Tag: Gempa bumi Turkiye

  • 278 jam terperangkap, beberapa mangsa gempa Turkiye masih hidup

    278 jam terperangkap, beberapa mangsa gempa Turkiye masih hidup

    KEAJAIBAN terus berlaku di Turkiye apabila pasukan penyelamat berjaya menyelamatkan beberapa lagi mangsa yang masih hidup di bawah runtuhan bangunan selepas 12 hari dua gempa bumi kuat menggegarkan negara itu dan Syria.

    Mangsa Hakan Yasinoğlu, 45, berjaya diselamatkan dari bawah runtuhan bangunan di daerah Defne, di wilayah Hatay semalam.

    Menurut agensi berita Anadolu dikendalikan kerajaan Turkiye, Yasinoğlu terperangkap 278 jam di bawah runtuhan dan rakaman televisyen menunjukkan lelaki itu dibawa dengan pengusung ke ambulans.

    Lapor agensi berita AP yang dipetik BH, pasukan pencari yang bertungkus lumus sepanjang malam turut menemui seorang wanita dan dua lelaki yang masih hidup bawah runtuhan.

    Usaha menyelamat terbaru itu dilakukan ketika anggota pencarian mula membersihkan serpihan dan runtuhan bangunan di bandar yang musnah akibat gempa bumi.

    Ibu kepada dua anak, Neslihan Kilic, 29, dikeluarkan dari runtuhan bangunan di Kahramanmaras, selepas terperangkap selama 258 jam, lapor agensi berita swasta DHA lewat Khamis.

    Di bandar Antakya, pasukan penyelamat polis menemui kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun bernama Osman, yang masih hidup selepas mengalihkan 17 mayat dari bangunan runtuh.

    “Ketika harapan kami hampir berakhir, kami menemui Osman selepas 260 jam pencarian,” kata ketua pasukan penyelamat polis, Okan Tosun, kepada DHA.

    Sejam selepas itu, pasukan turut menemui dua lelaki di bawah runtuhan hospital di Antakya.

    Seorang daripadanya, Mustafa Avci, menggunakan telefon bimbit seorang penyelamat untuk menghubungi abangnya dan bertanyakan mengenai ahli keluarga lain.

    “Adakah mereka selamat? Biar saya dengar suara mereka,” kata lelaki itu.

    Menteri Dalam Negeri Turkiye, Suleyman Soylu, mengemas kini angka kematian di Turkiye kepada 39,672, meningkatkan jumlah keseluruhan kematian akibat gempa bumi di Turkiye dan Syria kepada 43,360.

    Angka itu pasti akan meningkat lagi apabila pasukan mencari menemui lebih banyak mayat dalam runtuhan.

  • 248 jam terperangkap runtuhan gempa, remaja perempuan ditemui selamat

    248 jam terperangkap runtuhan gempa, remaja perempuan ditemui selamat

    KISAH keajaiban terus dilaporkan berlaku di lokasi terjejas gempa di Turkiye apabila mangsa masih hidup ditemukan walau sudah lebih seminggu terperangkap di bawah sisa runtuhan bangunan.

    Kali ini, seorang remaja perempuan berusia 17 tahun selamat dibawa keluar dari runtuhan bangunan oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) selepas lebih 248 jam terperangkap di Antakya, Turkiye hari ini.

    Astro AWANI yang memetik agensi antarabangsa, mangsa itu berjaya ditemui, namun dikatakan dalam keadaan lemah akibat kecederaan dan dehidrasi.

    Mangsa dilihat dibawa keluar dari kawasan runtuhan, ditutup dengan selimut haba oleh pasukan menyelamat sebelum dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut.

    Sebelum ini, beberapa mangsa turut ditemui selamat di sekitar Turkiye, sekali gus dilihat menjadi penyuntik semangat buat pasukan SAR terus mempertingkatkan usaha mereka.

    Bagaimanapun, belum ada angka rasmi yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa Turkiye dan Syria berhubung jumlah sebenar mangsa yang masih hilang.

