Tag: fitnah

  • Fitnah rogol: Hilman fail saman terhadap Asheeq

    Fitnah rogol: Hilman fail saman terhadap Asheeq

    AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham memfailkan saman fitnah terhadap peguam hak asasi manusia, Asheeq Ali Sethi Alivi di Mahkamah Sesyen di sini kerana mengaitkannya dengan kes rogol.

    Memetik laporan FMT, pemimpin Bersatu itu mendakwa Asheeq membuat kenyataan berbaur fitnah apabila mengaitkannya dengan kes rogol berkenaan dalam sidang media pada 11 Ogos 2021.

    Menurut beliau, kenyataan itu membawa maksud plaintif (Hilman) terbabit dalam dakwaan rogol terhadap seorang wanita.

    “Defendan dengan sengaja dan/atau berniat jahat cuba memfitnah dan/atau mencemarkan, menjatuhkan dan merendahkan imej dan reputasi plaintif…,” kata Hilman dalam pernyataan tuntutannya, dengan menambah kata-kata fitnah itu dilaporkan beberapa portal berita seperti FMT, Malaysiakini, Sinar Harian dan The Malaysian Insight.

    Hilman menambah, pasukan peguamnya dari Hafiz Ruzaini & Co telah menghantar surat tuntutan kepada Asheeq pada 13 Ogos supaya menarik balik kenyataan itu serta membuat permohonan maaf secara terbuka dan aku janji. Bagaimanapun katanya, ia tidak diendahkan Asheeq.

    Beliau menuntut ganti rugi dan perintah supaya Asheeq diarahkan membuat permohonan maaf.

    Hilman Idham Asheeq Ali
    ASHEEQ ALI (Gambar: Carian internet)

    Terdahulu, Asheeq dilaporkan berkata, seorang wanita yang mendakwa dirogol rakan Hilman, sedang mempertimbangkan memfailkan kes sivil terhadap pelakunya.

    Wanita itu turut mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap mereka.

    Seorang lelaki, Mohd Zulfahimin Mahdzir didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 3 Sept lalu atas tuduhan merogol wanita itu pada Disember 2020.

  • Mahkamah Persekutuan tolak rayuan Dr Zakir Naik

    Mahkamah Persekutuan tolak rayuan Dr Zakir Naik

    PERBICARAAN kes saman fitnah yang difailkan oleh penceramah bebas Dr Zakir Naik terhadap bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, S. Raveentharan akan didengar di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.

    Ia susulan keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini yang menolak permohonan Dr Zakir untuk kebenaran merayu selepas membenarkan bantahan awal peguam Raveentharan iaitu Datuk T. Tharumarajah, Kernail Singh dan Asmeeta Rajendran.

    Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Vernon Ong Lam Kiat berkata keputusan Mahkamah Rayuan pada Ogos tahun lepas adalah berdasarkan bantahan awal yang dikemukakan pada pendengaran rayuan itu dan Mahkamah Rayuan tidak meneruskan untuk mendengar merit rayuan itu.

    “Oleh itu, usul kebenaran merayu kepada Mahkamah Persekutuan sekarang terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak rayuan itu adalah berdasarkan bantahan awal yang dibangkitkan oleh responden (Raveentharan) di Mahkamah Rayuan,” katanya.

    Beliau berkata, kebenaran tidak boleh diberikan di bawah Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 kerana permohonan kebenaran merayu mestilah berkaitan dengan perkara di Mahkamah Tinggi dalam bidang kuasa asalnya.’

    Hakim Ong membenarkan bantahan awal itu dan menolak permohonan kebenaran merayu dengan kos RM30,000.

    Pada 23 Julai tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Raveentharan untuk memindahkan kes saman itu ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, menyebabkan Dr Zakir memfailkan rayuan terhadap keputusan itu di Mahkamah Rayuan.

    Bagaimanapun pada 13 Ogos tahun lepas, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Dr Zakir selepas membenarkan bantahan awal yang dikemukakan oleh peguam Raveentharan berhubung ketidakpatuhan terhadap peruntukan mandatori Kaedah 18(6) Kaedah-Kaedah Mahkamah Rayuan 1994 oleh bekas peguam cara (Dr Zakir) berkaitan rekod rayuan.

    Beliau kemudian memfailkan permohonan kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan.

    Pada prosiding mahkamah hari ini yang dijalankan secara maya, Kernail Singh mengemukakan bantahan awal dengan mengatakan permohonan Dr Zakir untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan adalah tidak kompeten.

    Beliau berhujah bahawa Mahkamah Persekutuan tidak mempunyai bidang kuasa untuk memberikan kebenaran kerana persoalan undang-undang yang dibangkitkan tidak timbul daripada penghakiman atau perintah Mahkamah Rayuan berkenaan dengan kausa perkara yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi dalam menjalankan bidang kuasa asalnya.

