Tag: Gombak

  • DJ radio terkejut rumah ditembak individu tidak dikenali

    DJ radio terkejut rumah ditembak individu tidak dikenali

    SEORANG wanita yang juga penyampai radio terkejut apabila kediamannya di Seri Aman Heights dekat Desa Jaya, Gombak, ditembak individu tidak dikenali awal pagi tadi.

    Difahamkan kejadian mangsa selepas terdengar letupan dari luar rumah, sebelum pemeriksaan menemukan kesan lubang pada pintu, selain kesan tembakan pada dinding ruang tamu kediaman.

    Lapor Berita Harian, Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Noor Ariffin Mohamad Nasir, mengesahkan kejadian itu.

    Menurutnya, Pusat Kawalan Daerah IPD Gombak menerima panggilan kecemasan MERS 999 daripada mangsa jam 1.50 pagi memaklumkan terdengar letupan di luar rumah dan terdapat kesan berlubang pada pintu kayu hadapan rumah.

    Katanya, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak dikejarkan ke lokasi bersama Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Unit Anjing Pengesan (K9) untuk menjalankan siasatan.

    “Hasilnya, kita mengesan satu kesan lubang pada pintu kayu hadapan rumah dan kesan terkena peluru pada dinding ruang tamu rumah.

    “Turut dijumpai satu serpihan besi iaitu serpihan anak peluru di bahagian ruang tamu rumah,” katanya hari ini.

    Noor Ariffin berkata, sehingga kini siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti motif kejadian dengan kes disiasat mengikut Seksyen 39 Akta Senjata 1960.

    Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Khalpna Rajandhiran di talian 03-61262222 atau 012-5018901.

  • Azmin tekad teruskan usaha jadikan Gombak daerah sejahtera

    Azmin tekad teruskan usaha jadikan Gombak daerah sejahtera

    CALON Perikatan Nasional (PN) P.098 Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tekad mahu meneruskan usahanya selama tiga penggal untuk menjadikan Gombak daerah yang maju dan selamat untuk didiami.

    Beliau yang juga penyandang kerusi itu berkata, selain membangunkan infrastruktur dan prasarana yang menjana ekonomi, keamanan dan keselamatan rakyat Gombak akan terus menjadi keutamaannya.

    “Saya mahu Gombak ini bukan sahaja menjadi sebuah daerah yang pesat membangun tetapi Gombak mesti dibangunkan sebagai sebuah ‘liveable city’.

    “Saya bersyukur ketika diberi tugas sebagai Menteri Besar dahulu dan saya juga sebagai Ahli Parlimen Gombak, saya mendapat kerjasama yang cukup baik daripada pengurusan dan pentadbiran pihak berkuasa tempatan,” katanya.

    Bercakap dalam program Agenda AWANI khas Malaysia Memilih semalam, beliau memberitahu dua PBT terlibat iaitu kerjasama Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah melancarkan kerja-kerja untuk memastikan kesejahteraan rakyat Gombak dijaga.

    Sistem perparitan, penggantian paip-paip bocor di taman-taman perumahan, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) serta pembinaan pondok-pondok keselamatan adalah antara perkara yang katanya telah dilaksanakan dan akan terus diberi perhatian.

    “Kesemuanya bertujuan untuk mengimbangi antara pembangunan prasarana dan infrasturktur dengan kesejahteraan rakyat.

    “Ini penting kerana saya mahu rakyat Gombak rasa selamat mendiami Gombak, rakyat dapat kesejahteraan berada di Gombak, rakyat mendapat pekerjaan berkualiti di Gombak dan mereka tak perlu berhijrah jauh dari sini.

    “Ini semua perkara yang telah menjadi asas yang telah kita bina selama ini dan saya akan teruskan inisiatif dan usaha ini demi kesejahteraan rakyat Gombak, insyaAllah,” katanya lapor portal BeritaBersatu.