    Sehingga kini, lebih 42,000 mangsa disahkan maut dalam kejadian gempa bumi di dua negara itu dan lebih 12,000 bangunan di Turkiye dilaporkan hancur atau rosak.

  • Gempa Turkiye: Warga emas ditemui selamat 187 jam terperangkap bawah runtuhan

    Gempa Turkiye: Warga emas ditemui selamat 187 jam terperangkap bawah runtuhan

    DENGAN hanya minum air kencing sendiri, seorang mangsa gempa bumi di Turkiye berjaya diselamatkan selepas 187 jam terperangkap di bawah runtuhan pangsapuri yang didiaminya di Mersin di Wilayah Antakya kelmarin.

    Lelaki warga emas itu diselamatkan pasukan mencari dan menyelamat selepas salah seorang petugas mendengar suaranya ketika misi mengesan mangsa dijalankan di kawasan runtuhan.

    Huseyin Berber, 62, yang juga pesakit kencing manis menceritakan detik hitam itu kepada agensi berita antarabangsa hari ini.

    Menurutnya, untuk meneruskan hidup, dia tiada pilihan lain selain daripada terpaksa meminum air kencingnya sendiri ketika terperangkap di antara sisa runtuhan.

    “Saya hanya ingat ketika saya sedar telah terperangkap dalam runtuhan. Ketika itu semuanya gelap, terlalu gelap sehingga saya tidak dapat melihat badan saya sendiri.

    “Saya menjerit minta tolong, tetapi tiada siapa mendengar. Bangunan ini 15 tingkat, saya bersyukur bila saya dengar bunyi dari kawasan atas runtuhan, saya terus menjerit walaupun tekak saya mulai bengkak,” katanya, lapor Astro AWANI.

    Huseyin berkata, gempa kedua yang berlaku mengakibatkan siling turut runtuh, namun tidak mengenainya.

    “Gempa kedua, siling runtuh tapi tidak kena saya. Saya terpaksa sengetkan badan dan duduk di antara runtuhan yang menimpa peti sejuk dan kabinet rumah saya.

    “Hanya permaidani saya guna untuk menyelimut saya sepanjang masa sebelum saya dapat mencapai satu kerusi berhampiran dan duduk menunggu diselamatkan.

    “Saya pesakit kencing manis, ketika kejadian ubat dan sebotol air jatuh ke arah saya. Saya minum hingga habis, kemudian saya terpaksa kencing dalam botol untuk diminum.

    “Apabila air kencing itu sejuk, saya minum untuk selamatkan diri saya,” katanya lagi.

    Huseyin diselamatkan pasukan penyelamat dan dikejarkan ke Hospital Bandar Mersin untuk diberikan rawatan lanjut.

    Sehingga kini, lebih 41,000 mangsa maut dalam kejadian gempa bumi di Turkiye dan Syria, manakala lebih 12,000 bangunan dilaporkan runtuh akibat gempa itu.

  • Gempa Turkiye: 39 mangsa ditemukan pasukan penyelamat Malaysia

    Gempa Turkiye: 39 mangsa ditemukan pasukan penyelamat Malaysia

    SEBANYAK 39 mangsa gempa bumi Turkiye berjaya ditemukan pasukan penyelamat Malaysia bagi Misi Bantuan Mencari dan Menyelamat (SAR) sepanjang lapan operasi dijalankan di Gaziantep, Turkiye.

    Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerusi satu kenyataan berkata, daripada 39 mangsa yang ditemukan, lima daripadanya masih hidup manakala selebihnya telah meninggal dunia.

    “Seramai 143 orang pegawai daripada Malaysia yang menyertai Ops SAR Turkiye pada kali ini termasuk tiga pengamal media.

    “Pasukan MAS 01 dianggotai oleh enam orang pegawai JBPM dan 64 orang pegawai Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART).

    “Manakala, pasukan MAS 10 pula dianggotai oleh 30 orang pegawai JBPM, 20 orang pegawai SMART, 20 orang pegawai Angkatan Pertahan Awam (APM) serta tiga orang pengamal media,” katanya hari ini.

