Tag: gangguan mental

  • Jalan sesak, sistem tol lama antara punca rakyat hadapi ‘gangguan mental’

    Jalan sesak, sistem tol lama antara punca rakyat hadapi ‘gangguan mental’

    SEORANG Ahli Parlimen menggesa kerajaan menggunakan sistem lebih maju bagi pembayaran tol kerana kaedah sedia ada terlalu lama menyebabkan kesesakan di lebuh raya.

    Pada sidang Dewan Rakyat, Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) berkata, kesesakan jalan raya yang antaranya berpunca daripada sistem tol tidak moden menyebabkan “gangguan mental” kepada rakyat.

    “Soal masalah kesesakan ini sangat penting sekarang, tahap tekanan pengguna jalan raya semakin tinggi bukan sebab apa, sebab jalan sesak, bukan Kuala Lumpur saja. Antara faktornya adalah disebabkan tol.

    “Saya nak tanya, sudah berapa tahun kita bagi tol kepada syarikat konsesi? Takkan konsep kutipan tol masih sama, pakai palang yang sudah tua itu sekejap naik, sekejap turun?

    “Kenapa tak guna ‘sensor’? Saya setuju dengan negara maju, kita pakai ‘sensor’, kereta lalu dan rekod, kita ada RFID, Touch ‘n Go, SmartTAG dan sebagainya.

    “Saya nak tanya, berapa lama kita bagi kepada syarikat konsesi tapi tak ada kemajuan? Itu jadi gangguan mental kepada rakyat Malaysia. Ini fakta, tol naik, tapi pergi sampai tol RFID sangkut, bila sangkut saja kenderaan kena undur, sangkut undur, nak pergi lorong lain tak boleh,” katanya, lapor Free Malaysia Today.

    Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan 2023 peringkat jawatankuasa Kementerian Kerja Raya di Dewan Rakyat.

    Jalaluddin mencadangkan kerajaan tidak lagi menggunakan sistem palang, sebaliknya menaik taraf sistem tol dengan mempelbagaikan penggunaan teknologi dalam satu lorong.

    “Kenapa tak guna pemikiran satu lorong semua boleh masuk, sama ada SmartTAG, RFID dan sebagainya dan sistem palang yang sudah tua itu dikeluarkan,” katanya sambil menyarankan penubuhan jawatankuasa kesesakan jalan raya.

    Ini kerana katanya, kesesakan jalan raya yang berterusan akan menyebabkan rakyat mengalami tekanan, gangguan mental dan akhirnya merugikan rakyat.

  • Tiap seorang daripada 20 kanak-kanak alami gangguan mental

    Tiap seorang daripada 20 kanak-kanak alami gangguan mental

    TINJAUAN Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2019 menganggarkan tiap seorang daripada 20 kanak-kanak berumur lima hingga sembilan tahun di Malaysia mengalami gangguan mental, termasuk gangguan dari segi perkembangannya, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

    Bercakap kepada media selepas melancarkan Laporan dan Infografik Negara Malaysia: Memperkukuh Sistem dan Perkhidmatan Sokongan Kesihatan Mental dan Psikososial (MHPSS) untuk Kanak-kanak dan Remaja di Rantau Asia Timur dan Pasifik di sini hari ini, beliau berkata tinjauan itu juga mendapati tiap seorang daripada lapan remaja berumur 10 hingga 19 tahun mengalami gangguan mental.

    Katanya NHMS juga mendapati kira-kira 424,000 kanak-kanak di Malaysia mengalami masalah mental, tetapi ramai yang tidak tampil untuk mendapatkan bantuan.

    “Di Malaysia, kanak-kanak dan remaja mengalami beban kesihatan mental yang teruk,” katanya dan menambah antara faktor risiko adalah kesihatan mental yang lemah, pendedahan kepada keganasan, penganiayaan rakan sebaya dan buli, kesunyian dan pengasingan sosial amat berleluasa.

    Mengenai MHPSS, Dr Noor Azmi berkata laporan itu menekankan jurang kritikal dalam tindak balas dan cabaran semasa pelaksanaan MHPSS dalam kalangan kanak-kanak dan remaja, termasuk kesukaran atau akses terhad kepada perkhidmatan bagi menangani masalah kesihatan mental, kekurangan pemerkasaan undang-undang dan dasar sedia ada, kelemahan dalam komunikasi dan penyelarasan antara sektor, serta pembiayaan yang tidak mencukupi.

    Dr Noor Azmi berkata Kementerian Kesihatan juga komited untuk menterjemahkan penemuan penyelidikan MHPSS kepada dasar dan amalan.- BERNAMA