Tag: Gabungan Rakyat Sabah

  • Jeffrey sahkan STAR tinggalkan PN

    Jeffrey sahkan STAR tinggalkan PN

    PRESIDEN Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Datuk Seri Jeffrey Kitingan mengesahkan parti pimpinannya telah keluar daripada Perikatan Nasional (PN).

    Beliau yang sebelum ini berkias mengenai perkara itu berkata, STAR dan PN kini sudah tidak lagi sehaluan selepas gabungan yang disertai oleh parti itu, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengisytiharkan sokongan terhadap kerajaan yang dipimpin oleh Pakatan Harapan (PH).

    Menurutnya, pengumuman rasmi mengenai perkara itu akan dibuat dalam masa terdekat.

    “Ya (sah keluar PN). Kita tunggu sajalah ada pengumunan.

    “Sebab kalau saya pergi sini, kau pergi sana bererti kita tidak sehaluanlah tu”, ujar Jeffrey ringkas hari ini lapor Astro Awani.

    Beliau ditemui media Bangunan Yayasan Sabah, Kota Kinabalu selepas menyempurnakan Majlis Konvokesyen Institut Pertanian Sabah (IPS) Timbang Menggaris Ke-50 dan Pusat Latihan Vokasional Pertanian (AVTC) Lahad Datu kali ke-37 dan 38 tahun hari ini.

    Kenyataan tersebut sekali gus menyaksikan STAR tidak lagi terikat dengan PN selepas menyertai gabungan itu selama 26 bulan sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-16 pada September 2020.

    Jeffrey di dalam kenyataan beliau sebelum ini menyifatkan hubungan STAR dengan PN seperti ‘sudah bercerai’ kerana sudah tidak lagi sehaluan selepas parti itu bersepakat dengan parti komponen dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk memberikan sokongan terhadap kerajaan baharu yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 25 November lalu.

    Keputusan keluar daripada PN itu juga menurut Jeffrey telah dibincangkan di dalam Biro Politik STAR dan pengumuman berkaitan itu akan dibuat dalam masa terdekat.

  • Sabah sokong kerajaan perpaduan demi kebaikan , kestabilan

    Sabah sokong kerajaan perpaduan demi kebaikan , kestabilan

    SOKONGAN dan penyertaan parti-parti politik di Sabah dalam kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim diyakini dapat memastikan kestabilan dan kesejahteraan rakyat negeri, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

    Beliau berkata kerajaan negeri yang diterajui Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta Barisan Nasional (BN) mahu memberikan fokus kepada usaha memulihkan ekonomi negeri dan membangunkan Sabah ke arah merealisasikan pelan lima tahun hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

    “Kita (GRS-BN) ada tiga tahun lagi untuk memerintah Sabah. Kita tidak mahu terlampau berpolitik atau ada gangguan, kerana bagi kita adalah kepentingan rakyat dan negeri,” kata Pengerusi GRS itu kepada pemberita ketika ditemui selepas membentangkan Belanjawan Sabah 2023 di Dewan Undangan Negeri Sabah di sini hari ini.

    Sementara itu Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata kerajaan Sabah mahu konsep kerajaan perpaduan dipraktikkan dan dirasai di negeri ini supaya rakyatnya dapat menikmati limpahan ekonomi serta pembangunan sama.

    Pengerusi BN Sabah itu turut mengalu-alukan mana-mana parti di Sabah untuk menyertai kerajaan perpaduan dalam usaha memastikan kemakmuran pentadbiran negara yang dapat memacu kepada pemulihan ekonomi, dan nasib rakyat terbela.

    “Nama pun perpaduan, bermakna semua (parti) pun boleh menyertainya. Jadi, saya mengalu-alukan mana-mana parti menyertai kerajaan perpaduan bagi memastikan perpaduan dalam pemerintahan harus memakmurkan negara dan rakyat. Ini keutamaan kita,” katanya.

    Bagi Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah Datuk Christina Liew, kesediaan GRS menyertai serta menyokong pembentukan kerajaan perpaduan dilihat sebagai langkah terbaik demi pembangunan dan manfaat rakyat Sabah.

    Beliau berkata pihaknya menunggu pertemuan antara pemimpin GRS bersama pemimpin PH Sabah bagi membincangkan pelbagai perkara berkaitan yang boleh dibawa untuk bekerjasama.

    Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Afdal pula yakin kerajaan perpaduan adalah sebuah kerajaan yang stabil dan mampu memulihkan ekonomi negara.

    Anwar dalam sidang media pada hari pertama bertugas secara rasmi di Putrajaya berkata kerajaan perpaduan pimpinannya telah mencapai majoriti dua pertiga melalui penyertaan terkini oleh GRS, setelah dimaklumkan oleh Hajiji.

    Anwar, 75, mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara semalam. – BERNAMA