Tag: Gubah wang haram

  • Wanita didakwa ubah wang haram RM12,000 menerusi penjualan bayi

    Wanita didakwa ubah wang haram RM12,000 menerusi penjualan bayi

    SEORANG wanita warga emas yang juga bekas guru tuisyen mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen George Town, Pulau Pinang hari ini atas pertuduhan pengubahan wang haram menerusi aktiviti penjualan seorang bayi perempuan sebanyak RM12,000 tahun lalu.

    Tertuduh, Jamaliah Ahmad, 62, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mazdi Abdul Hamid.

    Mengikut pertuduhan, Jamaliah telah menerima wang tunai berjumlah RM12,000 yang merupakan hasil aktiviti haram di lobi sebuah hotel di Jalan Penang kira-kira pukul 7 malam, 15 Disember 2021.

    Perbuatan itu didakwa di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2021.

    Kesalahan tersebut memperuntukan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta yang mana lebih tinggi.

    Berdasarkan fakta kes, tertuduh didakwa telah mengiklankan di laman sosial Facebook dalam ‘’Group Pencarian Anak Angkat’ kepada pasangan-pasangan yang ingin mencari anak angkat.

    Pada 15 Disember 2021, tertuduh didakwa menjual bayi tersebut dengan harga RM12,000 kepada pasangan suami isteri dari Terengganu yang berminat mengambil bayi berkenaan sebagai anak angkat.

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Harris Ong manakala tertuduh diwakili peguam, MD. Yusuf MD. Idrdsrhd

    Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis setiap 1 haribulan, menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai serta tidak mengganggu saksi pendakwaan sehingga perbicaraan kes selesai.

    Mahkamah turut menetapkan 13 Januari tahun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

  • Ahli perniagaan mengaku tidak bersalah ubah wang haram RM2.04 juta

    Ahli perniagaan mengaku tidak bersalah ubah wang haram RM2.04 juta

    SEORANG ahli perniagaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas lima pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM2.04 juta.

    Norida Syakira Agus Yadi, 28, yang beralamat di Banting, Selangor, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan itu di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya.

    Wanita itu didakwa melakukan kesalahan tersebut antara 8 Jan 2021 hingga 20 Jun 2021, menerusi akaun syarikatnya DSS Berkat Enterprise di Maybank Islamic Berhad cawangan Kuala Lipis, dekat sini. 

    Norida Syakira didakwa melakukan kesalahan itu dengan membeli perniagaan sushi bernilai RM1.317 juta selain memindahkan wang hasil aktiviti haram berjumlah RM242,770, RM369,700 dan RM32,500 serta didakwa telah melupuskan wang berjumlah RM80,000. 

    Dia dituduh mengikut subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta sama.

    Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjarakan maksimum 15 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

    Timbalan Pendakwa Raya AMLA Rohaiza Zainal menawarkan jaminan RM500,000 dengan dua penjamin bagi semua pertuduhan dan memohon kes dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam, memandangkan tertuduh telah didakwa dengan satu pertuduhan di mahkamah itu, selain empat pertuduhan di Mahkamah Majistret Shah Alam melibatkan nilai jutaan ringgit pada 24 Feb lepas. 

    Bagaimanapun, peguam M. Manoharan yang mewakili tertuduh merayu jumlah itu dikurangkan kerana anak guamnya tidak berkeupayaan untuk membayar jaminan setelah menjelaskan jaminan sebanyak RM17,500 di Shah Alam dan berharap jaminan itu boleh diguna pakai di sini. 

    “Tertuduh telah kehilangan kerja selepas dihadapkan ke mahkamah sebelum ini dan suaminya juga tidak bekerja. Tertuduh mempunyai sepasang anak berusia lapan dan setahun dan mereka sangat rapat dengan tertuduh,” katanya. 

    Mahkamah membenarkan Norida Syakira diikat dijamin RM10,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan serta perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.

    Hakim turut membenarkan kes dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam. – BERNAMA 

  • Mahkamah diberitahu Ahmad Zahid atur gubah wang haram RM7.5 juta

    Mahkamah diberitahu Ahmad Zahid atur gubah wang haram RM7.5 juta

    MAHKAMAH Tinggi hari ini diberitahu bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengatur skim pengubahan wang haram berjumlah RM7.5 juta menggunakan perkhidmatan pengurup wang untuk mengubah wang menjadi cek dan akhirnya dimasukkan ke dalam pelbagai akaun simpanan tetap.

    Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Harris Ong Mohd Jeffrey Ong berhujah bahawa pengurup wang, Omar Ali Abdullah sebagai ejen, mendapat arahan daripada Ahmad Zahid untuk menukarkan RM7,511,250.20 menjadi 35 cek dan kemudian cek itu diserahkan kepada Tetuan Lewis & Co, pemegang amanah Yayasan Akalbudi milik bekas Timbalan Perdana Menteri (Ahmad Zahid).

    Harris Ong berkata, dana itu kemudian dimasukkan ke dalam pelbagai akaun simpanan tetap.

    “Omar Ali atas arahan tertuduh telah menerima wang tunai dari individu yang tidak dikenali. Dia (Omar Ali) menggunakan isterinya, syarikat Kamarunisah Ahmad Shah (Ekares Sdn Bhd) untuk mengeluarkan 35 keping cek kepada Lewis & Co.

    “Dia memasukkan wang tunai ke cek Ekares dan meminta isterinya untuk membuat pengesahan mengenai pembayaran jika diminta oleh bank.

    Dia kemudian mengisi jumlah dan penerima pada setiap cek dan menyampaikan semua cek kepada tertuduh,” katanya sebagai menjawab hujah pembelaan mengenai 27 tuduhan pengubahan wang haram di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.

    Harris Ong berkata, Kamarunisah tidak tahu mengenai kegunaan cek Ekares, jumlah yang tertera di setiap keping cek dan siapa penerima.

    Merujuk kepada isu tunai RM500,000 (sebahagian daripada RM7,511,250.20) yang diterima Omar Ali, TPR itu berkata, ia adalah daripada Yayasan Al-Bukhari (YALB).

    “Wang tunai itu dihantar oleh lelaki yang tidak dikenali kepada Omar Ali menunjukkan bahawa urusniaga itu mencurigakan dan meragukan.

    “Sekiranya benar wang itu berasal dari penderma untuk tujuan amal, mengapa semua wang tunai itu harus ditukar menjadi cek dan berakhir di akaun pelanggan Lewis & Co dan bukannya akaun Yayasan Akalbudi?

    “Tanpa dokumentasi yang tepat, kami mengatakan bahawa semua wang tunai yang diterima Omar Ali berasal dari sumber haram dan bukan YALB. Omar Ali tidak tahu siapa lelaki itu dan tidak ada petunjuk bahawa lelaki itu adalah wakil YALB,” tambahnya.

    Bagi pertuduhan ke-27, Ahmad Zahid dituduh mengarahkan pengurup wang Omar Ali Abdullah menukar wang tunai berjumlah RM7,511,250.20 menjadi 35 cek yang dibuat kepada Lewis & Co sebagai simpanan tetap di Maybank adalah satu bentuk pengubahan wang haram yang berasal dari sumber tidak sah.

    Sementara itu, Harris Ong berkata, berdasarkan pertuduhan satu hingga 25, Lewis & Co menerima sejumlah 92 cek, berjumlah RM76.9 juta dari pelbagai individu dan entiti yang tidak mempunyai kaitan perniagaan dengan firma itu.

    Beliau berkata, rakan kongsi syarikat itu, B Muralidharan dalam keterangannya memberitahu bahawa dia telah menerima cek dari Ahmad Zahid di rumah bekas Timbalan Perdana Menteri itu atau cek berkenaan diserahkan kepadanya di syarikat tersebut.

    “Cara cek disampaikan oleh tertuduh dan arahan yang diberikan kepada Muralidharan jelas menunjukkan bahawa Ahmad Zahid terlibat secara langsung dalam memberi arahan kepada Muralidharan untuk menyimpan semua cek yang diterima untuk dimasukkan ke dalam 25 simpanan tetap, sebagaimana tuduhan satu hingga 25,” katanya.

    Ahmad Zahid, 68, berdepan 47 pertuduhan iaitu 12 pecah amanah jenayah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan berpuluh-puluh juta ringgit milik Yayasan Akal Budi.

    Pendakwaan akan menyambung hujahnya pada Rabu. – Bernama