Tag: Gerik

  • ‘Saya tak sakit, cuma sebak fikir kesusahan rakyat Gerik’ – Fathul Huzir

    ‘Saya tak sakit, cuma sebak fikir kesusahan rakyat Gerik’ – Fathul Huzir

    AHLI Parlimen Gerik Fathul Huzir Ayob mengesahkan beliau tidak sakit sebaliknya hanya sebak apabila menyentuh tentang kesusahan rakyat di kawasan Parlimennya ketika membahaskan Usul Menjunjung Titah Diraja di Dewan Rakyat, semalam.

    Menceritakan situasi itu, beliau berkata tidak dapat meneruskan perbahasannya kerana terkesan mengenangkan rakyat Gerik yang mengalami kemiskinan dan ketinggalan sedangkan kawasan itu kaya dengan hasil bumi.

    “Saya cuma teringat orang susah yang saya jumpa… mereka kalau susah itu susah betul. Saya tiada sakit apa. Jangan risau doktor pun kata saya sihat, muda lagi dan masih boleh minum teh tarik,” katanya berseloroh pada sidang media di Lobi Bangunan Parlimen hari ini.

    Semalam, sidang Dewan Rakyat sedikit ‘cemas’ apabila Fathul Huzir kelihatan tidak selesa dan percakapannya tersekat-sekat ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja.

    Situasi itu menyebabkan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Ramli Mohd Nor beberapa kali bertanyakan keadaan kesihatan Ahli Parlimen daripada Perikatan Nasional (PN) itu sama ada beliau boleh meneruskan perbahasan sebelum mengarahkannya untuk berehat dan mendapatkan bantuan perubatan.

    Mengulas lanjut, Fathul Huzir berkata ketika berbahas semalam, beliau sebenarnya mahu mengutarakan agar hak rakyat di luar bandar yang mempunyai hasil bumi dan menyumbang kepada pendapatan negara seperti Gerik dipertahan dan dikembalikan.

    Beliau yang mengibaratkan rakyat Gerik sebagai ‘hidup dalam gudang beras, tetapi mati kelaparan’ itu mencadangkan agar Kementerian Kewangan menubuhkan satu perbadanan serta yayasan untuk meneliti projek-projek kemajuan di Hulu Perak dengan melibatkan rakyat setempat. 

    Menurutnya, penubuhan perbadanan dan yayasan itu bagi memastikan rakyat di Hulu Perak dapat meraih pulangan serta hak mereka daripada pelbagai hasil bumi seperti emas, bijih timah, balak dan nadir bumi yang diterokai di kawasan itu. (eng: rare earth elements) 

    “Saya bukan cakap Gerik ini miskin, ada tempat yang lagi teruk daripada itu. Kami cuma nak katakan Gerik ini kaya dengan hasil bumi, tetapi kami (rakyat)  hidup susah. 

    “Tiap hari lori balak lalu depan muka tetapi pembangunan kami ditinggalkan. Kami menyumbang kepada hasil negara, jadi tidak salah rasanya kerajaan utamakan daerah-dearah macam kami ini,” katanya. 

    Fathul Huzir turut menyeru agar pintu masuk antarabangsa di Pengkalan Hulu, Perak dinaik taraf bagi membangunkan ekonomi penduduk dan industri pelancongan setempat. – BERNAMA

  • Lelaki hilang tiga hari rupanya maut selepas terbabas di selekoh jalan

    Lelaki hilang tiga hari rupanya maut selepas terbabas di selekoh jalan

    MISTERI kehilangan seorang lelaki sejak Sabtu lepas akhirnya terjawab apabila mayatnya ditemukan di KM22 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Gerik Supt Zulkifly Mahmood berkata sebelum itu, bapa mangsa membuat laporan polis berhubung kehilangan anaknya berusia 46 tahun itu di Balai Polis Kuala Ketil kira-kira 2 petang semalam.

    “Rakan-rakan mangsa kemudian mencarinya selain memaklumkan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Gerik kira-kira 5.30 petang semalam berhubung penemuan mayat lelaki itu di kawasan kejadian.

    “Siasatan awal mendapati, mangsa yang menunggang motosikal jenis Kawasaki Ninja ZX63 bergerak bersendirian dari arah Gerik menghala ke Banjaran Titiwangsa kira-kira 12 tengah hari Sabtu lepas. Sampai di tempat kejadian, mangsa dipercayai hilang kawalan, terbabas sendiri lalu terjatuh ke bahu jalan dan terperosok ke dalam semak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Beliau berkata mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Gerik untuk bedah siasat yang selesai dijalankan pagi tadi dan diserahkan kepada pihak keluarga untuk urusan pengebumian. 

    Zulkifly berkata kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan. — BERNAMA 

  • Lesen syarikat lori terlibat kemalangan di Gerik dibatal serta-merta

    Lesen syarikat lori terlibat kemalangan di Gerik dibatal serta-merta

    LESEN pengendali syarikat lori, Mun Enterprises yang terlibat dalam kemalangan di Gerik, Perak pada 29 Ok lepas hingga mengakibatkan kematian seorang bayi, dibatalkan berkuat-kuasa serta-merta.

    Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dalam kenyataan hari ini memaklumkan tindakan itu susulan kegagalan syarikat terbabit dalam sesi Pemeriksaan dan Audit Keselamatan (JISA), serta mempunyai rekod kesalahan lampau dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang melibatkan keselamatan pengguna.

    “Tindakan telah diambil di bawah Seksyen 57 (1)(b)(x) dan Seksyen 58 (1)(b) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).

    “Seksyen 57 akta tersebut merupakan peruntukan mengenai syarat yang boleh dikenakan pada lesen pengendali, manakala Seksyen 58 pula mengenai syarat berkanun lesen pengendali,” menurut kenyataan itu

    Dalam kejadian pada 29 Okt itu, bayi berkenaan maut selepas kenderaan yang dinaiki bersama keluarganya merempuh muatan siling yang terjatuh dari lori tersebut kerana dipercayai muatan itu dibawa melebihi had.

    Insiden itu tular laman Twitter @isusemasaviral, yang memaparkan rakaman video kemalangan berdurasi 16 saat dan perkongsian keadaan isteri mangsa.

    Menurut laporan pemandu lori terbabit telah ditahan di sekatan jalan raya di Batu Melintang, Jeli, Kelantan, pada hari yang sama.

    Baru-baru ini, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook dilaporkan berkata permit operasi syarikat lori itu telah digantung sementara, selain mengarahkan JPJ dan APAD mengambil tindakan segera terhadap pemandu lori dan syarikat berkenaan. – BERNAMA