    Kata kenyataan itu, kesemua pegawai ditempatkan di Base Camp, Nurdagi Stadium, Gaziantep, Turkiye.

    “Kesemua 36 pegawai JBPM berada dalam keadaan yang sihat dan baik malah cuaca juga cerah dengan suhu 4 darjah Celsius,” tambah kenyataan itu lagi.

    Wisma Putra semalam memaklumkan, Malaysia menghantar 142 anggota penyelamat dan dua ekor anjing pengesan (K9) bagi menyertai misi SAR mangsa gempa bumi di Turkiye, sekali gus menjadi pasukan operasi pertama dari negara ASEAN yang tiba di negara itu.

    Pasukan itu diketuai Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang turut disertai SMART, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), JBPM dan APM itu antara yang terawal sampai di tapak bencana di Gaziantep.

    Dua gempa bumi kuat berukuran 7.8 dan 7.6 magnitud yang melanda selatan Turkiye dan barat laut Syria pada Isnin minggu lalu meragut ribuan nyawa.

    Angka kematian akibat gempa bumi di selatan Turkiye meningkat kepada sekurang-kurangnya 7,108 orang, manakala jumlah mangsa cedera seramai 40,910 setakat ini.

  • Gempa bumi Turkiye: Pasukan penyelamat Malaysia temukan 2 lagi mangsa

    Gempa bumi Turkiye: Pasukan penyelamat Malaysia temukan 2 lagi mangsa

    PASUKAN MAS-01 SMART menemukan dua lagi mayat mangsa gempa bumi Turkiye di sebuah bangunan runtuh di Nurdagi, Gaziantep, hari ini.

    Perkara itu dimaklumkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara menerusi satu entri di Facebook.

    Katanya, mangsa dikeluarkan kira-kira pukul 1 tengah hari waktu tempatan.

    “Sekitar pukul 1 waktu tempatan (Turkiye), Pasukan MAS-01 dengan kerjasama penyelamat tempatan berjaya menemui dan mengeluarkan dua mangsa di bawah runtuhan bangunan.

    “Operasi itu menggunakan peralatan memecah dan memotong serta bantuan excavator (jengkaut),” kata kenyataan itu.

    Menurut kenyataan itu lagi, kesemua mangsa yang dijumpai telah meninggal dunia.

    “Kesemua mangsa yang dijumpai telah meninggal dunia. Salam Takziah,” katanya lagi.

    Gempa bumi besar berukuran 7.8 pada skala Richter yang melanda selatan Turkiye dan barat laut Syria pada Isnin lalu, telah meragut ribuan nyawa. Kesan gegaran turut dirasai di Cyprus dan Lubnan.

    Pasukan MAS-01 berlepas dari Malaysia pada minggu lalu, manakala pasukan kedua MAS-02 terdiri daripada JBPM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan pasukan SMART.

  • Gempa bumi Turkiye, Syria: Angka korban kini lebih 23,000

    Gempa bumi Turkiye, Syria: Angka korban kini lebih 23,000

    JUMLAH kematian susulan gempa bumi kuat yang melanda Turkiye dan Syria minggu ini meningkat kepada 23,726, kata Menteri Kesihatan Turkiye Fahrettin Koca.

    Di Turkiye, angka korban meningkat kepada sekurang-kurangnya 20,213 dengan 80,052 yang lain dilaporkan cedera, menurut Astro Awani.

    Jumlah kematian di Syria setakat ini ialah 3,384 – termasuk 2,166 di kawasan yang dikuasai pemberontak di barat laut, menurut kumpulan pertahanan awam White Helmets.

    Sementara 1,347 kematian dicatat di bahagian yang dikawal kerajaan di Syria, menurut media kerajaan Syria.

    Jumlah mangsa yang cedera di Syria merentasi semua wilayah yang terjejas ialah 5,245, dengan 2,295 di kawasan dikawal kerajaan dan 2,950 di kawasan dikuasai pemberontak.

