Tag: gantung

  • Edar dadah dalam kompleks penjara, warden ke tali gantung

    Edar dadah dalam kompleks penjara, warden ke tali gantung

    SEORANG warden penjara dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis kanabis dan methamphetamine dengan berat keseluruhan 410.07 gram (g) di kompleks penjara, empat tahun lepas.

    Hakim Nurulhuda Nur’aini Md Nor menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Elmy Arif Hamid, 40, selepas mahkamah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan berkenaan.

    Mohd Elmy Arif didakwa melakukan perbuatan itu di Kompleks Penjara Sungai Buloh, Sungai Buloh pada 11 pagi, 18 Jun 2019 mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

    Tertuduh turut didapati bersalah bagi empat pertuduhan memiliki pelbagai jenis dadah iaitu heroin (4.25g), monoacetylmorphines (1g), etilzolam (38.67g) dan clozapine (50.80g) di lokasi, masa dan tarikh yang sama.

    Bagi empat kesalahan itu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dan tiga sebatan bagi kesalahan memiliki heroin, masing-masing penjara satu tahun (monoacetylmorphines dan etilzolam) serta penjara enam bulan (clozapine).

    Nurulhuda Nur’aini turut memerintahkan hukuman pemenjaraan tersebut berjalan serentak dari tarikh tangkap pada 18 Jun 2019.

    Seramai sembilan saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan termasuk tertuduh, telah memberi keterangan sepanjang perbicaraan yang berlangsung sejak 24 Ogos 2021.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Shahrul Ekhsan Hasim manakala Mohd Elmy Arif diwakili peguam Zameri Mat Nawang. – BERNAMA

  • Edar dadah di bangsal lembu, tiga lelaki ke tali gantung

    Edar dadah di bangsal lembu, tiga lelaki ke tali gantung

    TIGA lelaki dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis heroin dan Monoacetylmorphines dengan berat keseluruhan 585.1 gram (g) dalam sebuah bangsal lembu di Rawang, empat tahun lepas.

    Hakim Datuk Abdul Halim Aman menjatuhi hukuman itu terhadap C. Peter Yesudas, 55; V. Kasinathan, 43, dan K. Nagaraj, 57, selepas mahkamah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan yang dihadapi tertuduh.

    Beliau berkata keterangan ketiga-tiga tertuduh didapati lebih berkisar kepada penafian dan ‘after thought’ (pertimbangan semula), selain gagal disokong dengan bukti yang konkrit.

    “Mereka juga didapati mempunyai milikan secara langsung iaitu perbuatan memproses dadah dan tertuduh mempunyai pengetahuan mengenai dadah di dalam bangsal.

    “Terdapat juga bukti asid deoksiribonukleik (DNA) setiap tertuduh yang dirampas di tempat kejadian dan keterangan secara keseluruhan ketiga-tiga tertuduh mempunyai kawalan serta jagaan terhadap bangsal itu,” katanya.

    Hakim juga memerintahkan pertuduhan serupa terhadap seorang lagi tertuduh, M. Radakrishnan, 52, dibatalkan kerana lelaki itu telah meninggal dunia semasa dalam tahanan.

    Berdasarkan kedua-dua pertuduhan, kesemua mereka bersama-sama dengan S. Balaguhan, 50, yang masih bebas dengan niat bersama didakwa telah mengedar dadah jenis heroin dengan berat bersih 432.5g dan Monoacetylmorphines seberat 152.6g di Rawang kira-kira pukul 12.40 tengah hari, pada 26 Nov 2019.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati.

    Seramai 22 saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan iaitu tertuduh telah memberi keterangan selain sebanyak 317 eksibit telah dikemukakan sepanjang perbicaraan bermula pada 15 Nov 2021.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datin Zuraini Abdul Razak manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam Norman Mohd Nasir. – BERNAMA

  • Penghantar makanan edar kanabis ke tali gantung

    Penghantar makanan edar kanabis ke tali gantung

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    MAHKAMAH Tinggi di Johor Bahru hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap seorang penghantar makanan selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis kanabis seberat 764.90 gram pada 2018.

    Hakim Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid membuat keputusan itu terhadap Izad Shahizal Pungot, 41, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

    Dalam penghakiman ringkas, Hakim Ahmad Kamal menyabitkan tertuduh didapati bersalah dan pembelaan gagal menyangkal anggapan di bawah Seksyen 37(da) Akta Dadah Berbahaya 1952 terhadap kegiatan pengedaran dadah.

    Tertuduh yang merupakan bapa kepada dua orang anak itu didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kediaman di Pangsapuri Desa Dato’ Hajah Hasnah pada pukul 9.30 malam, 16 Januari 2018.

    Ekoran kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) akta sama yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta berkenaan yang memperuntukkan hukuman mandatori gantung sampai mati.

    Sepanjang perbicaraan berlangsung sejak 2019, seramai lapan saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan iaitu tertuduh telah dipanggil memberi keterangan.

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syafiq Mohd. Ghazali, manakala tertuduh diwakili peguam, Shaik Saleem S.M. Daud.

  • Penjual daging didakwa edar dadah terlepas hukuman gantung

    Penjual daging didakwa edar dadah terlepas hukuman gantung

    SEORANG penjual daging di pasar awam terselamat daripada hukuman gantung apabila Mahkamah Tinggi Georgetown hari ini melepas dan membebaskannya daripada pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 59.7 kilogram (kg) tiga tahun lalu.

    Hakim Mohd Radzi Abdul Hamid membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Sahul Hamid Mohd, 44, di akhir kes pendakwaan.

    Dalam penghakimannya beliau berkata, pihak pendakwaan gagal membuktikan tertuduh mempunyai milikan terhadap dadah itu.

    “Setelah menilai kes pendakwaan, mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan tertuduh memiliki dadah yang dirampas dan kereta yang mengandungi dadah berkenaan, maka tidak timbul isu pengedaran dadah,” katanya.

    Menurutnya sembilan saksi dipanggil oleh pihak pendakwaan, namun terdapat percanggahan daripada dua keterangan saksi mengenai tarikh gambar barang rampasan yang diambil sehingga menimbulkan keraguan.

    “Mengikut keterangan saksi juga, tiada cap jari tertuduh yang ditemui dalam kereta mahupun di guni daun kanabis yang dirampas,” katanya.

    Mengikut pertuduhan, Sahul Hamid didakwa mengedar dadah jenis kanabis seberat 59,708.4 gram di kawasan parkir kereta Pasa Raya Tesco Extra Sembilang, di Seberang Jaya, Seberang Perai Tengah pada pukul 3.15 petang, 8 Januari 2018.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan 15 kali sebatan jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Amril Johari, manakala tertuduh diwakili peguam S. Rethinakumar dan T. Tamilsalvan.

    Sahul Hamid yang berbaju T putih dan seluar jeans kelihatan sebak dan memeluk ahli keluarganya selepas keputusan mahkamah.