Tag: gangguan bekalan elektrik

  • TNB jamin bekalan elektrik berdaya harap, stabil

    TNB jamin bekalan elektrik berdaya harap, stabil

    TENAGA Nasional Bhd (TNB) memberi jaminan bekalan elektrik di negara ini adalah berdaya harap dan stabil kerana kejadian gangguan bekalan mampu dipulihkan dalam tempoh segera.

    Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Baharin Din berkata, jaminan itu dapat dibuktikan menerusi kejadian gangguan bekalan di beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia tengah hari tadi apabila pemulihan bekalan dapat dilaksanakan dengan pantas hasil kecekapan pasukan teknikal TNB.

    Selain itu, beliau berkata, rangkaian Grid Nasional itu sendiri mempunyai ciri-ciri pintar yang memudahkan kerja pengesanan dan pemulihan bekalan.

    “Kami telah dapat menyelesaikan masalah gangguan dalam tempoh wajar, malah ada kawasan yang pulih seawal 20 minit selepas terputus bekalan.

    “Pemulihan bekalan dapat dilaksanakan dengan lebih cekap hasil pelaburan secara berterusan TNB memodenkan grid termasuk mendigitalkannya agar rangkaian pembekalannya lebih stabil, fleksibel dan konsisten,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    TNB memaklumkan gangguan bekalan elektrik yang berlaku di beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia sejak 12.39 tengah hari ini berpunca daripada kerosakan satu peralatan di Pencawang Masuk Utama (PMU) Yong Peng North di Yong Peng, Johor.

    Merujuk kejadian itu, Baharin berkata kejadian kerosakan PMU itu adalah kes terpencil serta tidak melibatkan sebarang kerosakan dan telah beroperasi sepenuhnya.

    “Keupayaan kami memulihkan bekalan hari ini adalah berikutan pelaburan besar dan berterusan TNB bagi menaik taraf sistem dengan sokongan Suruhanjaya Tenaga (ST) dan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli,” katanya.

    Baharin turut memohon maaf kepada semua pengguna yang terlibat dengan gangguan bekalan itu serta memaklumkan pihaknya akan menjalankan siasatan terperinci bersama ST bagi mengambil langkah pencegahan dan usaha penambahbaikan.

    Sementara itu, urusan di kaunter daftar masuk dan premis perniagaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) terjejas seketika akibat gangguan bekalan elektrik tengah hari tadi.

    Seorang kakitangan penerbangan yang bertugas di kaunter daftar masuk di tingkat lima KLIA berkata, urusan menimbang bagasi tidak dapat dilakukan ketika gangguan elektrik berlaku.

    “Terjejas juga tetapi disebabkan tidak ramai penumpang ketika itu, situasi agak O.K. Hanya lampu sahaja berfungsi di kaunter,” katanya kepada Bernama ketika tinjauan di KLIA di Sepang hari ini.

    KLIA turut dilaporkan bergelap sebelum bekalan elektrik pulih secara beransur-ansur mengikut lokasi di lapangan terbang itu kira-kira lima minit kemudian.

    Pengendali lapangan terbang, Malaysia Airports Holdings Bhd turut memuat naik dalam laman sosial memaklumkan terminal utama KLIA mengalami gangguan bekalan elektrik dan pihak kejuruteraan syarikat itu sedang berhubung dengan pihak Tenaga Nasional Bhd, dan disusuli dengan kenyataan bahawa bekalan elektrik telah pulih sepenuhnya di KLIA.

    Gangguan bekalan elektrik itu bagaimanapun tidak menyebabkan KLIA “gelap-gelita sepenuhnya” kerana difahamkan masih terdapat lampu kecemasan yang berfungsi ketika bekalan elektrik terputus manakala komputer di sesetengah kaunter beroperasi secara normal kerana terdapat sistem sandaran.

    Seorang anggota penguat kuasa yang bertugas di kawasan pelepasan antarabangsa di KLIA berkata urusan masuk penumpang yang mahu turun ke Balai Imigresen tidak terjejas ketika bekalan elektrik putus.

    “Hanya lif dan eskalator sahaja tidak berfungsi manakala sistem PRS (Sistem Penyelarasan Penumpang) yang mengimbas pas masuk penumpang berfungsi seperti biasa,” katanya.

    Kakitangan Dunkin’ Donuts yang hanya mahu dikenali sebagai Ameera pula berkata, kedai makan itu berdepan masalah tidak boleh menyediakan kopi menggunakan mesin untuk pelanggan ketika gangguan elektrik berlaku.

    “Pelanggan sudah ramai dan berbaris untuk membeli kopi namun kami tidak memprosesnya. Ada pelanggan yang bayar jumlah tepat harga makanan sebab mesin daftar tunai tidak berfungsi juga,” katanya.

    Penyelia TGM Japanese Korean Cuisine, Zariq Ruslan berkata, restoran itu tidak dapat mengambil pesanan pelanggan kerana ia menggunakan mesin dan komputer ketika ketiadaan elektrik hampir sejam.

