Tag: Gempa Turkiye-Syria

  • “Saya seperti dilahirkan semula”, kata mangsa gempa Turkiye

    “Saya seperti dilahirkan semula”, kata mangsa gempa Turkiye

    SEORANG mangsa gempa bumi di Turkiye berkata dia seperti dilahirkan semula selepas terselamat dalam kejadian itu, semalam.

    “SAYA seperti dilahirkan semula… Terima kasih Tuhan,” kata Osama Abdelhamid.

    Menurutnya, ketika kejadian dia bersama isteri dan empat anaknya sedang tidur di rumahnya.

    Osama berkata, dia kemudian merasa gegaran kuat di bangunan empat tingkat yang didiami mereka.

    “Kami merasakan gempa itu, ia sangat kuat… Saya menarik keluar bersama anak-anak dan isteri serta berlari terus ke arah pintu masuk rumah.

    “Apabila kami sampai ke pintu masuk bangunan itu, ia tiba-tiba runtuh di atas kami.

    “Tuhan menyelamatkan kami apabila pintu kayu jatuh ke atas kami dan menyelamatkan kami,” katanya yang tidak dapat menahan sebak, memetik laporan AP yang dilapor Astro AWANI.

    Bercerita lanjut, Osama berkata tiga anaknya mengalami luka di bahagian kepala dan muka, sementara seorang lagi anak perempuannya tidak mengalami sebarang kecederaan.

    “Isteri saya juga luka di kepala dan muka. Alhamdulillah kami datang ke hospital dan mendapatkan pertolongan cemas,” katanya.

    Osama turut memaklumkan, difahamkan semua penghuni yang berada di tingkat tiga bangunan tersebut tidak dapat diselamatkan.

    Ketika ini, angka korban gempa bumi yang melanda Selatan Turkiye dan Utara Syria meningkat kepada sekurang-kurangnya 4,300 orang.

    Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang dikhuatiri masih terperangkap di bawah runtuhan bangunan sedang giat dijalankan.

    Gempa bumi berukuran 7.8 pada skala Richter berlaku pada 4.17 pagi waktu tempatan dan berpusat di daerah Pazarcik, wilayah Kahramanmaras.

  • Pas gerak misi kemanusiaan bantu mangsa gempa di Turkiye

    Pas gerak misi kemanusiaan bantu mangsa gempa di Turkiye

    PAS sedang melakukan persiapan untuk menggerakkan misi kemanusiaan ke Turkiye ekoran kejadian gempa bumi yang melanda negara berkenaan pagi semalam.

    Lapor Sinar Harian, Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar Pas Pusat, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, PasRelief yang merupakan salah satu entiti Pusat Bantuan Kemanusiaan Antarabangsa parti itu akan bertindak sebagai Pusat Koordinasi Bantuan Bencana untuk menerima segala bentuk sumbangan dan bantuan bagi menjayakan misi tersebut.

    PasRelief yang merupakan salah satu entiti Pusat Bantuan Kemanusiaan Antarabangsa parti itu akan bertindak sebagai Pusat Koordinasi Bantuan Bencana untuk menerima segala bentuk sumbangan dan bantuan bagi menjayakan misi tersebut.

    “Pas sedang bersiap sedia untuk menggerakkan misi kemanusiaan berikutan kejadian gempa bumi yang melanda Turkiye yang akan dikoordinasi (oleh) PasRelief.

    “Sama-samalah kita menghulurkan sumbangan dan bantuan bagi membantu mangsa gempa bumi di Turkiye. Semoga Turkiye dan warganya dilindungi dan dirahmati ALLAH SWT,” katanya di Facebook, semalam.

    Sebelum ini, dilaporkan sekurang-kurangnya 2,316 orang terbunuh manakala 13,293 lagi cedera selepas gempa bumi kuat melanda selatan Turkiye, manakala kira-kira 1,293 orang dilaporkan terbunuh dan ratusan lagi cedera di Syria, pada pagi Isnin.

    Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD) Turkiye memaklumkan, gempa bumi itu berlaku pada 4.17 pagi waktu tempatan dan berpusat di daerah Pazarcik, wilayah Kahramanmaras.

    Sementara itu, Muhammad Khalil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk turut menzahirkan ucapan takziah atas musibah yang melanda negara itu.

    “Pas merakamkan takziah buat Turkiye dan warganya di atas kejadian gempa bumi yang melanda selatan Turkiye.

