Tag: Filipina

  • 208 PATI Filipina diusir pulang

    208 PATI Filipina diusir pulang

    JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) Sabah melaksanakan program pengusiran pulang seramai 208 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina, semalam.

    Pengarahnya, SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, semua PATI berusia antara 23 bulan hingga 69 tahun itu melibatkan 97 lelaki, 60 wanita dan 51 kanak-kanak yang ditahan di Depot Tahanan Sandakan.

    Beliau berkata, kesemua PATI itu sebelum ini ditahan melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

    “Hukuman yang dikenakan adalah berdasarkan Akta Imigresen dan proses perundangan negara sehingga ke tindakan pengusiran keluar dari negara.

    “Oleh itu semua warga asing diingatkan untuk memastikan mereka memiliki dokumen perjalanan yang sah dan permit kerja (untuk bekerja di Sabah) terlebih dahulu sebelum masuk ke negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sitti Saleha berkata, semua agensi penguatkuasaan di Sabah akan sentiasa mengambil tindakan tegas kepada mereka yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang negara.

    “Operasi pengusiran ini adalah sebahagian daripada operasi berterusan yang dilakukan oleh JIM Sabah.

    “JIM Sabah akan terus komited melakukan operasi penguatkuasaan dan pengusiran PATI etelah mereka melalui semua tindakan penguatkuasaan dan proses perundangan negara,” katanya.

  • [VIDEO] Gempa bumi Filipina: 10 maut, lebih 300,000 penduduk terjejas

    [VIDEO] Gempa bumi Filipina: 10 maut, lebih 300,000 penduduk terjejas

    GEMPA bumi yang melanda Filipina awal minggu ini telah menjejaskan lebih 314,000 penduduk, dan angka kematian mencecah 10 orang, menurut Majlis Pencegahan dan Pengurusan Risiko Bencana Nasional (NDRRMC) pada Ahad.

    Lebih 21,800 rumah rosak manakala 48 bandar dan majlis perbandaran mengalami gangguan bekalan elektrik, lapor Sputnik.

    Gempa berukuran tujuh pada skala Richter itu berlaku di wilayah Abra, Luzon dan Metropolitan Manila di utara Filipina pada 27 Julai, dengan pusat gempa terletak pada kedalaman 17 kilometer.

    Sebanyak 798 gegaran susulan turut dilaporkan berlaku. – BERNAMA

  • [VIDEO] Tembakan di kampus, 3 mangsa maut, 2 cedera

    [VIDEO] Tembakan di kampus, 3 mangsa maut, 2 cedera

    INSIDEN tembakan di sebuah kampus universiti di Metro Manila pada Ahad, mengorbankan tiga individu, manakala dua lagi cedera, menurut polis Filipina.

    Pihak Berkuasa Pembangunan Metro Manila mengesahkan kejadian berlaku pada 14.55 tengah hari waktu tempatan di pintu masuk Universiti Ateneo de Manila di Quezon City, lapor Agensi Berita Xinhua.

    “Seorang pengawal keselamatan turut terbunuh,” kata Pengarah daerah Polis Quezon City, Remus Medina.

    Dalam kejadian itu, suspek cuba melarikan diri menggunakan kereta tetapi berjaya ditahan pihak polis.

    Ejen Biro Penyiasatan Kebangsaan juga telah dikerah ke lokasi kejadian “untuk menyiasat dan menghulurkan bantuan kepada mangsa dan pihak universiti.”

    Kampus “ditutup buat masa ini,” menurut universiti itu.

    Ketua Hakim Negara Mahkamah Tinggi, Alexander Gesmundo dijadual menghadiri majlis graduasi lulusan undang-undang pada petang Ahad.

    Jurucakap Mahkamah Agung, Brian Hosaka berkata, Gesmundo “yang dalam perjalanan ke lokasi itu dinasihatkan untuk berpatah balik”. – BERNAMA

  • [VIDEO] Feri penumpang terbakar, tujuh mangsa maut

    [VIDEO] Feri penumpang terbakar, tujuh mangsa maut

    SEBUAH feri membawa 124 penumpang dan 10 anak kapal terbakar pada Isnin ketika dalam perjalanan menuju ke wilayah Quezon di Pulau Luzon, menyebabkan sekurang-kurangnya tujuh orang maut, lapor Agensi Berita Xinhua memetik jurucakap Pengawal Pantai Filipina (PCG).

    Komodor Armand Balilo berkata, kapal Mercraft 2 itu berlepas pada 5 pagi waktu tempatan dari bandar Polillo, di wilayah itu, menuju ke pelabuhan Real sebelum terbakar kira-kira 900 meter dari pelabuhan.

    Kebakaran memaksa penumpang dan anak kapal terjun ke laut, 105 orang berjaya diselamatkan dan enam penumpang dihantar ke hospital.

