Tag: Gagasan Rakyat

  • ADUN Petagas pula keluar Warisan, sertai Gagasan Rakyat

    ADUN Petagas pula keluar Warisan, sertai Gagasan Rakyat

    PARTI Warisan terus bergolak apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas Awang Ahmad Sah Awang Sahari mengumumkan keluar parti dan menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).

    Perkara itu diumumkan Awang Ahmad Sah yang juga bendahari agung Warisan dalam satu sidang akhbar yang diadakan di sebuah hotel di Kota Kinabalu hari ini.

    Beliau berkata, keputusan itu diambil selepas melakukan perbincangan dengan pemimpin bahagian.

    “Pada hari ini, saya beserta dengan keseluruhan cawangan kecuali tiga atau empat cawangan mengumumkan bahawa kami meninggalkan Warisan dan menyertai Gagasan Rakyat pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor,” katanya lapor Sinar Harian.

    Tindakan Awang Ahmad keluar parti itu susulan cubaan menyingkirkan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor Hajiji pada Januari yang didalangi Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Pengerusi Barisan Nasional Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

    Pada 6 Februari lalu, tiga ADUN Warisan keluar daripada parti itu. Mereka ialah Mohammad Mohamarin (Banggi), Chong Chen Bin (Tanjong Kapor) dan Norazlina Arif (Kunak).

    Lima ADUN UMNO juga mengumumkan keluar parti minggu lepas untuk menyertai Gagasan Rakyat selepas enggan menyertai gerakan menggulingkan Hajiji sebagai ketua menteri.

    Awang Ahmad, yang juga bekas ahli Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) pimpinan Jeffrey Kitingan, dipilih sebagai Adun Petagas atas tiket Warisan pada pilihan raya negeri Sabah 2020.

    Beliau memenangi kerusi itu dengan majoriti tipis 261 undi, menewaskan Arsit Sidik dari Perikatan Nasional dalam pertandingan enam penjuru.

    Beliau pertama kali bertanding untuk kerusi DUN Petagas pada pilihan raya umum 2013 atas tiket STAR, tetapi hanya berjaya memperoleh 1,111 undi apabila Yahyah Hussin dari BN memenangi kerusi itu.

  • 5 ADUN UMNO Sabah umum keluar parti, sertai Gagasan Rakyat

    5 ADUN UMNO Sabah umum keluar parti, sertai Gagasan Rakyat

    LIMA Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO Sabah, mengumumkan keluar dari parti itu berkuat kuasa serta merta, hari ini.

    ADUN berkenaan ialah Datuk Dr Yusof Yacob (Sindumin); Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit); Datuk Mohd Arsad Bistari (Tempasuk); Datuk Hamid Awang (Balung) dan Datuk James Ratib (Sugut).

    Lapor Berita Harian, kesemua ADUN itu menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

    Pengumuman itu dibuat pada sidang media khas dipengerusikan Yusof di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di Kota Kinabalu, sebentar tadi.

    Turut mengumumkan menyertai Gagasan Rakyat ialah tiga ADUN Parti Warisan (WARISAN) yang mengumumkan keluar parti awal bulan ini.

    Mereka ialah Norazlinah Arif (Kunak), Chong Chrn Bin (Tanjung Kapor) dan Mohammad Mohamarin (Banggi).

  • Gagasan Rakyat tidak lemahkan penstrukturan Bersatu Sabah

    Gagasan Rakyat tidak lemahkan penstrukturan Bersatu Sabah

    NAIB Presiden Bersatu, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, langkah Datuk Seri Hajiji Noor mengambil alih Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) tidak akan melemahkan usaha penstrukturan semula Bersatu di Sabah.

    Menurutnya, beliau tidak melihat parti yang akan diketuai oleh bekas Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah itu bakal menyebabkan pemimpin akar umbi Bersatu keluar meninggalkan parti bagi menyertai Gagasan Rakyat.

    “Pemimpin akar umbi di peringkat cawangan masih kukuh. Saya tidak melihat akan ada lagi pemimpin keluar parti, kebanyakan mereka kekal setia bersama kita,” katanya.

    Mengulas lanjut, Ronald berkata, pada masa ini Bersatu Sabah dalam proses melakukan penstrukturan semula peringkat bahagian bagi menggantikan pemimpin yang telah meninggalkan parti.

    “Kami dalam proses melantik beberapa ketua penaja peringkat bahagian sebagai usaha penstrukturan semula Bersatu di Sabah,” katanya memetik laporan Utusan Malaysia.

    Ronald yang juga Ahli Parlimen Beluran berkata, Bersatu Sabah akan mengadakan mesyuarat cawangan antara 1 Julai hingga 31 Ogos dan diikuti dengan mesyuarat bahagian pada 7 Oktober dan selepas itu barulah perhimpunan agung akan diadakan pada November.

    Semasa pertemuan bersama Bersatu Bahagian Tawau pada Ahad, Ronald berkata, Perikatan Nasional (PN) tidak akan tutup kedai di Sabah dan sekiranya diberi sedikit masa, beliau yakin Bersatu Sabah mampu menyumbang kerusi kepada PN pada pilihan raya akan datang.