  • Gempa Turkiye: Pemain bola terjun dari tingkat sembilan selamatkan diri

    Gempa Turkiye: Pemain bola terjun dari tingkat sembilan selamatkan diri

    PEMAIN bola sepak kelab Turkiye, Christian Atsu dilaporkan terjun dari tingkat sembilan blok apartmen 11 tingkat dalam usaha menyelamatkan diri selepas gempa bumi mega melanda Turkiye dan Syria pagi kelmarin.

    Atsu, 31, yang bermain untuk kelab Hatayspor dilapor pulang daripada permainan poker lewat malam selepas sebelumnya menjaringkan gol kemenangan kelabnya mengatasi Kasimpasa 1-0 sebelum bencana itu berlaku.

    Bekas pemain sayap Newcastle dan Chelsea itu tinggal di Turkiye sejak menyertai Hatayspor dari kelab Arab Saudi, Al-Raed pada musim panas lalu.

    Dia meledak gol sulungnya bersama pasukan itu Ahad lalu selepas masuk sebagai pemain gantian lapan minit sebelum tamat.

    Berita Harian dalam laporannya memetik The Mirror, pemain berusia 31 tahun kelahiran Ghana itu meraikan kemenangan bersama rakan sepasukan dengan bermain poker sebelum kembali ke rumahnya kira-kira 20 minit sebelum gempa bumi itu melanda.

    Ejen Atsu, Nana Schere, yang berada di London memberitahu akhbar itu: “Kali terakhir saya mendengar berita daripadanya pada tengah malam Ahad lalu.

    Christian dan rakan sepasukannya bermain poker hingga 3.30 pagi di apartmen seorang rakan. Perjalanan pulang ke apartmennya mengambil masa kira-kira setengah jam.

    “Dia sampai ke apartmen pada jam 4 pagi dan gempa bumi itu bermula kira-kira 20 minit kemudian. Saya tidak tahu apa-apa hinggalah saya menerima panggilan daripada pegawai kelab pada jam 5 pagi bertanyakan jika saya mendapat apa-apa berita daripada Christian. Mereka memberitahu saya apartmen diduduki Christian musnah dan mereka tidak menemuinya.

    “Saya berharap dia tidak tidur dan gempa bumi itu berlaku bukan ketika dia tidur. Dia menginap di bangunan 11 tingkat dan biliknya di tingkat sembilan.

    “Pegawai kelab cuba membantu saya mencarinya tetapi terlalu sukar kerana saya faham, mereka juga cuba mencari rakan dan keluarga masing-masing.

    “Ada banyak laporan dari luar England dan Ghana bahawa Christian selamat, tetapi pengesahan rasmi hanya saya terima daripada kelab itu pada pukul 6 pagi semalam. Mereka memberitahu saya Christian berada di hospital dan dalam keadaan stabil.

    “Dia tidak mempunyai telefon bersamanya dan seperti kita juga, dia tidak ingat nombornya sendiri, jadi saya terpaksa menunggu untuk bercakap dengannya menerusi telefon,” katanya.

    Atsu, yang membantu FC Porto menjuarai liga Portugal pada 2013, melakukan 121 penampilan bersama Newcastle ketika lima tahun beraksi di St James’ Park.

    Dia pada awalnya menyertai Magpies secara pinjaman dari Chelsea pada 2016 sebelum berpindah secara tetap pada musim panas berikutnya selepas membantu pasukan itu memenangi Liga Kejuaraan.

    The Blues membawa pemain itu ke England susulan persembahan cemerlangnya bersama Porto namun meminjamkannya ke Everton dan Bournemouth sepanjang tempoh kontraknya di Stamford Bridge.

    “Saya sepatutnya pergi ke Turkiye pada Jumaat,” tambah Schere. “Namun saya hanya akan tiba pada Ahad selepas perlawanan Christian berakhir jadi saya cuba mencari tempahan penerbangan lain.

    “Jika saya menaiki penerbangan itu, saya mungkin berada di sana juga. Hanya Tuhan yang menyelamatkan saya. Isteri saya amat bersyukur kerana saya tidak jadi untuk terbang ke Turkiye akhirnya.”