PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) menggesa negara-negara kaya yang mempunyai bekalan vaksin Covid-19 berlebihan agar tidak menawarkan dos penggalak atau suntikan dos ketiga sehingga akhir tahun ini, mengulangi gesaan yang diabaikan kebanyakan negara.
Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus ketika ditemui di Geneva berkata, beliau terkejut dengan kenyataan persatuan pengeluar farmasi terkemuka yang mendakwa bekalan vaksin cukup banyak untuk pemberian dos penggalak sedangkan masih ada negara mengalami kekurangan bekalan vaksin dan amat memerlukannya.
Menurutnya, ketika 70 peratus negara berpendapatan tinggi telah mencapai kadar vaksinasi 40 peratus penduduknya, tiada satu pun negara berpendapatan rendah telah mencapai sebarang sasaran.
Malah katanya, hampir 90 peratus negara berpendapatan tinggi kini telah mencapai sasaran 10 peratus dan lebih 70 peratus telah mencapai sasaran 40 peratus.
“Kami telah mendengar alasan daripada pengeluar dan beberapa negara berpendapatan tinggi mengenai bagaimana negara berpendapatan rendah tidak mendapat vaksin.
“Hampir setiap negara berpendapatan rendah sudah mendaftarkan vaksin yang mereka miliki, dan mereka memiliki pengalaman luas dalam kempen vaksinasi berskala besar untuk polio, campak, meningitis, demam kuning dan banyak lagi.
“Namun oleh kerana pengeluar telah mengutamakan atau diwajibkan secara undang-undang untuk memenuhi perjanjian dua hala dengan negara-negara kaya yang bersedia membayar harga tinggi, negara-negara berpendapatan rendah telah kehilangan cara untuk melindungi rakyatnya,” kata Dr Tedros.
Dr Tedros sebelum ini pernah meminta moratorium terhadap dos ketiga vaksin Covid-19 sehingga akhir bulan September.
Bagaimanapun Amerika Syarikat dan beberapa negara lain telah mengumumkan pelan menawarkan dos ketiga terhadap populasi yang mempunyai masalah imunisasi.