    “Kami kehilangan lebih daripada lima pelanggan semasa bekalan elektrik tiada,” katanya.

    Seorang kakitangan Airport Limo yang tidak mahu dikenali berkata kios yang terletak di tingkat dua tidak berdepan dengan apa-apa masalah dan komputer berfungsi secara biasa, kecuali mereka berdepan dengan situasi ketiadaan lampu.

    Berikut adalah kronologi insiden gangguan bekalan elektrik utama yang pernah berlaku dalam negara sejak 1992:

    29 Sept 1992

    Gangguan bekalan elektrik terbesar apabila seluruh Semenanjung Malaysia ‘bergelap’ selama 48 jam apabila kilat merosakkan rangkaian utama di timur Malaysia, menjejaskan stesen-stesen janaelektrik di Semenanjung.

    Kejadian itu menjejaskan 18 juta pengguna dan mengakibatkan kerugian perniagaan berjumlah RM220 juta.

    3 Ogos 1996

    Hampir seluruh Semenanjung mengalami gangguan bekalan elektrik bermula pukul 5.18 petang menyebabkan keadaan kelam-kabut terutama di kawasan bandar.

    Gangguan elektrik itu berlaku serentak di kebanyakan negeri dan dipercayai berpunca daripada kerosakan di Stesen Janakuasa Elektrik Paka, Terengganu.

    Gangguan bekalan elektrik kedua terbesar berlaku itu dikenali sebagai ‘Black Friday’ yang menyebabkan ‘huru-hara dan kelam-kabut’ di pusat-pusat bandar kerana ia berlaku pada 5.17 petang ketika pekerja dalam perjalanan pulang ke rumah.

    Ramai terperangkap dalam kesesakan lalu lintas teruk dan bekalan elektrik hanya pulih pada kira-kira 8.30 pagi keesokannya.

    1 Sept 2003

    Lima negeri iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Kelantan mengalami gangguan elektrik selama empat jam sejak pukul 10 pagi sehingga bekalan dipulihkan semula pada kira-kira 2 petang.

    Kejadian itu dilaporkan kerana masalah teknikal apabila talian penghantaran bekalan elektrik antara Bukit Beruntung di Rawang dan Batu Gajah di Perak terpelantik ketika kerja-kerja penyelenggaraan dijalankan.

    13 Jan 2005

    Gangguan bekalan elektrik berlaku pada 12.16 tengah hari pada hari tersebut telah menyebabkan beberapa negeri di selatan Semenanjung iaitu Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Kuala Lumpur dan Selangor mengalami gangguan bekalan elektrik dan berjaya dipulihkan secara berperingkat sejak pukul 1.40 tengah hari.

    Kawasan terakhir dipulihkan ialah Kluang, Johor pada 5 petang.

    27 Jun 2013

    Berlaku gangguan bekalan elektrik terputus membabitkan hampir keseluruhan Sarawak termasuk Kuching yang berpunca daripada litar di talian penghantaran Kemena-Bintulu terpelantik pada 5.40 petang. – BERNAMA

  • Gangguan elektrik: Netizen bengang dengan TNB, luah rungutan

    Gangguan elektrik: Netizen bengang dengan TNB, luah rungutan

    PLATFORM media sosial hari ini dibanjiri dengan rungutan orang ramai berkenaan gangguan bekalan elektrik yang berlaku di beberapa kawasan, bukan sahaja di Lembah Klang malah di beberapa negeri lain.

    Rata-rata pengguna media sosial meluahkan rasa kesal dan tertanya-tanya berkenaan situasi yang berlaku bermula tengah hari ini sekali gus menjadikan tanda pagar #Blackout sohor kini di laman Twitter.

    Antara rungutan berkenaan perkara itu dinyatakan pengguna media sosial yang berada di kawasan Seremban, Negeri Sembilan ; Kuantan, Pahang ; Sungai Petani, Kedah dan Kajang, Selangor.

    Pengguna Twitter menggunakan akaun ‘pixel-purr’ antara yang meluahkan rasa keliru dengan situasi tersebut yang berlaku secara tiba-tiba.

    “Hello @Tenaga_Nasional apa jadi? Tiba-tiba ada power outage? (bekalan terputus) I hear major areas in Kuala Lumpur, Petaling Jaya and Puchong also have power outage,” tulis pengguna berkenaan.

    Situasi itu turut mencetuskan rasa kecewa pengguna akaun ‘Beardr888ps’ yang meminta penjelasan dan tindakan lanjut daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB).

    “@Tenaga_Nasional apa telah jadi? Kenapa gangguan elektrik semakin kerap berlaku? Kami perlukan jawapan ….. Siapa nak bayar kalau barang dalam peti ais saya rosak? Saya nak discount code untuk next bill saya please!,” ciapnya di Twitter.

    Namun di sebalik ketegangan, terdapat juga netizen yang memberi reaksi lucu dengan menyamakan situasi tidak dijangka itu dengan sambutan ‘Earth Hour’ selain mengaitkannya dengan sebuah filem Hollywood.

