Tag: fokus bantu rakyat

  • PN kekal fokus bantu rakyat, tidak hirau perebutan jawatan KM

    PN kekal fokus bantu rakyat, tidak hirau perebutan jawatan KM

    PERIKATAN Nasional (PN) tidak berminat untuk mencampuri urusan Barisan Nasional (BN) jika berlaku perebutan jawatan Ketua Menteri Melaka.

    Menurut Ketua Penerangan Pemuda PN Melaka, Dr Mohd Aleef Yusof, wakil rakyat PN hanya memberi keutamaan kepada kebajikan rakyat yang kini terkesan dengan kos sara hidup.

    “Kami tidak berminat masuk campur urusan BN, apatah lagi jika berlaku pergolakan dalaman dan berebut jawatan Ketua Menteri Melaka.

    “Fokus kami untuk meneruskan tugas selaku wakil rakyat untuk membantu rakyat khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang,” katanya kepada MalaysiaGazette, semalam.

    Sabtu lalu, media melaporkan Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Rauf Yusoh menafikan wujud perebutan jawatan Ketua Menteri antara beliau dengan Datuk Seri Sulaiman Md Ali yang menyandang jawatan itu, ketika ini.

    Rauf menegaskan, perkara itu sengaja dicetuskan pihak tertentu bertujuan melaga-lagakan hubungannya dengan Sulaiman.

    Pada Jumaat lalu tular rakaman video berdurasi hampir enam minit itu memaparkan Rauf duduk semeja bersama Sulaiman dan Bendahari UMNO Bahagian Masjid Tanah, Datuk Kamarul Zaman Jantan mengeluarkan kenyataan berhubung situasi semasa politik Melaka.

    Video berkenaan disiarkan bertujuan menangkis segala dakwaan kononnya akan berlaku peralihan kuasa jawatan Ketua Menteri daripada Sulaiman kepada Rauf selepas Perhimpunan Agung UMNO pada 14 Januari ini.

    Aleef yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang berkata, apa pun yang berlaku dalam pentadbiran kerajaan negeri, ia tidak akan menjejaskan tugasnya sebagai wakil rakyat.

    “Perkara tersebut tidak menjejaskan fokus saya untuk terus membantu rakyat selaku ADUN Sungai Udang,” katanya.

  • Anwar perlu fokus bantu rakyat, berhenti buat spekulasi tak berasas

    Anwar perlu fokus bantu rakyat, berhenti buat spekulasi tak berasas

    Oleh RIZQI ZABIDI

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak sepatutnya berpolitik secara murahan apabila secara membuta tuli membuat spekulasi murahan apabila cuba mengaitkan Pas dengan wang dari syarikat perjudian.

    Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Awang Hashim berkata, sebagai seorang Menteri Kewangan, Anwar sepatutnya mempunyai akses terus kepada maklumat berhubung perkara itu dan boleh terus mengemukakan bukti berkaitan.

    Namun, Anwar memilih untuk bermain wayang dan tindakan itu disifatkan sebagai sesuatu yang memalukan.

    “Sepatutnya Perdana Menteri memfokuskan kepada pembangunan negara selain mempersiapkan Malaysia bagi menghadapi ketidak tentuan ekonomi yang dijangka bakal berlaku tahun depan.

    “Bila masanya beliau hendak betul-betul membantu rakyat jika banyak masa dihabiskan dengan terkinja-kinja membuat spekulasi tidak berasas?” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

    Tambahnya, Anwar hanya merendah-rendahkan peranan Perdana Menteri dengan bermain spekulasi murahan yang tidak benar.

    “Ke mana dibuang prinsip-prinsip anti kleptokrasi dan anti kluster mahkamaha yang dilaungkan Anwar dan DAP? Sudah dibuang ke tong sampah agaknya.

    “Semua tindakan hanya dilakukan bagi mengaburi mata rakyat demi mencapai cita-cita meskipun tidak mendapat sokongan secukupnya,” katanya.

    Tambahnya, ketika ini Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) mungkin sedang mengecapi saat manis tanpa menyedari rakyat Malaysia cukup meluat dan muak dengan lakonan pimpinan kedua-dua gabungan berkenaan yang tidak tahu melaksanakan kerja ibarat tikus membaiki labu.

    “Janji kepada rakyat tidak ditunaikan sebaliknya negara semakin rosak kerana pemimpin lalang yang tidak berprinsip, kleptokrasi dan gila kuasa,” katanya.