Tag: filem

  • Kerajaan Terengganu sedia bincang dengan penerbit filem Pulau

    Kerajaan Terengganu sedia bincang dengan penerbit filem Pulau

    KERAJAAN Terengganu sedia bertemu dengan penerbit filem Pulau, Fred Chong bagi membincangkan mengenai isu pengharaman naskah kontroversi tersebut di pawagam di negeri ini.

    Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata pihaknya akan memberikan ruang kepada pihak berkaitan mengemukakan hujah atau justifikasi berkenaan filem itu bagi membolehkan pertimbangan atau kajian berkaitan pengharamannya dibuat semula.

    Bagaimanapun, beliau berkata setakat ini kerajaan negeri masih berpendirian untuk mengekalkan pengharaman filem tersebut berdasarkan treler yang bertentangan dengan agama dan norma budaya masyarakat timur.

    “Hujah beliau bahawa treler itu tak sepenuhnya sebagaimana dalam filem adalah di luar pengetahuan kita. 

    “Jadi kita tunggu apa bentuk rayuan atau justifikasi yang beliau akan berikan. Kita akan beri ruang untuk menilai hujah-hujah yang dikemukakan,” katanya kepada pemberita selepas menutup Karnival Orang Kurang Upaya (OKU) Negeri Terengganu 2023 di Dataran Batu Buruk di sini hari ini.

    Menurut Ahmad Samsuri beliau juga menolak pendapat sesetengah pihak bahawa Terengganu mengamalkan padangan sempit dengan mengharamkan filem berkenaan. 

    Katanya sudah menjadi tanggungjawab sesebuah kerajaan untuk menjaga moral rakyat dalam usaha mendapatkan keberkatan dan memelihara keharmonian negeri.

    “Kita nak kekalkan Terengganu supaya berada dalam keadaan yang maju, berkat dan sejahtera. Berkat inilah yang hendak kita jaga supaya rakyat terpelihara dari aspek moral dan akhlak,” katanya. – BERNAMA

  • ‘Don’t Look at the Demon’, filem Malaysia pertama masuk pasaran Amerika Utara

    ‘Don’t Look at the Demon’, filem Malaysia pertama masuk pasaran Amerika Utara

    FILEM seram ‘Don’t Look at the Demon’, sebagai filem Malaysia pertama memasuki pasaran Amerika Utara  sekali gus membuka jalan untuk kejayaan dalam produksi tempatan masa depan, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin.

    Menaraf filem itu sembilan daripada 10, katanya, filem tersebut, yang diterajui oleh pengarah dan penerbit filem tempatan, Brando Lee, memberi peluang kepada penonton antarabangsa untuk mempelajari dan memahami budaya, tradisi dan tarikan pelancong di Malaysia.

    “Sekarang kami telah memasuki pasaran Amerika Utara, kami boleh berusaha untuk mencapai tahap baharu dengan menyasarkan memburu anugerah seperti Oscar, Emmy, dan banyak lagi dalam masa terdekat,” katanya selepas tayangan perdana filem itu di Pawagam DADI, Pavilion Kuala Lumpur, di sini, malam ini.

    Selain Lee, tayangan perdana tersebut turut dihadiri pelakon, Malin Crépin, kelahiran Sweden. yang membawakan watak ‘Martha’ dan pelakon tempatan Hafidzuddin Fazil memegang watak sebagai pelayan bar.

    ‘Don’t Look at the Demon’, dengan bajet pembikinan hampir RM9 juta akan mula ditayangkan di pawagam di seluruh negara pada 6 Okt ini dan sehari kemudian di lebih 250 pawagam di Amerika Utara.

    Berdasarkan kisah sebenar, filem tersebut mengisahkan sekumpulan penyiasat paranormal Amerika Syarikat yang telah mengembara ke Bukit Fraser di Pahang untuk menyiasat kejadian ghaib di sebuah rumah yang dibina pada tahun 1970-an. – BERNAMA