Tag: FSA2

  • FSA2 KWSP hanya bantu T20 dan M40 yang tiada masalah kewangan, kata PGIRM

    FSA2 KWSP hanya bantu T20 dan M40 yang tiada masalah kewangan, kata PGIRM

    INISIATIF kerajaan menawarkan pinjaman di bawah Fasiliti Sokongan Akaun 2 (FSA2) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) didakwa tidak membantu golongan terkesan keluar daripada beban kewangan ketika ini.

    Menurut Presiden Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM) Azmi Mohd Tahir, kebanyakan individu yang memerlukan pengeluaran KWSP sudah disenarai hitam oleh institusi kewangan di negara ini.

    Malah katanya, ada antara mereka disenaraikan dalam Pusat Sistem Maklumat Rujukan Kredit (CCRIS) dan CTOS.

    “FSA2 itu hanya menyasarkan golongan T20 dan M40 yang tidak terkesan kerana jika mereka terkesan, sudah tentu tidak layak memohon disebabkan nama sudah disenarai hitam.

    “Peminjam yang memohon FSA2 pastinya mempunyai simpanan Akaun 2 mencukupi dan pinjaman dibuat bertujuan menambah modal perniagaan atau sebagainya.

    “Jadi mereka tidak berdepan masalah dan mempunyai kemampuan untuk membayar balik pinjaman,” katanya menurut laporan Harian Metro.

    Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan bahawa peminjam FSA2 yang gagal membayar balik pinjaman mengikut tempoh ditetapkan berdepan risiko disenarai hitam.

    Ahmad dilaporkan berkata, nama peminjam juga berisiko disenaraikan dalam CCRIS dan CTOS dengan pengeluaran caruman KWSP untuk membayar baki pinjaman hanya boleh dibuat apabila usia pencarum mencapai 50 tahun.

    Mengulas lanjut Azmi berkata, inisiatif ditawarkan kerajaan itu hanya membantu peminjam yang nama ‘bersih’ dan tiada isu gagal membayar hutang pinjaman perbankan sebelum ini.

    “Sebab itu PGIRM mendesak kerajaan membenarkan pengeluaran KWSP kecemasan kepada pencarum yang terkesan dengan beban hutang untuk diselesaikan demi kelangsungan hidup mereka,” katanya.

    Sebelum ini KWSP mengumumkan kemudahan FSA2 bagi ahli yang mempunyai baki minimum RM3,000 dalam Akaun 2 masing-masing.

    FSA2 dijalankan dalam dua fasa dan ahli yang memenuhi kriteria kelayakan boleh memohon melalui bank yang mengambil bahagian, iaitu MBSB Bank dan Bank Simpanan Nasional (BSN).

  • NGO serah memorandum tuntut pengeluaran kecemasan KWSP

    NGO serah memorandum tuntut pengeluaran kecemasan KWSP

    BEBERAPA pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini menyerahkan memorandum dan petisyen bagi membantah Fasiliti Sokongan Akaun Dua (FSA2) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

    Dalam memorandum tersebut turut menuntut agar pengeluaran kecemasan KWSP 2.0 secara bersasar diluluskan dengan segera.

    NGO terlibat ialah Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Global Human Rights Federation (GHRF).

    Presiden PGIRM, Azmi Mohd Tahir berkata, keputusan kerajaan menawarkan FSA2 dilihat sama sekali tidak membantu pencarum yang terkesan sebaliknya membebankan dengan penambahan hutang sedia ada.

    “Malah, memberi peluang kepada pencarum yang tidak terkesan dan mempunyai pendapatan stabil untuk mengambil kesempatan menggunakan FSA2 ini.

    “Bersama-sama PGIRM, PPIM dan GHRF hari ini ialah pencarum-pencarum yang datang dari setiap pelosok negara.

    “Walau dalam kesempitan, mereka datang untuk bersolidariti menunjukkan bantahan dan menuntut pengeluaran wang KWSP mereka diluluskan dengan segera,” katanya menurut laporan Sinar Harian.

    Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menyerahkan memorandum di Menara KWSP, Kwasa Damansara pada Jumaat.

