Tag: GRO

  • 17 GRO asing leka layan pelanggan dicekup

    17 GRO asing leka layan pelanggan dicekup

    SEBANYAK 17 wanita warga asing disyaki bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) di dua pusat hiburan dan satu pusat refleksologi di sekitar pusat bandar Melaka dicekup Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) negeri, malam kelmarin.

    Kesemua mereka antara 23 pendatang tanpa izin (Pati) ditahan anggota dan pegawai Bahagian Penguat Kuasa JIM Melaka menerusi beberapa serbuan dilakukan bermula pukul 11 pagi kelmarin hingga 1 pagi semalam.

    Menurut Pengarah JIM Melaka, Anirwan Fauzee Mohd Aini, lokasi serbuan turut membabitkan medan selera, bengkel kereta dan kafe hiburan yang disyaki menggaji warga asing.

    Katanya, serbuan dilakukan hasil aduan awam dan penduduk setempat mengenai Pati membabitkan pelbagai negara.

    “Seramai 17 wanita yang ditahan di pusat refleksologi dan pusat hiburan terdiri daripada warga Vietnam, Thailand, Laos dan China berusia antara 20 hingga 30 tahun. Selain itu seorang lelaki tempatan turut ditahan dalam serbuan sama.

    “Hasil risikan dijalankan mereka disyaki bekerja sebagai pelayan pelanggan yang kemungkinan diuruskan oleh ejen yang bergerak dari satu tempat ke tempat lain.

    “Mereka dikatakan bergiat aktif pada hujung minggu berdasarkan permintaan tinggi pelanggan mengikut lokasi berbeza,” katanya, lapor Harian Metro.

    Anirwan Fauze berkata, keseluruhannya seramai 23 warga asing ditahan terdiri daripada 21 wanita dan dua lelaki sebelum dibawa ke pejabat JIM untuk siasatan lanjut.

    “Daripada jumlah itu 12 orang adalah warga Vietnam, Thailand (empat), Myanmar (dua), Indonesia (tiga) dan masing-masing seorang warga Laos dan China,” katanya.

    Beliau berkata, antara kesalahan adalah seperti tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, melanggar syarat pas atau permit dan lain-lain kesalahan mengikut akta dan peraturan migresen.

    “Pemeriksaan lanjut mendapati premis kafe hiburan terbabit baru dibuka dan beroperasi tanpa lesen.

    “Premis beroperasi dalam keadaan mencurigakan apabila pintu utama ditutup rapat dan ada laluan khas yang dikawal oleh penjaga di luar premis berkenaan.

    “Kita turut mengeluarkan 11 saman kepada saksi untuk hadir memberi dan membantu siasatan selain mengesan pemilik kafe hiburan terbabit,” katanya.

  • Pusat hiburan tanpa lesen diserbu, 16 GRO warga asing ditahan

    Pusat hiburan tanpa lesen diserbu, 16 GRO warga asing ditahan

    POLIS menyerbu sebuah pusat hiburan tidak berlesen di Jalan Metro Perdana Barat, Taman Usahawan Kepong dekat sini semalam dan menahan 16 warga asing dipercayai bekerja sebagai wanita pelayan pelanggan (GRO).

    Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata serbuan pada 10.50 malam itu dijalankan oleh sepasukan pegawai serta anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hasil maklumat dan risikan. 

    “Pusat hiburan berkenaan didapati menjalankan perniagaan tanpa lesen dan pasukan kita telah menahan 16 wanita warga asing itu serta seorang lelaki berusia 21 tahun yang merupakan penjaga premis berkenaan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

    Beliau berkata turut diperiksa 50 pelanggan berusia di 23 hingga 57 tahun yang berada di pusat berkenaan dan mereka telah dibebaskan tanpa syarat manakala peralatan audio yang digunakan untuk tujuan hiburan antara yang dirampas.

    Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur kerana menjalankan aktivi pusat hiburan tanpa lesen perniagaan yang sah, Seksyen 55B Akta Imigresen kerana mengajikan warga asing tanpa permit yang sah, Seksyen 6(1) (c) AKta Imigresen kerana tiada dokumen perjalanan yang sah dan Seksyen 39b Peraturan Imigresen kerana kesalahan menyalahgunakan pas lawatan.- BERNAMA 

  • Kelab malam tawar ‘amoi Thai’ untuk aktiviti persundalan diserbu

    Kelab malam tawar ‘amoi Thai’ untuk aktiviti persundalan diserbu

    SERAMAI 44 wanita warganegara asing dari Thailand termasuk seorang dari Laos yang dipercayai bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) di sebuah kelab malam di Taman Bukit Indah Nusajaya, Johor ditahan semasa satu serbuan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

    Serbuan kira-kira pukul 1 pagi itu turut menahan enam individu lain iaitu dua lelaki warganegara Bangladesh dan seorang lelaki warganegara Pakistan yang bekerja sebagai pekerja am manakala selebihnya rakyat tempatan.

    Ketua Pengarah JIM, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, operasi itu disertai sepasukan 27 orang Pegawai Imigresen dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Imigresen Putrajaya.

    Menurutnya, serbuan itu rentetan daripada hasil maklumat soal siasat tangkapan sindiket membekal tukang urut warganegara Thailand yang ditumpaskan pada 21 Julai yang lalu.

    “Modus operandi yang dijalankan adalah pelayan-pelayan ini akan berdiri di atas pentas dan pengunjung akan memilih dengan menyarungkan kalungan bunga kepada pelayan yang dikehendaki.

    “Bayaran yang dikenakan di antara RM200 sehingga RM300 bagi setiap kalungan bunga. Sekiranya pelanggan ingin mendapatkan perkhidmatan seks daripada pelayan, bayaran yang dikenakan adalah sekitar RM1,000 ke RM1,500 satu malam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, Khairul Dzaimee berkata, dalam serbuan itu, seramai 150 orang diperiksa dan hasilnya seramai 50 orang individu yang terdiri daripada warga asing dan tempatan yang berumur dalam lingkungan 24 hingga 35 tahun telah ditahan.

    Tiga warga tempatan yang ditahan terdiri daripada seorang lelaki dan dua wanita yang berperanan sebagai penjaga premis berkenaan.

    “Semasa serbuan dilakukan, terdapat beberapa orang wanita warga asing cuba melarikan diri namun berjaya ditangkap oleh pegawai operasi.

    “Ada juga pengunjung yang cuba melakukan provokasi dengan mencabar pegawai operasi dan melemparkan kata-kata kesat namun situasi berjaya dikawal dan ditenteramkan,” katanya.

    Khairul Dzaimee memberitahu, semakan awal mendapati wanita warganegara asing itu memasuki Malaysia menggunakan Pas Lawatan Sosial (PLS) sebagai pelancong, dan mereka memenuhi syarat-syarat kemasukan bagi tujuan melancong.

    Namun begitu, kemudahan Imigresen yang diberikan ini telah disalah guna.

    “Kesemua mereka yang ditahan disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(4) Akta Imigresen dan Seksyen 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

    “Tiga orang warga tempatan ditahan dibawah Seksyen 55E dan 56(1)d Akta Imigresen.Turut dirampas 50 naskah pasport pelbagai warganegara,” katanya.

    Kesemua yang ditahan telah dibawa ke Pejabat Imigresen Setia Tropika, Johor untuk siasatan lanjut.

    Sementara itu Khairul Dzaimee berkata, JIM akan terus memburu saki-baki warga asing yang terlibat dalam rangkaian sindiket ini dan akan memperketatkan lagi kawalan di sempadan khususnya di pintu-pintu masuk di sebelah utara.