Tag: Gempa bumi

  • Gempa Sumatera: Beberapa negeri mungkin alami gegaran – METMalaysia

    Gempa Sumatera: Beberapa negeri mungkin alami gegaran – METMalaysia

    SATU gempa bumi kuat berlaku di Utara Sumatera, Indonesia pada pukul 10.59 malam, malam ini.

    Perkara itu disahkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) menerusi satu kenyataan ringkas.

    Menurutnya, gempa sekuat 6.2 magnitud itu mungkin dirasai beberapa negeri di Malaysia.

    “Gegaran mungkin dirasai di Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor,” katanya.

    METMalaysia turut memaklumkan tiada ancaman tsunami kepada Malaysia susulan gempa yang berlaku di 84 kilometer (km) di barat daya daya dari Padang Sidempuan, Indonesia.

    Sementara itu, Bomba KL menerima laporan berlaku gegaran di Rumah Pangsa Pudu Impian 1 yang dirasai penghuni di situ, dipercayai kesan gempa berkenaan.

  • Angka korban gempa bumi Turkiye cecah 43,556 orang

    Angka korban gempa bumi Turkiye cecah 43,556 orang

    ANGKA kematian akibat gempa bumi yang melanda selatan Turkiye pada 6 Feb kini meningkat kepada 43,556 nyawa, kata Menteri Dalam Negeri Turki Suleyman Soylu pada Rabu.

    Soylu membuat kenyataan itu ketika bersiaran langsung di Hatay, antara 11 wilayah yang dilanda gempa bumi.

    Kerajaan memerlukan tempoh masa tertentu untuk bertindak balas apabila berhadapan dengan situasi 26,000 kediaman runtuh pada satu jam pertama dan malapetaka itu melanda kawasan seluas 110,000 kilometer persegi (42,471 batu persegi).

    Gempa bumi yang berpusat di Kahramanmaras turut menjejaskan 10 wilayah lain iaitu Hatay, Gaziantep, Adıyaman, Malatya, Adana, Diyarbakir, Kilis, Osmaniye, Sanliurfa dan Elazig.

    Presiden Recep Tayyip Erdogan berkata Turkiye akan mula membina lebih 200,000 kediaman seawal Mac di kawasan bencana dan pembinaan dijangka siap dalam tempoh satu tahun. – BERNAMA

  • Gempa kuat 6.8 magnitud landa sempadan China, Tajikistan

    Gempa kuat 6.8 magnitud landa sempadan China, Tajikistan

    GEMPA bumi kuat berukuran 6.8 magnitud menggegarkan sempadan Tajikistan-Rantau Sempadan Xinjiang pada 8.37 pagi tadi.

    Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi satu kenyataan, gempa dengan kedalaman 49 kilometer (km) itu berlaku pada jarak 363km timur laut dari Taloqan, Afghanistan.

    Bagaimanapun, gempa berkenaan tidak membawa ancaman tsunami kepada Malaysia.

    Lapor USGS yang dipetik Astro AWANI, media China bagaimanapun melaporkan gegaran pada 7.3 magnitud.

    Tiada laporan kerosakan bangunan, kecederaan atau kehilangan nyawa dilapor setakat ini.

    Hanya “sedikit atau tiada penduduk” dijangka terjejas kepada insiden tanah runtuh akibat daripada gempa itu.

    Pusat gempa dipercayai terletak di Gorno-Badakhshan, wilayah timur separa autonomi yang bersempadan dengan Afghanistan dan China.

    Gegaran susulan 5.0 magnitud melanda kawasan itu kira-kira 20 minit selepas gempa awal.

    Wilayah yang tidak ramai penduduk itu dikelilingi banjaran pergunungan Pamir.

    gempa bumi, MetMalaysia, Tajikistan-Rantau Sempadan Xinjiang, tsunami

  • 6 maut, 296 cedera gempa bumi terbaru Turkiye

    6 maut, 296 cedera gempa bumi terbaru Turkiye

    SEKURANG-kurangnya enam orang terbunuh dan 294 yang lain cedera dalam gempa bumi terbaharu yang melanda wilayah Hatay, selatan Turkiye, pada Isnin, lapor Xinhua.

    Dua gempa bumi masing-masing berukuran 6.4 dan 5.8 pada skala Richter berlaku dua minggu selepas gempa bumi kuat menggegarkan wilayah yang sama pada 6 Februari lalu yang mengorbankan lebih 41,000 orang.

    Gempa bumi pertama menggegarkan daerah Defne di wilayah itu pada kira-kira jam 8.04 malam waktu tempatan (1704 GMT) disusuli gegaran kedua tiga minit kemudian dengan pusat gempa di daerah Samandag, menurut Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan. – BERNAMA

  • Kelantan bersedia adakan PRN bila-bila masa – MB

    Kelantan bersedia adakan PRN bila-bila masa – MB

    KERAJAAN Kelantan bersedia mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada bila-bila masa, kata Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob.

    Beliau menjangkakan perkara itu akan dibincang dalam pertemuan tidak langsung menteri-menteri besar yang hadir sempena Mesyuarat Majlis Raja-Raja pada minggu depan, bagi mencari kata sepakat tentang tarikh sesuai diadakan PRN.