    “Dilaporkan kekuatan gegaran gempa bumi yang melanda Turkiye turut dirasai sehingga ke Syria dan Lebanon.

    “Kejadian gempa bumi tersebut juga mengakibatkan banyak kemusnahan harta benda, bangunan dan kediaman di wilayah-wilayah yang terkesan akibat kejadian tersebut seperti di Gaziantep, Osmaniye, Malatya, Adiyaman, Diyarbakir, Adana, Kilis dan Sanliurfa,” tambahnya.

  • Gempa Turkiye, Syria: Angka korban boleh cecah 20,000 orang- WHO

    Gempa Turkiye, Syria: Angka korban boleh cecah 20,000 orang- WHO

    ANGKA kematian akibat gempa bumi kuat di Turkiye dan Syria boleh meningkat kepada lebih 20,000 orang.

    Pegawai kecemasan kanan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk Eropah, Catherine Smallwood berkata, kemungkinan itu berdasarkan pemerhatian agensi itu dalam kes-kes terdahulu melibatkan kejadian bencana gempa.

    “Terdapat kemungkinan berlaku runtuhan berterusan, jadi kami sering melihat kebarangkalian lapan kali ganda peningkatan pada angka awal.

    “Kami sentiasa melihat perkara yang sama melibatkan gempa bumi, iaitu laporan awal jumlah mangsa yang meninggal dunia atau cedera meningkat dengan ketara pada minggu berikutnya,” kata Smallwood, menurut laporan Astro AWANI.

    Angka kematian akibat gempa bumi kuat 7.8 magnitud yang menggegarkan Turkiye dan Syria semalam mencecah 4,300 orang setakat pukul 10 pagi waktu Malaysia.

    Jumlah kematian di Turkiye meningkat kepada 2,900 orang, kata Naib Presiden Turki Fuat Oktay.

    Di Syria, 711 kematian dilaporkan di kawasan yang dikawal kerajaan, manakala Agensi Pertahanan Awam Syria “White Helmets” melaporkan 740 kematian di kawasan yang dikawal pembangkang.

  • Gempa Turkiye, Syria: Angka kematian meningkat lebih 4,300 orang

    Gempa Turkiye, Syria: Angka kematian meningkat lebih 4,300 orang

    ANGKA kematian akibat gempa bumi kuat di Turkiye dan Syria, semalam meningkat kepada lebih 4,300 orang hari ini.

    Lapor BBC dan Al Jazeera, gempa dengan kekuatan 7.8 magnitud berhampiran Gaziantep diikuti gempa susulan 7.6 magnitud mengorbankan seramai 2,900 penduduk Turkiye manakala 1,444 lagi di Syria.

    Naib Presiden Turki Fuat Oktay mengesahkan 2,900 penduduk di selatan negara itu terbunuh akibat gempa bumi kuat berkenaan.

    Sebanyak 15,000 orang cedera dalam kejadian dilaporkan berlaku di 10 wilayah Turkiye manakala 7,840 orang diselamatkan daripada runtuhan bangunan.

    Sebanyak 338,000 mangsa terselamat kini berlindung di kemudahan awam termasuk universiti.

    Di Syria, 711 kematian dilaporkan di kawasan yang dikawal kerajaan, menurut agensi berita SANA.

    Agensi Pertahanan Awam Syria, yang dikenali sebagai “White Helmets,” melaporkan terdapat 740 kematian di kawasan yang dikawal oleh pembangkang.

    Operasi mencari dan menyelamat mangsa di kedua-dua negara berdepan kesukaran berikutan kebanyakan mangsa terperangkap di bawah runtuhan bangunan yang diburukkan lagi dengan cuaca sejuk dan bersalji ketika ini.

  • Gempa Turkiye: Ada patah kaki, pendarahan otak, tak bernyawa – Doktor Malaysia

    Gempa Turkiye: Ada patah kaki, pendarahan otak, tak bernyawa – Doktor Malaysia

    RAMAI mangsa yang datang ke hospital selepas dibawa keluar daripada timbunan bangunan dalam keadaan patah kaki, ada yang mengalami pendarahan otak dan ada juga yang sampai dalam keadaan tidak bernyawa.”

    Itu situasi yang diceritakan seorang doktor warga Malaysia Syazwan Abu Bakar yang bertugas di sebuah hospital di bandar Gaziantep, antara kawasan paling teruk terjejas akibat gempa bumi bermagnitud 7.8 yang melanda selatan Turkiye awal pagi Isnin.

