Tag: gelembung pelancongan

  • Pemantauan pematuhan SOP di Langkawi di bahagi tiga zon

    Pemantauan pematuhan SOP di Langkawi di bahagi tiga zon

    PEMANTAUAN pematuhan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19 bagi pembukaan semula industri pelancongan Langkawi mulai esok dibahagikan kepada tiga zon yang tertumpu kepada ‘hotspot’ atau lokasi tumpuan pelancong.

    Pengerusi Task Force Gelembung Pelancongan Langkawi Saiful Anwar Azmi berkata Zon Satu melibatkan sekitar kawasan Pekan Kuah hingga Ayer Hangat, Zon Dua membabitkan kawasan dari Ayer Hangat hingga Pantai Kok, manakala Zon Tiga dari Pantai Kok hingga Pantai Tengah.

    “Dalam setiap zon ini terdapat lokasi atau produk pelancongan yang sering menjadi tumpuan orang ramai. Kita bahagikan mengikut zon supaya mudah untuk pemantauan SOP dibuat.

    “Pasukan pemantauan SOP contohnya polis bergerak membuat pemantauan di lokasi pelancongan mengikut zon ini dan mereka akan pastikan semua SOP COVID-19 dan SOP gelembung pelancongan dipatuhi,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

    Beliau diminta mengulas mengenai persediaan berkaitan pemantauan pematuhan SOP ke atas pelancong yang akan mengunjungi Langkawi susulan pembukaan semula pulau itu di bawah projek rintis gelembung pelancongan mulai esok.

    Katanya, antara lokasi atau produk pelancongan yang kebiasaannya menjadi tumpuan pelancong di Langkawi termasuk Terminal Jeti Kuah, Dataran Lang, pusat beli belah, premis bebas cukai, lapangan terbang, pusat pelancongan, pusat sukan dan rekreasi serta pantai.

    Dalam pada itu, Saiful Anwar yang juga Pegawai Daerah Langkawi berkata enam jawatankuasa kecil diwujudkan di bawah Task Force Gelembung Pelancongan Langkawi yang berperanan memastikan projek rintis gelembung pelancongan itu berjalan lancar dan berjaya.

    Katanya, jawatankuasa kecil tersebut adalah Jawatankuasa Pandemik, Jawatankuasa Penguatkuasaan dan Keselamatan, Jawatankuasa Kawalan Pintu Masuk, Jawatankuasa Pelancongan, Jawatankuasa Pengindahan Bandar dan Jawatankuasa Komuniti.

    “Pelbagai agensi terlibat sama dalam jawatankuasa-jawatankuasa ini termasuk agensi kerajaan, badan berkanun dan badan bukan kerajaan…(Kita harap) Langkawi akan jadi pusat pelancongan terbaik bukan sahaja di peringkat negara ini tetapi di peringkat dunia,” katanya.

    Ahad lepas, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata setiap agensi di Langkawi sama ada kerajaan, swasta, badan berkanun serta persatuan-persatuan yang diberi peranan menjayakan projek rintis gelembung pelancongan Langkawi perlu melaporkan aktiviti mereka kepada task force itu.

    Dr Noor Hisham Abdullah berkata ini kerana semua yang terlibat itu diberi peranan dan tanggungjawab masing-masing dalam projek rintis gelembung pelancongan berkenaan.- BERNAMA

  • Pelancong ke Langkawi guna pesawat tak perlu surat polis – KJ

    Pelancong ke Langkawi guna pesawat tak perlu surat polis – KJ

    INDIVIDU yang menggunakan pesawat udara untuk melancong ke Pulau Langkawi, Kedah bermula 16 Sept ini tidak perlu mendapatkan surat kebenaran daripada polis, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

    Khairy dalam ciapan di laman Twitter berkata hanya mereka yang menggunakan pengangkutan darat dari luar negeri tersebut sahaja perlu berbuat demikian.

