Tag: gengster

  • Kumpulan Tiger tumpas, senjata Colt M-4 dirampas

    Kumpulan Tiger tumpas, senjata Colt M-4 dirampas

    POLIS menumpaskan kumpulan Tiger yang aktif dalam pelbagai kegiatan jenayah sejak 2009 selepas penahanan seorang peniaga sayur dipercayai ahli terakhir kumpulan itu, Ahad lepas.

    Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata, suspek berumur 35 tahun merupakan adik kepada suspek yang ditembak mati dalam serbuan pada malam 18 Jun lepas di Salak Selatan, di sini.

    Beliau berkata, suspek warga tempatan itu ditahan di Kampung Tumbok di Tanjung Sepat, Selangor.

    “Penahanan itu telah memaksa suspek mendedahkan maklumat penyimpanan senjata api jenis Colt M-4 yang telah dipisahkan di dalam sebuah paip PVC di sebuah reban ayam di kampung berkenaan.

    “Turut ditemukan di dalam paip berukuran 150 mm x 94 cm itu ialah dua kelopak dan 69 butir peluru jenis 5.6 mm,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.

    Beliau berkata, suspek dan sembilan lagi yang ditahan sejak 18 Jun lepas disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 7 Bahan Letupan 1957.

    Sementara itu, Azmi tidak menolak kemungkinan kesemua empat senjata jenis CZ 75 Compact, CZ 75 D Compact, Smith & Wesson dan Colt M-4 dan sebutir bom yang dirampas telah digunakan kumpulan Tiger dalam tiga kes bunuh dan jenayah lain seperti yang dilaporkan sebelum ini.

    Kumpulan yang dianggotai suspek berumur 28 hingga 67 tahun itu dipercayai telah melakukan 15 kes samun, tiga kes bunuh dan pelbagai kes melibatkan dadah, pecah rumah dan curi kenderaan.

    Pada 18 Jun, polis menahan sembilan suspek dan menembak mati seorang daripadanya dalam operasi di sebuah kondominium di Salak Selatan. – BERNAMA

  • [VIDEO]Gengster Delhi mati ditembak pesaingnya di mahkamah

    [VIDEO]Gengster Delhi mati ditembak pesaingnya di mahkamah

    LELAKI bersenjata berpakaian sebagai peguam menembak mati seorang gengster India terkenal di sebuah mahkamah Delhi hari ini sebelum polis membunuh kedua-dua penyerang itu.

    Memetik laporan AFP polis berkata, Jitendra Gogi, seorang samseng yang ditahan Mac tahun lalu ketika kejadian berdiri di hadapan hakim di mahkamah sebelum dua lelaki tiba-tiba melepaskan tembakan.

    Saksi memberitahu media bahawa kira-kira 12 tembakan dilepaskan di dalam mahkamah.

    Tembakan itu mengenai Gogi beberapa kali sebelum peguam palsu berkenaan dibunuh oleh pegawai khas perlindungan.

    Menurut laporan media yang memetik polis, lelaki bersenjata itu merupakan geng pesaing Gogi.

    Rakaman video dari telefon bimbit mengenai insiden tembakan di mahkamah di daerah Rohini, Delhi itu menunjukkan peguam dan peguam bela berlindung di koridor di luar mahkamah ketika tembakan kedengaran.

    Gogi, sekitar 30-an dikaitkan dengan pertempuran geng, pembunuhan, rompakan dan pemerasan di Delhi dan negeri-negeri di utara India.

    Dia pertama kali ditangkap pada 2016 tetapi melarikan diri dari tahanan polis dan berjaya mengelak daripada ditangkap hingga tahun lalu.

    Reputasi ganas Gogi menjadikannya sasaran polis dan pesaingnya, dengan laporan media menyatakan geng lain marah dengan tindakannya memasuki wilayah mereka.

    Polis Delhi memberitahu, selepas penangkapannya tahun lalu, Gogi sedang dalam pertempuran sengit dengan ketua geng yang mengawal wilayah di utara India dan dikenali sebagai Tillu.

    Anggota kumpulan Tillu menyamar sebagai peguam untuk memasuki mahkamah Delhi hari ini, kata laporan media.

    Persoalan mengenai keselamatan di mahkamah India kerap kali dibangkitkan.

    Kompleks Rohini sering menangani kes yang berkaitan dengan penjenayah berprofil tinggi.