Tag: Guan Eng

  • Muhyiddin, Hadi dan pemimpin politik sedih dengan pemergian Salahuddin

    Muhyiddin, Hadi dan pemimpin politik sedih dengan pemergian Salahuddin

    PRESIDEN Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub yang meninggal dunia malam ini.

    Muhyiddin, yang juga Pengerusi Perikatan Nasional, mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh.

    “Saya merasa dukacita mendengar perkhabaran ini dan berdoa semoga seluruh ahli keluarga Allahyarham dapat bersabar dan tabah melalui detik mendukacitakan ini,” katanya dalam catatan di laman Facebook.

    Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang, menerusi laman Facebook, turut mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham.

    “Semoga Allah mengampunkan segala dosanya dan mencucuri rahmat ke atasnya,” kata beliau.

    Pengerusi DAP Lim Guan Eng pula menyifatkan ketokohan dan jasa Salahuddin menyemai benih harapan untuk masa depan negara.

    “Tidak terungkap kesedihan dengan pemergian sahabat dan rakan seperjuangan saya saudara Salahuddin Ayub. Salam takziah untuk keluarga beliau, semoga sabar menghadapi ujian ini,” katanya.

    Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut mengutuskan ucapan takziah kepada keluarga Salahuddin sambil berterima kasih atas usaha dan keringat Allahyarham ketika berkhidmat untuk negara.

    “Semoga beliau ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman,” katanya.

    Salahuddin, 61, menghembuskan nafas terakhir pada 9.23 malam di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah.

  • Guan Eng, 9 ADUN DAP nafi rancang singkir Kon Yeow sebagai KM

    Guan Eng, 9 ADUN DAP nafi rancang singkir Kon Yeow sebagai KM

    10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada DAP menafikan terlibat dalam mana-mana gerakan untuk menyingkirkan Chow Kon Yeow sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang selepas pilihan raya negeri (PRN).

    Mereka yang dikatakan terlibat diketuai Lim Guan Eng yang juga ADUN Air Putih; Lim Siew Khim (Sungai Pinang); Jason H’ng Mooi Lye (Jawi); Heng Lee Lee (Berapit); Joseph Ng Soon Siang (Air Itam) dan Ong Ah Teong (Batu Lancang).

    Ini termasuk Daniel Gooi Zi Sen (Pengkalan Kota); M. Satees (Bagan Dalam); Syerleena Abdul Rashid (Seri Delima) dan Chris Lee Chun Kit (Pulau Tikus).

    Semua mereka merupakan ADUN Pulau Pinang biasa yang tidak memegang sebarang jawatan kerajaan dalam Kerajaan Negeri Pulau Pinang sama ada sebagai Ketua Menteri, ahli Exco atau Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri.

    Dalam satu kenyataan bersama hari ini, 10 ADUN berkenaan menegaskan dan mengesahkan, mereka tidak pernah bercakap dengan portal berita yang menerbitkan artikel berkenaan desakan menukar Kon Yeow sebagai Ketua Menteri.

    Malah, mereka turut menyifatkan artikel berkenaan berniat jahat dan tidak adil apabila tidak menyebut siapa tiga ADUN yang dikaitkan dengan desakan tersebut sekali gus meletakkan semua mereka di bawah syak wasangka awam yang tidak perlu.

    “Untuk mengaitkan laporan itu kepada mana-mana daripada kami (sebagai tiga ADUN dalam laporan portal berita terbabit) adalah tidak benar dan palsu.

    “Oleh itu, kami tidak dapat memastikan dari mana portal berita itu mendapat maklumat mereka yang tidak berasas ini.

    “Pencalonan untuk kerusi dan jawatan ditentukan oleh parti dan kami akan menghormati keputusan parti, menurut kenyataan tersebut.

    Tegas mereka, semuanya tidak akan ditarik ke dalam sebarang percubaan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk memecahbelahkan dan mengalih perhatian daripada objektif untuk berkhidmat kepada rakyat dan memastikan masa depan Pulau Pinang bertambah baik.

    “Memenangi pilihan raya negeri akan datang adalah penting untuk memakmurkan Pulau Pinang dan mengukuhkan kestabilan politik serta mengukuhkan Kerajaan Perpaduan di Putrajaya untuk lima tahun akan datang,” katanya.

    Terdahulu awal hari ini, sebuah portal berita melaporkan terdapat desakan dari dalam DAP untuk menyekat Kon Yeow daripada kembali menjadi Ketua Menteri selepas PRN akan datang.

    Malah, laporan itu mendakwa, gerakan tersebut dikatakan mahu Guan Eng yang juga Pengerusi DAP kembali menerajui kerajaan negeri dengan alasan Kon Yeow dilihat tidak berkesan sebagai Ketua Menteri.

    Laporan portal berita bertajuk ‘Ada desakan dalam DAP tukar Chow, Lim kembali jadi KM P. Pinang’ itu turut menyebut pertemuan dengan tiga ADUN yang tidak berpuas hati berkenaan diadakan semalam.

    Dalam reaksi terhadap laporan portal itu, Kon Yeow bagaimanapun berkata, beliau tidak menyedari wujudnya desakan itu malah tidak ada mana-mana ADUN kerajaan negeri yang pernah menyatakan atau menunjukkan rasa tidak puas hati mereka terhadap pentadbiran beliau sepanjang menjadi Ketua Menteri selama ini.

