Tag: gunung berapi

  • Gunung berapi Semeru meletus, hampir 2,000 penduduk dipindahkan

    Gunung berapi Semeru meletus, hampir 2,000 penduduk dipindahkan

    GUNUNG berapi Semeru di Lumajang, Jawa Timur meletus pada Ahad dengan kepulan abu panas meluap sehingga 1,500 meter, menurut agensi vulkanologi Indonesia.

    Aliran abu panas bergerak sehingga 13 kilometer (km) ke tenggara, menyelubungi kawasan berpenduduk di bawah zon letusan dan menyekat cahaya matahari.

    Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Negara memindahkan hampir 1,979 penduduk yang tinggal di kampung berdekatan di daerah Lumanjang dan Malang ke 11 pusat perlindungan sementara.

    Tiada kerosakan atau kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini.

    Menurut Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bahaya Geologi gunung berapi itu meletus sebanyak 13 kali antara 2.46 pagi dan 12 tengah hari waktu tempatan pada Ahad.

    Agensi itu menaikkan status amaran gunung berapi kepada tahap IV.

    Penduduk dinasihatkan berada 17 km dari puncak dan harus mengetahui akan bahaya potensi aliran lava dan awan panas sehingga 19 km. 

    Gunung Semeru adalah antara gunung berapi paling aktif di Indonesia dan puncak tertinggi di Pulau Jawa dengan ketinggian 3,676 meter.

    Kali terakhir gunung itu meletus pada Disember 2021, mengorbankan 69 orang manakala 104 lagi cedera. – BERNAMA

  • 6 maut ketika daki Gunung Berapi Klyuchevskaya Sopka

    6 maut ketika daki Gunung Berapi Klyuchevskaya Sopka

    ENAM orang maut ketika mendaki gunung Klyuchevskaya Sopka di Kamchatka Rusia pada Sabtu, lapor Agensi Berita Xinhua.

    Menurut laporan TASS, sekumpulan 10 pelancong Rusia dan dua pemandu pelancong memulakan misi mendaki gunung itu pada Selasa.

    Pada Sabtu, sembilan daripada pendaki berkenaan mula mendaki Klyuchevskaya Sopka manakala yang selebihnya berada di kem yang terletak pada ketinggian 3,300 meter.

    Mangsa dipercayai meninggal dunia ketika berada pada ketinggian kira-kira 4,150 meter. Anggota penyelamat sedang mengesan pendaki yang lain.

    Maklumat lanjut mengenai kejadian itu masih belum diumumkan.

    Klyuchevskaya Sopka yang mempunyai ketinggian kira-kira 4,750 meter ialah gunung berapi aktif tertinggi di Eurasia.