    Doktor am berkenaan memberitahu Bernama bahawa beliau dan petugas lain terpaksa berlari keluar dari hospital untuk menyelamatkan diri setiap kali gempa susulan berlaku yang turut menyebabkan bangunan berkenaan mengalami keretakan.

    “Ketika gempa pertama berlaku kira-kira pukul 4.30 pagi saya on-call dan sedang berehat. Saya lari keluar dan kemudian saya naik semula untuk tengok pesakit.

    “Ketika gempa kedua berlaku pada tengah hari saya lari keluar bangunan sekali lagi dan selepas itu bertugas di unit kecemasan,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Isnin malam (waktu Malaysia).

    Dr Syazwan, 34, berkata beliau mengenali lima lagi rakyat Malaysia yang menetap di Gaziantep dengan dua daripada mereka turut bertugas sebagai doktor. 

    Beliau bagaimanapun tidak mengetahui mengenai keadaan mereka berikutan kesibukan merawat mangsa gempa bumi yang cedera.

    “Pagi tadi (Isnin) ada orang kedutaan telefon saya tetapi ketika itu saya agak sibuk, saya cuma beri nombor telefon dua lagi rakyat Malaysia di sini,” katanya.

    Dr Syazwan yang tinggal seorang diri di Gaziantep berkata beliau tidak dapat pulang ke rumah berikutan bangunan berkenaan juga mengalami keretakan dan berkemungkinan akan dipindahkan ke kawasan yang lebih selamat.

    Keluarganya pula menetap di daerah lain sejauh tiga jam perjalanan dari Gaziantep.

    “Rumah keluarga saya di sana juga retak jadi mereka akan berpindah ke kawasan di sebelah barat yang lebih selamat,” katanya.

    Sekurang-kurangnya 2,379 orang terbunuh dan 14,483 lagi cedera selepas gempa bumi kuat menggegarkan selatan Turkiye pada awal pagi Isnin.

    Gempa bumi berukuran 7.8 magnitud yang berpusat di daerah Pazarcik itu menggegarkan wilayah Kahramanmaras dan menjejaskan beberapa wilayah lain, termasuk Gaziantep, Sanliurfa, Diyarbakir, Adana, Adıyaman, Malatya, Osmaniye, Hatay, dan Kilis.

    Ia diikuti dengan gempa bumi bermagnitud 7.6 pada 13.24 tengah hari yang turut berpusat di Kahramanmaras. – BERNAMA

    Turkiye, gempa bumi, doktor Malaysia, Gaziantep, pengalaman

  • Pas sedia bantu menyelamat, pemulihan gempa Turkiye-Syria

    Pas sedia bantu menyelamat, pemulihan gempa Turkiye-Syria

    PAS sedia menggembelengkan apa-apa jua bentuk bantuan dan sokongan yang perlu bagi membantu kerja-kerja menyelamat dan pemulihan yang sedang berjalan di Turkiye dan Syria.

    Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan sambil menyuarakan rasa terkejut dan sedih atas tragedi gempa itu berkata, Pas mendoakan agar kerja-kerja menyelamat berjalan lancar.

    Menurutnya, selain itu adalah diharapkan agar tidak berlakunya gempa atau bencana susulan yang boleh merumitkan keadaan.

    “Pas merakam rasa terkejut dan sedih atas kejadian gempa bumi yang berlaku di selatan Turkiye dan utara Syria hari ini.

    “Rasa simpati dan takziah kami tujukan kepada para mangsa yang terkorban dan tercedera serta keluarga mereka, selain anggota masyarakat di kedua- dua negara sahabat ini yang terkesan oleh bencana tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

    Gempa bumi dengan kekuatan 7.8 magnitud dan satu gempa susulan sekuat 7.6 magnitud meragut nyawa hampir 1,797 orang dan mencederakan ribuan penduduk Turkiye dan Syria, hari ini, meningkat berbanding lebih 500 sebelum ini.

    Kekuatan gempa itu pada pukul 4.17 pagi waktu tempatan itu meranapkan lebih 1,700 bangunan ketika kebanyakan mangsa sedang nyenyak tidur.

    Gempa bumi itu berlaku pada kedalaman 17.9 kilometer berhampiran bandar Gaziantep dan dapat dirasai hingga Cyprus, Mesir dan Lebanon.