    “Pertemuan adalah sempena Mesyuarat Majlis Raja-Raja, itu merupakan perkara biasa dengan menteri besar akan berperanan mengiringi serta menjadi penasihat kepada Raja-Raja Melayu negeri masing-masing.

    “Jadi, pada masa sama kita juga mungkin akan adakan perbincangan secara tidak langsung mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dan tarikh PRN.

    “Tempoh akhir bagi DUN Kelantan adalah pada 26 Jun, (namun) saya rasa PRN boleh dilaksanakan pada bila-bila masa kerana kita telah bersedia untuk menghadapinya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Sambutan Bulan Solat Peringkat Negeri Kelantan, di sini hari ini.

    Sementara itu, dalam perkembangan lain Ahmad berkata kerajaan Kelantan bersetuju menyalurkan sumbangan RM100,000 sebagai soladiriti kepada mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria.

    “Kita (kerajaan negeri) sangat bersimpati dengan bencana gempa bumi yang melanda kedua-dua negara berkenaan dengan jumlah mangsa korban mencecah lebih 40,000 orang.

    “Kita menyumbang walaupun jumlahnya tidak seberapa bagi membantu rakyat kedua-dua negara yang terlibat,” katanya. – BERNAMA

  • Gempa bumi Turkiye ragut lebih 31,600 nyawa

    Gempa bumi Turkiye ragut lebih 31,600 nyawa

    SEKURANG-kurangnya 31,643 orang terbunuh dalam tragedi gempa bumi kuat yang menggegarkan selatan Turkiye pada 6 Feb, lapor Agensi Anadolu.

    Lebih 238,459 anggota kini berada di lapangan untuk menjalankan misi mencari dan menyelamat (SAR), menurut Pengurusan Bencana dan Kecemasan Turki (AFAD) dalam satu kenyataan.

    Hampir 158,165 orang telah dipindahkan setakat ini.

    Kementerian Luar Turki pada hari Isnin memaklumkan bahawa sejumlah 9,793 kakitangan asing dari 74 negara terlibat dalam misi SAR itu. 

    Sebanyak 155,379 khemah telah didirikan untuk menempatkan mangsa yang terselamat, menurut AFAD.

    Selain itu, 170 helikopter, 76 pesawat dan 26 kapal turut dihantar ke lokasi terjejas bagi membantu misi SAR. -BERNAMA

  • ‘Selamatkan saya dan adik, saya rela jadi hamba awak’, kata mangsa gempa

    ‘Selamatkan saya dan adik, saya rela jadi hamba awak’, kata mangsa gempa

    PERANG saudara, pemberontakan, dan pelarian yang berlarutan sejak lebih satu dekad lalu merumitkan usaha pencarian dan penyelamatan mangsa gempa bumi yang melanda dua negara, Syria dan Turkiye.

    Namun bagi masyarakat di Syria, mereka mungkin sudah bersedia dengan pelbagai risiko serangan atau bencana yang melanda bumi Anbiya itu.

    Ketika usaha pencarian dan penyelamatan runtuhan bangunan susulan gempa di Syria iaitu menfokuskan kepada Idlib dan Aleppo, pasukan penyelamat berjaya menemukan dua kanak-kanak terperang di bawah runtuhan bangunan.

    Perkongsian di laman Twitter oleh seorang wartawan Zuhair Alamosa mencuri perhatian masyarakat dunia setelah dia menceritakan detik-detik penyelamatan di bawah runtuhan.

    Apa yang meruntun hati adalah seorang kanak-kanak itu merayu untuk dikeluarkan dari runtuhan dan merelakan diri untuk dijadikan hamba.

    “Tolong bawa saya dan adik keluar dari runtuhan ini tuan. Saya rela untuk menjadi hamba anda,” jelasnya dalam video berdurasi 17 saat itu, lapor Astro AWANI.

    Ungkapan kanak-kanak itu memberi tamparan kepada dunia bahawasanya kedua-dua mereka mungkin beranggapan runtuhan rumah itu berikutan serangan dan bukannya kesan gempa bumi.

    Menerusi video berkenaan, kanak-kanak yang berbaju biru itu cuba menenangkan adik perempuannya yang turut dalam kesempitan di celah runtuhan bangunan.

    Kedua-dua mereka dilihat dalam keadaan penat dan tidak bertenanga susulan terperangkap dipercayai tanpa makanan dan minuman sejak gempa menggegarkan pada Isnin.

    Kedua-dua mereka dilaporkan terperangkap berikutan bumbung rumah mereka runtuh.

  • Gempa 7.5 magnitud: Bangunan musnah, penduduk Maluku selamatkan diri

    Gempa 7.5 magnitud: Bangunan musnah, penduduk Maluku selamatkan diri

    BEBERAPA kediaman dan bangunan dilaporkan musnah selepas gempa bumi berukuran 7.5 pada skala Richter menggegarkan wilayah timur Maluku di Indonesia pada Selasa.

    Ketua unit operasi agensi pengurusan dan mitigasi bencana di daerah Kepulauan Tanimbar, Doni B. Layan berkata bahawa penilaian akan dijalankan untuk mengetahui kesan akibat gempa bumi itu.