    Sementara itu jurucakap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan situasi itu turut menjejaskan sementara perkhidmatan lampu isyarat dan kamera litar tertutup (CCTV) di beberapa kawasan di ibu negara antaranya di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Bukit Bintang dan Jalan Sultan Ismail.

    Menurut DBKL petugas trafik telah diarah mengawal dan mengawasi lalu lintas susulan gangguan bekalan.

    Menurut Malaysia Airports pula, perkhidmatan di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) turut terjejas melibatkan bangunan terminal utama.

    “Kami mohon maaf kerana terminal utama KLIA ketika ini mengalami gangguan bekalan tenaga elektrik. Pasukan kejuruteraan kami sedang bekerjasama rapat dengan TNB bagi menyelesaikan perkara ini,” katanya. – BERNAMA

  • Banyak lokasi di Semenanjung putus bekalan elektrik, apa puncanya?

    Banyak lokasi di Semenanjung putus bekalan elektrik, apa puncanya?

    BEBERAPA lokasi sekitar Semenanjung Malaysia dilaporkan mengalami gangguan bekalan elektrik sebentar tadi.

    Berdasarkan maklumat yang dikongsikan netizen dalam media sosial, lokasi-lokasi terbabit adalah di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Pahang, Perak dan Pulau Pinang.

    Difahamkan, situasi itu berlaku di Lembah Klang dalam situasi hujan lebat.

    Gangguan bekalan elektrik mula berlaku kira-kira pukul 1 tengah hari dan beransur-ansur pulih mulai dalam 15 minit kemudian.

    Sementara itu, laman Facebook TNB Careline dalam hantaran terkini mengesahkan terdapat gangguan bekalan elektrik di beberapa kawasan ketika ini.

    “Pasukan teknikal kami sedang mengenal pasti punca kejadian. Usaha sedang giat dijalankan untuk memulihkan bekalan.

    “Kami mohon maaf di atas segala kesulitan dialami oleh pengguna semasa gangguan bekalan ini,” katanya.

    Bernama melaporkan, gangguan bekalan elektrik yang berlaku di beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia sejak 12.39 tengah hari ini adalah melibatkan 2.2 gigawatt (GW) iaitu 10 peratus daripada keseluruhan permintaan bekalan.

    Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi kenyataan hari ini memaklumkan antara kawasan yang terlibat adalah di Petaling Jaya, Cheras; Bangi (Lembah Klang); Bayan Lepas dan Seberang Jaya (Pulau Pinang); Panchor, Johor dan Bandar Indera Mahkota, Pahang.

    “Bagaimanapun, bekalan telah dipulihkan sepenuhnya dalam tempoh 20 hingga 40 minit di semua kawasan terlibat kecuali di kawasan-kawasan terbabit di Lembah Klang,” menurut TNB.

    TNB memaklumkan punca kejadian sedang dikenal pasti dan usaha sedang giat dijalankan untuk memulihkan bekalan.

    “TNB akan memaklumkan kepada para pelanggan dari semasa ke semasa. Kami memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami oleh pengguna semasa gangguan bekalan ini,” katanya.

    Dalam kenyataan terkini, TNB memaklumkan, pihaknya berjaya memulihkan sepenuhnya bekalan elektrik kepada semua kawasan yang mengalami gangguan elektrik pada pukul 3.02 petang.

    Menurut TNB, kebanyakan kawasan terjejas berjaya dipulihkan secara berperingkat seawal 20 minit gangguan berlaku hasil usaha berterusan Pasukan Teknikal TNB.

    “Siasatan TNB mendapati gangguan bekalan yang bermula pada jam 12.39 tengah hari ini berpunca daripada kerosakan di salah satu peralatan di Pencawang Masuk Utama (PMU) Yong Peng North di Yong Peng, Johor.

    “Ia telah mengakibatkan kehilangan beban sebanyak 2.2GW yang merupakan 10 peratus daripada keseluruhan permintaan bekalan di Semenanjung Malaysia.

    “Kami memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami oleh pengguna semasa gangguan bekalan ini,” jelasnya.

    Untuk sebarang pertanyaan mengenai gangguan bekalan, pengguna boleh menghubungi talian TNB Careline di 15454.

    Sementara itu, Rapid Rail Sdn Bhd mengesahkan bahawa perkhidmatan LRT Laluan Ampang/Sri Petaling turut terkesan akibat masalah bekalan elektrik melibatkan beberapa kawasan di Lembah Klang.

    Syarikat tersebut dalam kenyataan media hari ini berkata, perkhidmatan LRT Laluan Ampang/Sri Petaling dilaporkan mengalami gangguan kira-kira pada jam 12.48 tengah hari melibatkan 11 stesen dari Stesen LRT Bandar Tun Razak sehingga Stesen LRT Pusat Bandar Puchong.

    “Akibat masalah ini, tren bergerak dengan lebih perlahan dan berhenti lama di platform. Penumpang yang terjejas telah ditawarkan kupon perjalanan sehala secara percuma yang perlu tebus di kaunter khidmat pelanggan.

    “Perkhidmatan pulih sepenuhnya pada jam 1.35 petang,” jelasnya.