Tag: gelang merah jambu

  • Penyelia dan 9 perkerja ditahan kerana bekerja dalam tempoh kuarantin

    Penyelia dan 9 perkerja ditahan kerana bekerja dalam tempoh kuarantin

    SEORANG penyelia bersama sembilan pekerja di sebuah premis pembekal dan pembungkusan ditahan ketika sedang bekerja selepas didapati memakai gelang kuarantin merah jambu, semalam.

    Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata, tangkapan dibuat selepas sepasukan pegawai dan anggota Task Force Ops Patuh Ibu Pejabat Polis (IPD) Kampar melakukan pemeriksaan di sebuah premis di Jalan Teknologi 3, Kawasan Perindustrian Gopeng 2, kira-kira pukul 12.30 tengah hari.

    Menurutnya, pemeriksaan lanjut terhadap kesemua mereka mendapati penyelia kedai berusia 32 merupakan warga tempatan bersama-sama sembilan pekerja warga asing berusia dalam lingkungan 25 hingga 40 tahun itu masih dalam tempoh kuarantin bermula 18 hingga 27 Ogos.

    Hasron Nazri turut berkata, hasil siasatan juga mendapati penyelia premis berkenaan mengarahkan sembilan pekerja warga asing terbabit yang tinggal di aras dua supaya datang bekerja di tingkat bawah premis pada jam 8 pagi semalam.

    Tambah beliau, perintah kuarantin juga sudah dikeluarkan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kampar dan dipakaikan gelang kuarantin pada pada Jumaat lalu.

    “Oleh itu, tangkapan dibuat terhadap penyelia premis bersama sembilan pekerja berkenaan kerana melakukan pelanggaran SOP PKP Pelan Pemulihan Negara (Fasa 2),” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan cuai yang mungkin menularkan jangkitan apa-apa penyakit yang berbahaya kepada nyawa dan Peraturan 16, Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021.

  • JKNK nafi beruk di Gua Musang positif Covid-19

    JKNK nafi beruk di Gua Musang positif Covid-19

    Oleh: Bernama

    JABATAN Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) menafikan dakwaan seekor beruk di Gua Musang, positif Covid-19.

    Pengarah JKNK Datuk Dr Zaini Hussin berkata, pihaknya tidak melakukan ujian saringan Covid-19 ke atas haiwan.

    “Tidak munasabah, kita tidak buat ujian calitan kepada beruk,” katanya ringkas ketika dihubungi, hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai satu hantaran tular dalam Facebook yang memaparkan gambar seekor beruk memakai gelang merah jambu didakwa positif Covid-19. – BERNAMA