Tag: GST

  • Apabila tiba masanya, GST mungkin dilaksana semula, kata Rafizi

    Apabila tiba masanya, GST mungkin dilaksana semula, kata Rafizi

    MENTERI Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, cukai barang dan perkhidmatan (GST) mungkin akan dilaksanakan semula apabila sudah tiba masanya.

    Beliau bagaimanapun menjelaskan, pelaksanaan semula GST seharusnya bersifat lebih progresif.

    “Pandangan saya mengenai GST ialah apabila tiba masanya, ia adalah sesuatu yang kita perlu lihat tetapi sebelum itu, kita mempunyai laluan yang mencukupi untuk tempoh 12 hingga 15 bulan akan datang untuk memperbaiki perkara yang berada dalam kawalan kita.

    “Sebagai contoh, kita (kerajaan) mampu menguruskan perbelanjaan kita dengan lebih baik kali ini,” katanya, lapor Astro AWANI.

    Beliau berkata demikian sewaktu berucap pada forum ekonomi anjuran alumni penjawat awam di ibu negara, hari ini.

    Mengulas lanjut, Rafizi berkata, pelaksanaan semula GST itu tidak seharusnya dijadikan sebagai langkah kerajaan untuk meraih tabung kerajaan yang lebih tinggi.

    “Kadar GST boleh dinaikkan dengan mudah daripada 5 peratus kepada 20 peratus jika kerajaan tidak membetulkan isu berkaitan tadbir urus, perbelanjaan dan kecekapan belanjawan.

    “Ini hanya akan menyebabkan belanjawan negara dan kewangan awam dalam keadaan lemah yang berterusan,” katanya.

    Rafizi sementara itu berkata, terdapat beberapa perkara yang perlu dilaksanakan sebelum keputusan untuk melaksanakan semula GST dengan lebih berkesan dan bukan sekadar untuk meraih kutipan cukai yang lebih tinggi.

    Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan, kerajaan tidak bercadang untuk melaksanakan semula GST yang telah dimansuhkan pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).

  • GST: Jangan kenakan cukai terhadap barang asasi

    GST: Jangan kenakan cukai terhadap barang asasi

    KERAJAAN perlu mengambil kira semua aspek dan membuat pertimbangan sewajarnya jika ingin melaksanakan semula sistem cukai barang dan perkhidmatan (GST).

    Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, sebarang keputusan yang diambil kelak perlu mengambil kira kebajikan rakyat terutama golongan berpendapatan rendah.

    “Jangan kenakan cukai terhadap barangan asasi…rakyat sudah terhimpit dengan pelbagai kenaikan kos hidup yang berlaku sekarang.

    “Pertimbangkan ia dengan cara yang saksama iaitu kesannya terhadap bebanan rakyat dan tanggungjawab (yang perlu dilakukan) kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah mingguan di Masjid Rusila di Marang, hari ini

    Rabu lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam wawancara khas bersama kumpulan media, Nikkei Asia di Tokyo berkata kerajaan tidak menolak kemungkinan untuk mengembalikan GST.

    Ia sebagai satu cara efektif menambah pendapatan negara bagi menangani kenaikan inflasi dan kos sara hidup rakyat selain GST dilihat mampu mengembangkan pendapatan asas negara. – BERNAMA