    Mengulas isu sama, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke turut menyifatkan desakan supaya Guan Eng kembali menerajui Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebagai khabar angin dan DAP tidak pernah menerima sebarang memorandum atau surat daripada mana-mana ADUN mengenai perkara tersebut.

  • Zahid, Guan Eng, Syed Saddiq, Bung Mokhtar tak boleh sertai kabinet

    Zahid, Guan Eng, Syed Saddiq, Bung Mokhtar tak boleh sertai kabinet

    AHLI Parlimen yang terlibat dalam kes salah laku tidak boleh menyertai Kabinet jika kerajaan benar-benar serius untuk tidak berkompromi dalam isu integriti.

    Penganalisis politik, Prof. Wong Chin Huat berkata, jika individu yang berdepan kes mahkamah diturut sertakan dalam pentadbiran, rakyat akan marah dan pembangkang akan menggunakannya sebagai senjata untuk menyerang kerajaan.

    “Kalau kemudian kes mereka digugurkan kerana Peguam Negara kita masih belum direformasikan, rakyat akan melihat keadilan itu digadai atas pertimbangan politik – jadi itu tak boleh berlaku.

    “Secara terus terang, saya rasa ada empat Ahli Parlimen dalam kerajaan campuran ini yang tak boleh jadi ahli Kabinet – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Lim Guan Eng, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Datuk Seri Bung Mokhtar Radin,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam program Agenda Awani, semalam.

    Katanya, keempat-empat individu tersebut masih menjalani perbicaraan di mahkamah atas dakwaan salah guna kuasa dan korupsi.

    “Beberapa penganalisis sebelum ini juga menyatakan perkara sama, walaupun seseorang itu masih tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah, tumpuan mereka nanti akan lebih terarah kepada mahkamah dan mustahil untuk memberikan khidmat terbaik kepada rakyat,” katanya.

    Secara kolektifnya, kata Chin Huat, jika individu terbabit dan mereka yang tidak mempunyai reputasi bersih dilantik menjadi anggota pentadbiran, kerajaan nanti akan sentiasa dalam posisi defensif lantas tidak dapat berfungsi sepertimana diharapkan.

  • Anwar, Guan Eng perlu jawab dakwaan Azmin berkaitan Teraju

    Anwar, Guan Eng perlu jawab dakwaan Azmin berkaitan Teraju

    PEMIMPIN Pakatan Harapan (PH) terutama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng, digesa menjawab setiap pendedahan dibuat Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

    Ia termasuk dakwaan sekatan peruntukan untuk masyarakat Bumiputera ketika PH mentadbir negara pada 2018 hingga kerajaan itu terbubar pada Februari 2020.

    Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, beliau merujuk kepada pendedahan pada 29 Oktober lalu bahawa pemimpin DAP iaitu Guan Eng yang menjadi Menteri Kewangan ketika pentadbiran PH, menyekat peruntukan sebanyak RM400 juta kepada peniaga kecil Melayu Bumiputera Melayu.

    Beliau berkata, jumlah itu membabitkan dana setahun yang sepatutnya disalurkan kepada Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), iaitu unit bawah Jabatan Perdana Menteri yang penubuhannya untuk memperkasakan ekonomi masyarakat Bumiputera.

    Katanya, tindakan itu amat mengejutkan dan membimbangkan.

    “Kenapa PH dan pemimpinnya Anwar berdiam diri mengenai perkara penting yang membabitkan ekonomi Bumiputera sehingga kini?

    “Di mana ketelusan yang sering disebut oleh PH?” katanya dalam satu kenyataan lapor portal BeritaBersatu.

    Ahmad Faizal berkata, Mohamed Azmin yang juga menteri Kabinet ketika itu, pernah membantah tindakan Guan Eng dengan menyuarakannya kepada Perdana Menteri ke-tujuh, Tun Dr Mahathir Mohamad.

    Beliau berkata, Guan Eng juga bertanggungjawab mencantas dana penambahbaikan jalan raya bagi kawasan FELDA, daripada 1,000 kilometer (km) kepada hanya 300 km serta percubaan untuk menutup Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) yang menyediakan modal bagi perniagaan Bumiputera untuk mengambilalih syarikat-syarikat strategik.

    Justeru, Ahmad Faizal menggesa Anwar yang juga calon Perdana Menteri PH untuk menjawab beberapa persoalan.

    Antaranya, adakah jika dilantik menjadi Perdana Menteri kelak, Anwar mampu menjamin bahawa hak ekonomi Bumiputera Melayu akan dipertahankan, memandangkan bahawa DAP adalah parti dominan dalam PH?

    “Adakah Anwar pernah membantah dalam Majlis Presiden PH terhadap tindakan-tindakan yang memprejudis ekonomi Bumiputera oleh Menteri Kewangan DAP seperti dinyatakan?

    “Apakah pemimpin DAP akan sekali lagi diberi jawatan Menteri Kewangan jika PH dapat membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15)?

    “Apakah justifikasi Guan Eng dan PH untuk menyekat peruntukan Bumiputera Melayu dalam zaman pemerintahan PH?” katanya, lapor BH Online.

    Ahmad Faizal berkata, sehingga kini, tiada seorang pun dari PH atau Guan Eng atau Anwar yang berani memberi respon terhadap pendedahan oleh Mohamed Azmin Ali kerana rakyat berhak mengetahui perkara sebenar.

    “Anwar dan PH tidak wajar terus membisu,” katanya.