    Punca kebakaran masih dalam siasatan. – BERNAMA

  • [VIDEO] Jambatan runtuh: 4 termasuk seorang pelancong asing maut

    [VIDEO] Jambatan runtuh: 4 termasuk seorang pelancong asing maut

    SEORANG pelancong Austria dan tiga rakyat tempatan maut selepas jambatan berusia beberapa dekad runtuh di wilayah Bohol tengah Filipina pada petang Rabu, lapor Xinhua.

    Polis berkata, lelaki Austria berusia 30 tahun itu antara penumpang dalam 12 kenderaan yang terjunam ke dalam sungai sekitar 4 petang waktu tempatan (0800 GMT).

    Lebih 20 mangsa yang lain terselamat termasuk isteri pelancong Austria itu, rakyat tempatan.

    Jambatan itu, dibina pada 1970-an dan terletak di bandar Loay, pernah rosak akibat gempa bumi pada 2013 dan telah dibaiki, kata pegawai tempatan.

    Gabenor Bohol Arthur Yap dalam hantaran di media sosial mendakwa jambatan itu runtuh akibat lebihan muatan. – BERNAMA

  • Taufan Megi: Seorang maut, seorang lagi hilang

    Taufan Megi: Seorang maut, seorang lagi hilang

    BANJIR dan tanah runtuh yang dicetuskan ribut tropika Megi di Filipina setakat ini meragut satu nyawa manakala seorang lagi masih hilang.

    Megi melanda wilayah tengah Filipina pada pagi Ahad, turut menjejaskan lebih 136,000 penduduk, lapor Xinhua.

    Lebih 13,000 orang telah dipindahkan ke pusat pemindahan, dan sebahagian yang lain tinggal bersama saudara-mara, menurut Agensi Pengurusan Risiko dan Bencana Kebangsaan.

    Terletak di Lingkaran Api Pasifik, Filipina merupakan antara negara paling kerap ditimpa bencana, termasuk gunung berapi aktif, gempa bumi dan sekitar 20 taufan membadai negara itu setiap tahun, menyebabkan kejadian banjir dan tanah runtuh.

    Sementara itu, di KUALA LUMPUR, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama di kawasan perairan timur Condore, Reef North, Layang-Layang, Labuan, Palawan dan Sulu.

    Menurut kenyataan MetMalaysia yang dikeluarkan pada 10 pagi ini, keadaan tersebut boleh menyebabkan angin kencang di kawasan perairan Sabah.

    Ribut tropika Megi itu berada di kedudukan kira-kira 144 km ke barat laut Surigao City, Filipina dan 950 km ke timur laut Sandakan, Sabah dengan kelajuan angin maksimum 65 km/j.

    Orang awam dinasihatkan agar lebih peka dan mengikuti perkembangan semasa mengenai situasi tersebut dan boleh mendapatkan maklumat yang dikemas kini setiap tiga jam di laman web dan aplikasi myCuaca ataupun talian hotline MetMalaysia. – BERNAMA

  • Lima maut, enam cedera dalam dua kebakaran

    Lima maut, enam cedera dalam dua kebakaran

    LIMA maut dan enam lagi cedera dalam dua kejadian kebakaran berasingan di Metro Manila pagi Ahad, menurut anggota bomba Filipina.

    Biro Perlindungan Kebakaran berkata, empat maut dan lima lagi cedera dalam kebakaran yang tercetus pada 9.48 pagi waktu tempatan di daerah padat di Bandar Manila, lapor Xinhua.

    Anggota bomba berjaya memadam kebakaran 45 minit kemudian.

    Sementara itu, kebakaran di pasar basah Bandaraya Makati sekitar 4 pagi turut mengorbankan seorang wanita berusia 76 tahun.

    Anggota bomba berjaya menyelamatkan seorang gadis yang pengsan di lokasi kejadian.

    Punca kebakaran masih disiasat. – BERNAMA

  • Filipina tak iktiraf sijil vaksinasi MySejahtera, 15 penumpang dari Malaysia terkandas

    Filipina tak iktiraf sijil vaksinasi MySejahtera, 15 penumpang dari Malaysia terkandas

    SERAMAI 15 individu dari Malaysia terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino, Manila sejak semalam apabila imigresen Filipina enggan mengiktiraf sijil vaksinasi yang dikeluarkan melalui aplikasi MySejahtera.

    Memetik laporan The Star, kesemua mereka tidak dibenarkan memasuki negara itu, pasport dirampas dan berkemungkinan besar akan dihantar pulang ke Malaysia esok.

    Mereka berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) melalui penerbangan pukul 8.30 pagi semalam.

    Seorang penumpang yang meminta identitinya dirahsiakan berkata, tindakan itu diambil oleh pihak berkuasa imigresen Filipina kerana mereka tidak menerima sijil MySejahtera sebagai bukti vaksinasi yang sah.