    Tiada kecederaan atau kematian dilaporkan setakat ini, katanya kepada Xinhua menerusi panggilan telefon.

    Lebih 2,000 penduduk tempatan telah melarikan diri selepas kejadian gempa itu.

    Gegaran turut dirasai di beberapa wilayah berdekatan, menurut agensi cuaca.

    Gempa dilaporkan berlaku pada 00:47 pagi (1747 GMT) waktu tempatan dengan pusat gempa terletak 148 kilometer (km) dari barat laut daerah Maluku Tenggara Barat (Kepulauan Tanimbar) dengan kedalaman 131 km dari dasar laut.

    Tiga gegaran susulan turut direkodkan dengan tahap kekuatan adalah lemah hingga sederhana.

    Agensi itu turut mengeluarkan amaran tsunami di Malluku dan wilayah berdekatan Sulawesi Tenggara. – BERNAMA

  • Jokowi lawat daerah Cianjur, angka kematian naik 268 orang

    Jokowi lawat daerah Cianjur, angka kematian naik 268 orang

    PRESIDEN Indonesia Joko Widodo pada Selasa melawat bandar Cugenang di daerah Cianjur, lokasi pusat gempa bumi berukuran 5.6 pada skala Richter yang mengorbankan 268 orang.

    Beliau mengarahkan agensi mencari dan menyelamat untuk memindah dan mencari mangsa yang tertimbus akibat tanah runtuh. 

    Presiden Indonesia itu turut berikrar membantu daerah berkenaan untuk membina semula infrastruktur selain mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dan mereka yang terjejas dalam bencana pada Isnin di wilayah Jawa Barat itu.

    Mangsa akan menerima maksimum 50 juta rupiah setiap seorang untuk membaiki rumah mereka yang rosak, kata Joko Widodo yang lebih dikenali sebagai Jokowi, selepas melawat pusat perlindungan yang menempatkan ratusan orang yang kehilangan tempat tinggal.

    Menurut kenyataan akhbar, Jokowi meninjau kawasan yang terjejas selain bertemu dengan masyarakat tempatan.

    Beliau diiringi Menteri Penyelaras Pembangunan Manusia dan Kebudayaan Muhadjir Effendy dan Gabenor Jawa Barat Ridwan Kamil.

    Sementara itu, Ketua Badan Pengurusan Bencana Nasional (BNPB) Indonesia Suharyanto dalam taklimat maya berkata selain 268 kematian terdapat 1,083 orang cedera dan 151 masih hilang berdasarkan data yang dikumpul setakat 5 petang waktu tempatan.

    Lebih 56,362 orang ditempatkan di pusat pemindahan selepas 21,282 rumah rosak termasuk kira-kira 6,570 yang runtuh.

    Kedutaan Malaysia di Jakarta dan Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan Mengenai Pengurusan Bencana ASEAN (Pusat AHA) merakamkan ucapan takziah kepada waris mangsa yang terkorban dan mereka yang terjejas. 

    Pusat AHA turut menawarkan bantuan kepada BNPB dan mengesahkan kesediaannya untuk menyokong pihak berkuasa.

    Sistem pemantauan dan tindak balas bencana pusat itu menganggarkan 3.29 juta orang, 981,500 isi rumah dan infrastruktur bernilai US$12.2 bilion rosak akibat gempa itu, menurut AHA dalam kemas kini terkininya. – BERNAMA

    Indonesia, gempa bumi, Jokowi, Kedutaan Malaysia di Jakarta, Pusat AHA

  • 44 maut gempa 5.6 magnitud gegar Jawa Barat, kematian dijangka meningkat

    44 maut gempa 5.6 magnitud gegar Jawa Barat, kematian dijangka meningkat

    SEKURANG-KURANGNYA 44 orang maut selepas gempa bumi berukuran 5.6 magnitud menggegarkan wilayah barat Indonesia di Jawa Barat hari ini.

    Lapor agensi berita Reuters, seorang pegawai kerajaan tempatan Bandar Cianjur, Herman Suherman berkata, lebih 300 yang lain cedera di bandar itu.

    “Ini hanya daripada sebuah hospital dan terdapat empat hospital di Cianjur,” katanya, memberi bayangan bahawa angka kematian dan kecederaan boleh meningkat.

    Agensi Bencana Kebangsaan Indonesia bagaimanapun melaporkan 14 kematian, buat masa ini.

    Dalam pada itu, jurucakap pentadbiran tempatan di bandar Cianjur di Jawa Barat, Adam berkata, terdapat berpuluh-puluh orang terbunuh.

    “Beratus-ratus, malah mungkin beribu-ribu rumah rosak akibat gempa bumi itu,” katanya.

    Gempa berlaku pada pukul 13.21 waktu tempatan (0621 GMT) dengan pusat gempa terletak 10 kilometer (km) dari barat daya daerah Cianjur di wilayah Jawa Barat dengan kedalaman 10 km.

    Gegaran kuat yang dirasai di Jakarta menyebabkan penduduk bergegas keluar dari rumah dan bangunan.