Tag: Gopal Sri Ram

  • Najib, Shafee gagal dapat kebenaran rayu gugur Sri Ram

    Najib, Shafee gagal dapat kebenaran rayu gugur Sri Ram

    DATUK Seri Najib Tun Razak dan peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah gagal dalam usaha mereka untuk mendapatkan kebenaran merayu keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan semakan kehakiman mereka untuk menggugurkan Datuk Seri Gopal Sri Ram daripada pasukan pendakwaan kes mereka.

    Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Datuk Seri Mohd Zawawi Salleh sebulat suara menolak permohonan mereka untuk mendapatkan kebenaran meneruskan rayuan mereka di Mahkamah Persekutuan tanpa perintah berhubung kos.

    Beliau berkata, persoalan undang-undang yang Najib dan Muhammad Shafee mahu mahkamah pertimbangkan telah diputuskan oleh Mahkamah Rayuan dalam kes Pendakwa Raya melawan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2014 dan disahkan oleh Mahkamah Persekutuan.

    Dalam kes sivil, pihak litigasi perlu mendapatkan kebenaran terlebih dahulu sebelum boleh meneruskan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

    Mohd Zawawi, yang bersidang bersama Datuk Nallini Pathmanathan dan Datuk Vernon Ong Lam Kiat, berkata persoalan undang-undang mengenai pelantikan peguam bela sebagai timbalan pendakwa raya telah selesai dan mahkamah tidak mempunyai sebab untuk tidak menerima keputusan itu yang disahkan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Anwar.

    Dalam kes berkenaan, Anwar memohon untuk menggugurkan Muhammad Shafee daripada bertindak sebagai pendakwa ad hoc untuk mengetuai pasukan pendakwaan dalam rayuan pendakwaan dalam kes liwat.

    Hakim Mahkamah Persekutuan (Mohd Zawawi) berkata, Seksyen 376 (3) dan Seksyen 379 Kanun Tatacara Jenayah berkaitan dengan dua cara pelantikan, pertama pelantikan terus oleh pendakwa raya dan Seksyen 379 adalah melalui fiat pendakwa raya.

    Najib memfailkan permohonan semakan kehakiman untuk melucutkan kelayakan Sri Ram sebagai timbalan pendakwa raya kanan dalam kes berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) pada Disember 2018.

    Muhammad Shafee, yang juga peguam bekas perdana menteri itu, turut memfailkan semakan kehakiman kerana beliau juga mahu menggugurkan Sri Ram daripada pasukan pendakwaan perbicaraan pengubahan wang haram berjumlah RM9.5 juta yang dihadapinya.

    Mereka memohon perintah mahkamah untuk membatalkan atau menggugurkan pelantikan Sri Ram dengan menyatakan bahawa surat pelantikan itu tidak sah.

    Najib dan Muhammad Shafee juga memohon pengisytiharan bahawa terdapat percanggahan kepentingan dalam pelantikan itu dan memohon perintah untuk melarang Sri Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam semua kes yang dihadapi mereka, termasuk dalam kes rasuah, penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram.

    Kedua-dua semakan kehakiman Najib dan Muhammad Shafee telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada 2020 dan mereka gagal dalam rayuan mereka yang juga ditolak oleh Mahkamah Rayuan tahun lepas.

    Semasa prosiding hari ini yang dijalankan secara maya, Muhammad Shafee yang mewakili Najib dan peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Muhammad Shafee berkata terdapat persoalan undang-undang baharu dan kepentingan awam untuk dipertimbangkan oleh Mahkamah Persekutuan.

    Antara persoalan undang-undang yang dikemukakan untuk dipertimbangkan oleh Mahkamah Persekutuan adalah berkaitan pelantikan peguam sebagai timbalan pendakwa raya di bawah Seksyen 376 (3) dan Seksyen 379 Kanun Tatacara Jenayah.

    Persoalan lain adalah sama ada pihak pendakwa raya boleh melantik peguam bela sebagai timbalan pendakwa raya kanan tanpa pelantikannya sebagai timbalan pendakwa raya dibuat di tempat dahulu mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Tatacara Jenayah.

    Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan bertindak bagi pihak kerajaan, Peguam Negara dan Sri Ram membantah permohonan kebenaran dengan mengatakan bahawa persoalan undang-undang telah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Anwar. – BERNAMA

  • Najib, Shafee gagal rayuan gugur Gopal Sri Ram

    Najib, Shafee gagal rayuan gugur Gopal Sri Ram

    BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan peguamnya Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah gagal dalam rayuan mereka untuk menggugurkan Datuk Seri Gopal Sri Ram daripada menjadi timbalan pendakwa raya (TPR) kanan dalam kes mereka.

    Panel tiga hakim yang terdiri daripada Hakim Datuk Yaacob Md Sam, Datuk Lee Heng Cheong dan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dalam keputusan sebulat suara, menolak rayuan yang dikemukakan Najib dan Muhammad Shafee.

    “Kami memutuskan bahawa tidak diragukan Sri Ram adalah lebih daripada layak sebagai individu yang sesuai dan wajar untuk dilantik sebagai TPR kanan,” kata Hakim Yaacob yang menyampaikan keputusan mahkamah.

    Beliau berkata, Peguam Negara ketika itu Tan Sri Tommy Thomas berpuas hati bahawa Sri Ram adalah individu yang layak dan sesuai mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) untuk dilantik sebagai TPR kanan.

    Hakim itu berkata mahkamah bersetuju dengan Hakim Mahkamah Tinggi bahawa tiada apa-apa pun dalam Seksyen 376 (3) KPJ yang memperuntukkan bahawa orang yang layak dan sesuai untuk menjadi TPR mesti daripada perkhidmatan kehakiman dan undang-undang atau penjawat awam, sambil menambah bahawa tidak ada keperluan sedemikian dalam undang-undang.

    Hakim Mahkamah Rayuan itu berkata, adalah jelas dalam meminda Seksyen 376 (3) KPJ, Parlimen berhasrat untuk memberi kuasa kepada Peguam Negara untuk melantik dan melantik sesiapa yang layak dan sesuai sebagai TPR kanan.

    Beliau berkata, mahkamah berpendapat Seksyen 376 (3) itu adalah peruntukan tersendiri berhubung pelantikan sesiapa sahaja yang dianggap layak dan sesuai untuk dilantik sebagai TPR atau TPR kanan.

    Seksyen itu katanya, dipinda bagi membolehkan Peguam Negara merangkap pendakwa raya melantik TPR supaya pendakwaan dikendalikan oleh TPR yang berpengalaman selaras dengan kerumitan kes.

    Najib dan Muhammad Shafee juga katanya, gagal membuktikan Peguam Negara telah bertindak melanggar undang-undang atau bertindak secara mala fide dalam melantik Sri Ram sebagai TPR kanan, katanya.

    “Mahkamah Tinggi tidak tersilap semasa menolak semakan kehakiman (yang dikemukakan Najib dan Muhammad Shafee) yang memerlukan campur tangan rayuan,” katanya dalam prosiding secara maya hari ini.

    Mahkamah membenarkan kos RM10,000 yang ditetapkan oleh Mahkamah Tinggi diketepikan.

    Pada 28 Ogos tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan semakan kehakiman Najib dan Muhammad Shafee untuk menggugurkan Sri Ram, bekas hakim Mahkamah Persekutuan sebagai TPR kanan dalam perbicaraan kes mereka.

    Najib memfailkan permohonan semakan kehakiman untuk menggugurkan Sri Ram dalam kesnya berkaitan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada Disember 2018 manakala Muhammad Shafee mencabar pelantikan Sri Ram dalam perbicaraan kesnya sendiri membabitkan dua pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM9.5 juta.

    Mereka memohon perintah mahkamah untuk membatalkan atau menggugurkan pelantikan Sri Ram dengan menyatakan bahawa surat pelantikan bekas hakim itu sebagai TPR tidak sah.

    Mereka juga memohon pengisytiharan bahawa terdapat percanggahan kepentingan dalam pelantikan itu dan memohon perintah untuk melarang Sri Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam semua kes yang dihadapi mereka, termasuk dalam kes rasuah, penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram.

    Pasukan peguam yang diketuai Muhammad Shafee mewakili Najib manakala Harvinderjit Singh dan Harvinder Singh Sidhu mewakili Muhammad Shafee.

    Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan bertindak bagi pihak kerajaan, Peguam Negara dan Sri Ram. – BERNAMA