    “Penumpang-penumpang dalam penerbangan yang sama tetapi divaksinasi di Singapura atau United Kingdom dibenarkan memasuki negara itu tetapi mereka yang divaksinasi di Malaysia tidak dibenarkan masuk.

    “Pasport kami telah dirampas dan kami diberitahu akan dihantar pulang.

    “Memandangkan tiada hotel yang kosong, kami terpaksa tidur di atas bangku atau lantai,” kata penumpang berkenaan.

    Dia menambah, imigresen Filipina memaklumkan bahawa mereka perlu divaksinasi di negara lain seperti Singapura atau memiliki Sijil Vaksinasi Antarabangsa Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

    Seramai 13 penumpang terbabit merupakan rakyat Malaysia manakala dua lagi dari negara lain.

    Mereka ke Filipina atas tujuan perniagaan, urusan peribadi dan bantuan kemanusiaan.

    Penumpang terbabit memberitahu, Duta Besar Malaysia ke Filipina datang sendiri untuk bertemu dengan mereka.

    Mereka juga amat menghargai usaha beliau sedaya-upaya membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi.

    “Kami dimaklumkan bahawa Kedutaan Besar Malaysia di Filipina telah mengemukakan rayuan untuk pengiktirafan vaksinasi secara timbal balik Khamis lalu (10 Februari) tetapi masih tiada maklum daripada Kementerian Hal Ehwal Luar Negara Filipina.

    “Mereka berusaha sedaya upaya berunding dengan pihak imigresen bersama dengan pasukan Malaysia Airlines tetapi tidak berjaya dan kini, semua rakyat Malaysia terkandas,” jelasnya.

    Imigresen Filipina juga bertegas bahawa Kedutaan Besar Malaysia mesti menunggu sehingga pagi hari ini untuk berurusan dengan Kementerian Luar Filipina untuk mendapatkan kelulusan.

    “Kami rasa kecewa kerana tidak dibenarkan masuk ke negara ini. Kami bimbang akan dihantar pulang. Jika itu berlaku, ia akan menjadi sangat mengecewakan kerana kami datang dari jauh.

    “Kami berharap kerajaan Malaysia dapat membantu kami memasuki Filipina,” katanya.

    Filipina mula membuka sempadannya kepada pengembara yang telah menerima vaksinasi penuh sejak 10 Februari lalu.

  • Kad pengenalan palsu:Tujuh pekerja asing didenda

    Kad pengenalan palsu:Tujuh pekerja asing didenda

    TUJUH warga asing yang bekerja di sebuah kilang tekstil dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini atas kesalahan menggunakan kad pengenalan palsu dan kad pengenalan milik orang lain.

    Lelaki warga negara Filipina Ridhwan Likung, 26, tiga wanita warga negara Filipina; Nurmina Kipli, 45, Nona Najuk, 45, Masriyah Ismail, 40, dan tiga wanita warga negara Indonesia; Sundari Mahmudi, 29, Salina Husin, 48, dan Mulyani, 47, mengaku bersalah di hadapan Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali.

    Mereka dikenakan denda antara RM3,000 hingga RM6,000 atau enam bulan penjara jika gagal membayar denda berkenaan.

    Kesemua tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut pada 14 Sept 2021, jam 2 petang di sebuah kilang tekstil Seksyen 26 Taman Perindustrian Hicom di sini.

    Mereka, tanpa kuasa yang sah telah menggunakan kad pengenalan palsu serta salinan pelbagai individu sebagai dokumen pengenalan diri untuk bekerja.

    Kesemua tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Peraturan 25(1) (e), Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang memperuntukan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua duanya sekali.

    Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Pendaftaran Negara Zulkarnain Ahmad manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.- BERNAMA

  • Filipina lanjutkan sekatan perjalanan terhadap India, sembilan negara lain

    Filipina lanjutkan sekatan perjalanan terhadap India, sembilan negara lain

    FILIPINA melanjutkan sekatan perjalanan terhadap semua pelancong dari India dan sembilan negara lain hingga 31 Ogos berikutan kebimbangan jangkitan kes varian Delta, kata jurucakap presiden Harry Roque pada Jumaat.

    Varian Delta telah menular di negara itu dengan 627 kes dilaporkan, termasuk 11 kematian.

    Selain India, Filipina turut menyekat kemasukan pelancong dari Malaysia, Thailand, Indonesia, Pakistan, Nepal, Bangladesh, Sri Lanka, Oman, dan Emiriah Arab Bersatu, menurut Xinhua.

    Bagaimanapun, rakyatnya di luar negara yang mengikuti program penghantaran balik dibenarkan pulang, tetapi harus menjalani kuarantin 14 hari selepas ketibaan.

    Kes jangkitan COVID-19 membabitkan varian Delta semakin meningkat, mendorong kerajaan melaksanakan kembali penutupan dan sekatan lebih ketat di Manila dan wilayah lain.

    Filipina kini merekodkan 1.7 juta kes jangkitan termasuk 29,539 kematian.- BERNAMA