Tag: GLC

  • BERSIH kecam lantikan politik Pengerusi GLC, gesa reformasi disegerakan

    BERSIH kecam lantikan politik Pengerusi GLC, gesa reformasi disegerakan

    PELANTIKAN dua jawatan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dikecam Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH).

    Ia merujuk kepada lantikan dua pemimpin UMNO iaitu bekas Ketua Pemuda, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki yang dilantik sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) berkuatkuasa 1 Mac 2023.

    Satu lagi lantikan ialah Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob yang dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) berkuatkuasa 10 Mac lalu.

    Pertubuhan sivil itu juga mengecam pelantikan Datuk Husam Musa selaku Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB).

    “Pelantikan-pelantikan ini diumumkan ketika UMNO sedang menjalani pemilihan parti mereka dan sebelum pilihan raya negeri akan datang, justeru pelantikan ini boleh dilihat sebagai penaungan dan ganjaran untuk mendapatkan sokongan.

    “Kami mengingatkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim tentang usaha awalnya untuk menyelaraskan proses pelantikan GLC dan memerangi kronisme,” kata nya menerusi kenyataan hari ini, lapor Astro AWANI.

    Menerusi kenyataan sama, BERSIH menjelaskan sekurang-kurangnya 25 ahli politik telah dilantik sebagai pengarah dalam GLC atau Badan Berkanun semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH) antara 2018 hingga 2020.

    Bilangan ini meningkat semasa pentadbiran Perikatan Nasional (PN) di mana sekurang-kurangnya 53 ahli politik telah dilantik.

    “Sementara kami tidak sepenuhnya melarang ahli politik untuk memegang sebarang jawatan dalam GLC atau badan berkanun, proses pelantikannya perlu direformasi supaya mana-mana pelantikan dibuat dengan telus selepas calon-calon menjalani penelitian agar mereka mempunyai kelayakan dan kemampuan yang tepat, dan bukannya sekadar ‘ganjaran politik’ untuk mendapatkan sokongan,” katanya lagi.

    Bagi tujuan mereformasi pelantikan jawatan tertinggi GLC, Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan badan berkanun, BERSIH telah mencadangkan:

    a) Larangan melantikan wakil rakyat ke dalam GLC, GLIC atau badan berkanun. Hal ini telah dilaksanakan di India dan Korea Selatan, dan perundangan yang serupa boleh dikaji dan diteladani.

    b) Penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP) untuk memantau dan menapis pencalonan. Penubuhan JPKP ini dapat menambah ketelusan dan memastikan bahawa hanya calon yang layak dapat dilantik melalui satu proses berbanding pelantikan secara wewenang.

    c) Penggubalan Akta yang akan mentakrifkan GLC dan GLIC secara jelas yang akan terpakai di kedua-dua peringkat persekutuan dan negeri. Sebagai alternatif, undang-undang yang sedia ada seperti Akta Syarikat boleh dipinda untuk mencapai tujuan ini.

    Selain itu, BERSIH turut menggesa kerajaan untuk melaksanakan reformasi terbabit dengan segera selain meletakkan mekanisme yang diperlukan bagi mewujudkan proses pelantikan yang lebih telus, sekali gus meningkatkan keabsahan pelantikan tersebut.

  • Lantikan politik dikritik banyak pihak, disifatkan ‘cakap tak serupa bikin’

    Lantikan politik dikritik banyak pihak, disifatkan ‘cakap tak serupa bikin’

    BEBERAPA pihak mengkritik langkah kerajaan PH-BN melantik beberapa pemimpin parti politik dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan agensi kerajaan dengan menyifatkan langkah itu sebagai ‘cakap tidak serupa bikin’.

    Menurut Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH), lantikan politik itu bercanggah dengan pendirian kerajaan dan keputusan Kabinet yang sebelum ini menamatkan lantikan politik secara serta merta.

    Pengerusi BERSIH, Thomas Fann, menyifatkan pelantikan politik bercanggah pendirian kerajaan sebelum ini dan merugikan pengundi jika ia membabitkan wakil rakyat pada masa ini.

    “Masa dan perhatian mereka akan dibahagikan antara melaksanakan tugas parlimen dan korporat mereka. Ahli Parlimen dan ADUN sepatutnya dilarang daripada memegang jawatan dalam GLC.

    “GLC adalah penjaga kekayaan dan sumber awam dan kita perlu melantik orang yang paling layak untuk menambah nilai kepada entiti korporat ini daripada menghabiskan dananya melalui gaji dan faedah yang lumayan.

    “Dalam senario terburuk, dana boleh dialihkan secara rasuah untuk kepentingan peribadi,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Berita Harian.

    Hari ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengumumkan bekas Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, dilantik semula sebagai Pengerusi FELCRA.

    Disember lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menangguhkan pelantikan Ahmad Jazlan sebagai Pengerusi FELCRA bagi membolehkan penyelarasan lantikan di semua badan berkanun, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta agensi lain, dilaksanakan.

    Baru-baru ini, Ahmad Zahid turut mengesahkan pelantikan bekas Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sebagai Pengerusi MARA, agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

    Minggu lalu, kerajaan juga mengumumkan pelantikan bekas Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya yang juga Ahli Parlimen Balik Pulau PKR, Bakhtiar Wan Chik sebagai pengerusi MyCreative Ventures Sdn Bhd.

    MyCreative ialah anak syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan dan melapor kepada Kementerian Komunikasi dan Digital.