    Kernail Singh berhujah, Mahkamah Rayuan tidak mendengar rayuan Dr Zakir mengenai merit terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dalam menjalankan bidang kuasa asalnya, sebaliknya Mahkamah Rayuan mendengar bantahan awal.

    Dalam erti kata lain, Mahkamah Rayuan mendengar bantahan awal dalam melaksanakan bidang kuasa asal Mahkamah Rayuan, tambahnya.

    Peguam Dr Zakir, Datuk Sulaiman Abdullah yang hadir bersama Dr Rafie Shafie dan Datuk Akberdin Abdul Kader, berhujah bahawa Mahkamah Persekutuan perlu mendengar permohonan kebenaran merayu itu.

    Beliau berkata, individu yang mengemukakan bantahan awal harus menyatakan dengan lengkap apakah alasannya itu, tetapi dalam kes tersebut, Raveentharan tidak menyatakan apa-apa.

    Pada 12 Dis 2019, Dr Zakir selaku plaintif memfailkan saman terhadap bekas ADUN itu atas dakwaan memuat naik lima kenyataan fitnah di Facebook antara 13 dan 17 Okt tahun sama.

    Plaintif memohon perintah daripada mahkamah supaya Raveentharan mengeluarkan lima kenyataan fitnah itu daripada laman sesawang, media sosial atau mana-mana medium yang berkaitan selain menuntut ganti rugi am, teruk, teladan dan pampasan, serta relif lain yang dirasakan sesuai oleh mahkamah. – BERNAMA

  • Waran tangkap terhadap Clare Rewcastle-Brown

    Waran tangkap terhadap Clare Rewcastle-Brown

    MAHKAMAH Majistret Kuala Terengganu hari ini mengeluarkan waran tangkap terhadap Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown, kerana gagal menghadirkan diri untuk dituduh berkaitan kes fitnah terhadap Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.

    Memetik laporan BH, perintah itu dikeluarkan Majistret Nordiana Abd Aziz selepas pihak pendakwaan memohon satu waran tangkap dikeluarkan terhadap Rewcastle-Brown, 62.

    Rewcastle-Brown berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah melalui buku The Sarawak Report-The Inside Story of the 1MDB Expose.

    Nordiana kemudian menetapkan 23 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Engku Ahmad Rashdi Engku Abdillah, Noor Haslinda Che Seman dan Nadia Zulkefli.

    Terdahulu, Sultanah Nur Zahirah memfailkan saman fitnah terhadap Rewcastle-Brown berhubung fitnah dalam buku ‘The Sarawak Report-The Inside Story of the 1MDB Expose’ dan menuntut ganti rugi am sebanyak RM100 juta.

    Sultanah Nur Zahirah yang memfailkan saman pada 21 November 2018, mendakwa kenyataan berbaur fitnah itu antara lain bermaksud baginda terbabit dalam amalan rasuah dan mencampuri urusan pentadbiran Kerajaan Terengganu, selain menggunakan status baginda untuk mempengaruhi penubuhan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) yang kemudian dikenali sebagai 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Sultanah Nur Zahirah juga mendakwa kenyataan itu membawa maksud baginda membantu ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low menjadi penasihat TIA.

  • Fitnah: Ahli perniagaan tuntut Syed Saddiq minta maaf

    Fitnah: Ahli perniagaan tuntut Syed Saddiq minta maaf

    AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman didakwa memfitnah seorang ahli perniagaan dengan mengaitkannya dengan ‘rangkaian dedak’ yang menawarkan rasuah kepada ahli sebuah parti politik.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, Habibul Rahman Kadir Shah menuntut Syed Saddiq meminta maaf terhadapnya.

    Beliau mendakwa Syed Saddiq membuat kenyataan fitnah terhadapnya itu dalam sidang media pada 2 Oktober 2017.

    Menurut laporan, Syed Saddiq yang ketika itu Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) mendakwa terdapat rangkaian ugutan dan sogokan ‘yang begitu sistematik’ untuk mempengaruhi pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) keluar parti pada 2017.

    Peguam yang mewakili ahli perniagaan itu berkata, kenyataan Syed Saddiq bahawa Habibul Rahman didakwa membuat rancangan untuk menghentikannya daripada pekerjaan sebelum ini sebagai seorang ahli penyelidik, “dirancang untuk merosakkan perwatakan peribadi (Habibul Rahman)”.

    Dalam surat tuntutan peguam Jahaberdeen & Co, Habibul Rahman menuntut permohonan maaf dalam tempoh sembilan hari, ganti rugi dan janji untuk tidak mengulangi kata-kata fitnah yang dituduh itu.