” katanya.