    Sementara itu, penganalisis politik dan media sosial daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Madya Dr Sara Chinnasamy, berkata lantikan politik seumpama itu sudah pastinya memberikan persepsi kekeliruan kepada semua pihak.

    Katanya, tindakan itu seolah mengambil jalan pilih kasih dan cakap tidak serupa bikin.

    “Sebelum ini kerajaan campuran mengambil keputusan penamatan jawatan lantikan politik pengerusi dan ahli lembaga pengarah kerana lantikan politik tapi kini lantikan politik terusdigunakan.

    “Sekejap kata boleh dan sekejap kata tidak boleh? Kelangsungan konsistensi itu memang tiada,” katanya.

    Beliau berkata, dengan itu, ketidakpercayaan rakyat semakin menebal terhadap ketelusan kerajaan dalam melaksanakan janji mereka.

    “Apa pun justifikasi yang mereka berikan kepada rakyat, ia tetap sukar diterima dan perubahan keputusan juga akan dijadikan satu parameter untuk mengukur kerajaan campuran ini dari segi ketelusan penyaluran maklumat kepada rakyat,” katanya.

    Dalam perkembangan yang sama, Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim, berkata MCW memandang positif pelantikan pemimpin politik dalam GLC.

    Katanya, ahli politik yang mempunyai pengalaman dan kepakaran serta kelulusan profesional wajar dilantik jika tiada calon lain yang lebih berkelayakan.

    “Ahli politik ini pasti mempunyai akses dan sumber penting seperti kawalan dan pengaruh politik yang diperlukan untuk menjadikan GLC berjaya.

    “Selain itu, lantikan ini juga dapat memastikan bahawa keputusan-keputusan GLC selaras dengan dasar kerajaan dan objektif nasional.

    “Namun, mereka mestilah diberikan latihan pengukuhan integriti dalam memastikan masalah salah guna kuasa yang sering berlaku dapat dikekang,” katanya.

    Beliau juga mahu kuasa yang diberikan kepada pemimpin politik dipantau dengan teliti dengan pelbagai SOP diperkenal dan diperketatkan.

    “Mereka perlu diberikan taklimat khusus berkenaan limitasi kuasa sebagai rujukan dan garis panduan pentadbiran. Nilai integriti diri mereka juga perlu diuji dan diperkasakan.

    “Pelantikan terkini kerajaan ini pasti akan diteropong secara terperinci kerana mereka pernah menyatakan untuk tidak mahu lantikan politik menerajui GLC,” katanya.

  • KJ bidas lantikan politik dalam GLC

    KJ bidas lantikan politik dalam GLC

    BEKAS Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin membidas lantikan politik dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kerana bertentangan dengan pendirian Pakatan Harapan (PH).

    Menurutnya, isu tersebut akan memberi kesan terhadap pendirian kerajaan yang menolak amalan kronisme dan nepotisme dalam pentadbiran.

    “Lantikan Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang disahkan sendiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi sangat berbeza dengan pendirian mereka sebelum ini.

    “Walaupun Mara bukan GLC namun ia adalah badan berkanun yang ditubuhkan di bawah undang-undang,” katanya menerusi Program Podcast Keluar Sekejap episod 3, disiarkan di Youtube, hari ini.

    Program tersebut turut menampilkan bekas Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan yang mengupas lanjut isu lantikan politik yang kini berlaku dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

    Sementara itu, Khairy Jamaluddin berkata, lantikan politik PH di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah berbeza semasa Tun Dr Mahathir Mohamad memegang jawatan dalam parti komponen itu.

    “Sewaktu PH 1.0 pimpinan Tun Dr Mahathir tidak ada lantikan politik dalam GLC. Tetapi hal tersebut berlaku dalam agensi kerajaan ketika pemerintahan beliau.

    “Jadi bagi saya semua sama sahaja. Jadi saya tak boleh kata saya menentang lantikan politik sebab saya pernah berada di kedudukan itu,” ujarnya.

    Dalam pada itu, Shahril turut mengulas, semasa PH berada di blok pembangkang, terdapat beberapa isu yang akan dibangkitkan terutama jika berkaitan dengan entiti kerajaan.

    Tambahnya, hal itu berbeza sekali selepas menjadi kerajaan apabila mereka mengambil pendekatan yang lebih fleksibel.

    “Terdapat ahli politik Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dilantik dalam entiti yang berkaitan kerajaan,” katanya lapor Sinar Harian.

  • SPRM tahan eksekutif GLC disyaki salah guna kedudukan

    SPRM tahan eksekutif GLC disyaki salah guna kedudukan

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor menahan tiga individu termasuk seorang eksekutif syarikat berkaitan kerajaan (GLC) hari ini kerana disyaki menyalahgunakan kedudukan dalam urusan projek di syarikat GLC tersebut.

    Selain lelaki itu, dua lagi yang ditahan disyaki terlibat dalam projek tersebut adalah seorang lelaki dan wanita, masing-masing merupakan pemilik syarikat swasta.

    Kesemua mereka yang berusia antara 40 hingga 57 tahun itu ditahan kira-kira 4.30 petang di Pejabat SPRM Selangor ketika hadir memberi keterangan.

    Menurut sumber, eksekutif syarikat GLC terbabit telah menggunakan kedudukannya sebagai ketua projek dengan mengesyorkan dan melantik proksinya sebagai pengurus projek di syarikat swasta itu bagi menguruskan projek tersebut bagi pihaknya.

    Difahamkan ketiga-tiga mereka akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam esok bagi permohonan reman.

    Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut namun enggan mengulas lanjut. – BERNAMA