    “Bagi program perintis pelancongan ‘travel bubble’ Langkawi, surat dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tujuan rentas negeri dan sekatan jalan raya diperlukan sekiranya pelancong melalui jalan darat,” katanya.

    Pada 9 Sept, kerajaan mengumumkan kebenaran kepada pengunjung domestik dari seluruh negara untuk mengunjungi Langkawi, kecuali mereka yang berada di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

    Pulau peranginan di utara tanah air yang dipilih sebagai destinasi pertama projek rintis program gelembung pelancongan itu adalah terhad kepada individu yang lengkap dos vaksin COVID-19.- BERNAMA

  • Pengunjung ke Langkawi dinasihat patuh SOP, elak kes Covid naik – KP Kesihatan

    Pengunjung ke Langkawi dinasihat patuh SOP, elak kes Covid naik – KP Kesihatan

    KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) mengingatkan semua bakal pengunjung ke Pulau Langkawi, Kedah di bawah projek rintis gelembung pelancongan domestik agar sentiasa mengamalkan norma baharu dan kekal mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

    Dalam usaha mengimbangi antara nyawa dan kelangsungan hidup serta ekonomi, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menyeru semua pihak bersama-sama memainkan peranan bagi memastikan tiada peningkatan jangkitan virus COVID-19 di pulau percutian itu.

    “Kerjasama anda semua adalah sangat diperlukan,” kata Dr Noor Hisham dalam hantaran di Facebooknya.

    Pada 9 Sept lepas, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri mengumumkan pelancong domestik yang memenuhi kriteria SOP dari seluruh negara termasuk dari negeri Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) boleh mengunjungi Pulau Langkawi mulai 16 Sept ini.

    Sehubungan itu, Dr Noor Hisham berkata KKM melalui Jabatan Kesihatan Negeri Kedah sedang meningkatkan kapasiti dan kesiapsiagaan Hospital Sultanah Maliha (HSM) bagi menghadapi sebarang kemungkinan peningkatan kes COVID-19 di Pulau Langkawi yang memerlukan kemasukan ke hospital dan Unit Rawatan Rapi (ICU).

    HSM merupakan sebuah hospital hibrid yang merawat pesakit COVID-19 dengan 79 katil, manakala untuk bukan COVID-19 sebanyak 142 katil. 

    Dr Noor Hisham berkata melalui penubuhan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah Langkawi International Shooting Range Malaysia (i-PKRC LISRAM) pada 4 Ogos lepas, sebanyak 60 katil tambahan berjaya diwujudkan bagi merawat pesakit COVID-19 kategori satu, dua dan tiga yang berisiko rendah.

    “Bagi ICU, sebanyak lapankatil tambahan telah diwujudkan sebelum ini (repurposed) menjadikan kapasiti katil meningkat kepada 13 dan daripada jumlah itu, sembilan katil adalah dikhususkan bagi merawat kes COVID-19,” katanya.

    Selain itu, beliau berkata jabatan lain HSM, antaranya Jabatan Kecemasan dan Trauma, Jabatan Patologi dan Transfusi Perubatan, Jabatan Pediatrik, Jabatan Forensik serta Unit Hemodialisis turut merancang pelan kesiapsiagaan masing-masing bagi merawat kes COVID-19 yang mungkin akan bertambah.

    “Melalui perbincangan yang diadakan bersama pihak HSM dan Jabatan Kesihatan Negeri Kedah, beberapa cadangan penambahbaikan telah diberikan termasuk penetapan nilai ambang kadar kemasukan pesakit harian sebagai petanda amaran agar tindakan proaktif tertentu diambil.

    “Ini termasuk keperluan menambah bilangan katil bukan ICU dan ICU untuk kes COVID-19, mobilisasi petugas kesihatan dan aset dari daerah atau negeri lain, evakuasi pesakit melalui pengangkutan udara ke hospital rujukan lain serta penubuhan PKRC yang dikendalikan oleh pihak swasta,” katanya.- BERNAMA