    Beliau berkata, penstrukturan semula Bersatu Sabah akan membolehkan kepemimpinan parti di negeri ini bertambah kukuh.

    Katanya, biarpun pelbagai naratif politik diperkatakan tentang PN namun, beliau yakin rakyat Sabah bijak menilai dan meletakkan asas politik yang lebih rasional dengan memilih PN demi pembangunan Sabah.

    Menurut beliau, Hajiji mahu menggunakan platform parti tempatan namun, keputusan itu terletak di tangan rakyat untuk menentukan pemimpin yang mereka mahukan pada pilihan raya umum yang akan datang.

    “Ini bukan pertama kali rakyat Sabah disogok dengan naratif Sabah perlu dipimpin oleh parti tempatan. Kita pernah dipimpin oleh parti tempatan suatu ketika dahulu namun pada akhirnya kita kembali kepada kerajaan Persekutuan.

    “Jadi, terpulang kepada mereka membawa naratif sedemikian, kita serahkan kepada rakyat untuk memilih kerana trend yang boleh dilihat rakyat Sabah dan pengundi di negara ini ingin melihat sebuah gabungan politik yang bersih dan stabil serta mampu mengangkat martabat rakyat Malaysia ke tahap lebih baik,” katanya.

  • Armizan tak sertai Gagasan Rakyat, kekal ahli langsung GRS

    Armizan tak sertai Gagasan Rakyat, kekal ahli langsung GRS

    MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali mengesahkan tidak menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).

    Ahli Parlimen Papar itu sebaliknya kekal sebagai ahli langsung Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

    “Kami (empat Ahli Parlimen) tidak menyertai parti itu (Gagasan Rakyat) kerana undang-undang tidak membenarkan (Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Akta A1663)).

    “Kami akan kekal sebagai ahli langsung GRS sebagaimana sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15),” katanya, lapor Astro Awani.

    Selain Armizan, tiga lagi Ahli Dewan Rakyat yang kekal sebagai ahli langsung GRS ialah Datuk Matbali Musah (Sipitang); Khairul Firdaus Akhbar Khan (Batu Sapi) dan Datuk Jonathan Yassin (Ranau).

    Ditanya mengenai tindakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang membawa keputusan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul ke mahkamah, Armizan menyerahkan kepada institusi kehakiman itu untuk memutuskannya.

    “Itu hak mereka. Walaupun Speaker Dewan Rakyat telah membuat keputusan sebab dalam Perlembagaan Persekutuan itu jelas bahawa hak dan keputusan itu (terletak) kepada Speaker,” katanya.

    Terdahulu Bersatu telah menerima surat daripada Speaker Dewan Rakyat bertarikh 16 Januari 2023 berhubung notis kekosongan kerusi empat Ahli Dewan Rakyat di Sabah yang telah gugur keahlian mereka dalam Bersatu.

    Yang Dipertua Dewan Rakyat memutuskan empat Ahli Dewan Rakyat tersebut tidak perlu mengosongkan kerusi masing-masing menurut Perkara 49A (3) Perlembagaan Persekutuan kerana mereka bukan ahli Bersatu ketika bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Alasan yang diberikan ialah empat Ahli Dewan Rakyat tersebut telah menjadi ahli langsung Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada 27 Oktober 2022.

    Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa Yang Dipertua Dewan Rakyat telah terkhilaf dalam membuat tafsiran Perlembagaan Bersatu dan dengan itu keputusannya juga adalah terkhilaf.

    Justeru beliau akan merujuk keputusan berkenaan di mahkamah.

  • Gagasan Rakyat akan dilancar, parti baharu bawah GRS – Hajiji

    Gagasan Rakyat akan dilancar, parti baharu bawah GRS – Hajiji

    SEBUAH parti politik baharu dikenali Parti Gagasan Rakyat Sabah atau singkatannya Gagasan Rakyat yang diketuai Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor bakal dilancar dalam masa terdekat.

    Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagaimanapun tidak menyatakan maklumat lebih terperinci mengenai parti tempatan berkenaan.

    “Nama parti ini adalah Parti Gagasan Rakyat Sabah atau nama singkatannya Gagasan Rakyat.

    “Kita akan menggunakan parti ini sebagai platform untuk meneruskan perjuangan sebagai sebuah parti tempatan dan bernaung di bawah GRS,” katanya hari ini.

    Beliau ditemui media selepas merasmikan Konvensyen Mahasiswa GRS dan Pelancaran Sayap Pelajar GRS, di Kota Kinabalu.

    Hajiji berkata demikian mengulas terkini mengenai parti baharu yang dinyatakan beliau sebelum ini, sejurus mengumumkan keluar daripada Bersatu pada Disember tahun lalu.

    Diminta mengulas lanjut mengenai Gagasan Rakyat, Hajiji menyatakan parti itu adalah sebuah parti sedia ada namun kini sudah diambil alih oleh pihaknya.

    “Ini adalah parti yang sudah sedia ada dan kita hanya ambil alih sahaja. GRS pula telah menerima keahlian parti ini sejak 9 Disember lalu.

    “Dengan adanya Gagasan Rakyat, parti yang berada di bawah GRS kekal lima parti termasuklah Parti Maju Sabah (SAPP), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO),” katanya, lapor Berita Harian.