    Dianggarkan seramai 50 orang pencarum yang turut berkumpul di pekarangan luar Menara KWSP bagi menyatakan bantahan FSA2 dan menuntut pengeluaran kecemasan KWSP 2.0 secara bersasar diluluskan dengan segera.

    Mengulas lanjut Azmi berkata, kebanyakan pencarum yang terkesan dan terdesak memerlukan suntikan wang tunai itu adalah mereka yang sudah muflis atau disenarai hitam dalam senarai Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS), CTOS serta Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

    “Adakah golongan pencarum ini layak membuat pinjaman kepada pihak bank danmenggunakan FSA2 yang ditawarkan?

    “Telah diperincikan juga, syarat FSA2 ialah mempunyai baki minimum RM 3,000 di dalam Akaun 2.

    “Ini juga salah satu faktor FSA2 tidak membantu golongan terkesan kerana majoriti golongan pencarum terkesan ini sudah tidak mempunyai baki atau baki yang sangat kecil setelah melalui beberapa siri,” menurutnya.

    Sementara itu Azmi menegaskan, pengeluaran KWSP secara bersasar merupakan penyelesaian jangka pendek, panjang dan efektif dalam memberikan suntikan tunai segera kepada golongan pencarum terkesan tanpa perlu menambah lagi bebanan hutang dan komitmen yang baru.

    “Untuk pelan jangka panjang, pihak kerajaan boleh membantu dan memastikan bahawa baki di dalam akaun pencarum yang membuat pengeluaran ini akan bertambah dengan mewujudkan program pemulihan seperti menyediakan peluang pekerjaan tanpa had umur dan tahap kesihatan serta menyelaraskan pendapatan per kapita yang selari dengan sara hidup.

    “PGIRM, PPIM dan GHRE tidak dapat melihat apakah alternatif lain yang boleh ditawarkan kerajaan menjadi langkah penyelesaian segera dan efektif ke atas pelbagai masalah rakyat khasnya pencarum yang semakin meruncing.

    “Belum lagi mengambil kira rakyat yang keciciran dalam menerima bantuan kerana maklumat yang tidak dikemas kini,” tambahnya.

  • FSA2: Gagal bayar pinjaman boleh disenaraihitam – Ahmad Maslan

    FSA2: Gagal bayar pinjaman boleh disenaraihitam – Ahmad Maslan

    PEMINJAM Fasiliti Sokongan Akaun 2 (FSA2) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang gagal membayar balik pinjaman mereka mengikut tempoh ditetapkan berdepan risiko disenaraihitamkan.

    Timbalan menteri kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, nama peminjam juga akan disenaraikan dalam sistem CCRIS dan CTOS, lapor The Edge.

    “Bagaimanapun, dalam tempoh senarai hitam, bank tidak boleh mengambil wang peminjam dalam Akaun 2 KWSP sehingga mereka mencapai umur 50 tahun, kerana kemudahan ini bukannya cagaran,” katanya.

    Sehingga 12 Apr, sejumlah 59,230 ahli KWSP memohon program itu sejak ia dibuka pada 7 Apr, tetapi hanya 27,705 layak.

    FSA2 ialah kemudahan bertujuan membantu ahli KWSP mendapatkan pembiayaan peribadi daripada institusi perbankan. Setakat ini, dua bank mengambil bahagian dalam FSA2, MBSB dan Bank Simpanan Nasional.

    FSA2 melibatkan jumlah pembiayaan maksimum RM50,000 (tertakluk kepada baki Akaun 2 KWSP) serta tempoh pembayaran balik hingga 10 tahun.

    Antara syarat ditetapkan ialah pemohon mesti mempunyai jumlah minimum RM3,000 dalam Akaun 2 KWSP.

    Fasa pertama program itu dibuka untuk ahli yang berumur 40 tahun dan ke atas, manakala dasa kedua kumpulan umur 40 tahun ke bawah akan diumumkan kemudian.

    Ahmad menambah, peminjam perlu membayar ansuran bulanan dengan kadar faedah tahunan 4.5%.