Tag: Farid Kamil

  • Syamsul Yusof tetap saman Farid Kamil

    Syamsul Yusof tetap saman Farid Kamil

    PENGARAH, Syamsul Yusof, 39, tetap meneruskan hasrat mengambil tindakan undang-undang terhadap Farid Kamil bagi membersihkan namanya.

    Katanya, rancangan saman itu tetap berjalan sebagaimana pernah dimaklumkannya sebelum ini.

    “Saya pun harap Allah lembutkan hati saya untuk tarik balik saman, mungkinlah. Saya pun tak tahu.

    “Sekarang saman tetap diteruskan. Ini bukan soal siapa menang atau kalah, ia hanyalah perkara yang patut dijadikan pengajaran.

    “Ini kerana apabila berdiam diri buat kerja, tiba-tiba ada orang mengganggu atau memberikan kata-kata buruk, jadi kita perlu bertindak.

    “Saya seorang yang tenang dan tak suka ada isu dengan rakan artis kerana satu bidang. Saya tanya apakah anda akan mengambil tindakan saman kalau ada orang mengutuk dalam media sosial, jadi saya ambil tindakan undang-undang,” katanya menurut laporan BH Online.

    Terdahulu, pada 21 Mac lalu, Syamsul membuat pendedahan serius mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap bintang filem Anwar: The Untold Story itu berikutan kenyataan yang pernah dimuat naik dalam laman Instagram (IG), baru-baru ini.

    Menerusi kenyataan dalam IG, Farid mendakwa seorang lelaki pernah memukul wanita bernama Diana, namun tiada sebarang tindakan diambil. Diana dalam kenyataan itu dipercayai merujuk kepada isteri Farid iaitu Diana Danielle.

    Sementara itu, Syamsul enggan mengulas lanjut apabila ditanya mengenai kenyataan pelakon, Aaron Aziz yang meminta Syamsul memohon maaf kepada orang tuanya, Datuk Yusof Haslam dan Datin Patimah Ismail.

    “Bila keluarkan kenyataan, perkara ini tidak akan habis. Jadi, apa yang saya mampu cakap mengenai isu Aaron sudah saya komen sebelum ini,” katanya.

    Mengulas adakah boleh bersemuka dengan Aaron, Syamsul berkata, dia tidak mempunyai masalah untuk berbuat demikian.

    “Boleh, tiada masalah,” katanya.

    Semalam, Aaron ditemui media ditanya jalan terbaik agar kemelut antaranya dan Syamsul ditamatkan berkata, perkara itu hanya akan terjadi selepas Syamsul memohon maaf kepada orang tuanya.

    “Tak ada sebarang konfrontasi. Saya cakap kepada umum suruh dia minta maaf kepada orang tuanya (Datuk Yusof dan Datin Patimah),” kata Aaron.

    Ia susulan kontroversi apabila Aaron memuat naik hantaran video dalam IG mendakwa Syamsul enggan berjumpa berhubung isu digugurkan membintangi filem The Original Gangster (TOG).

  • Farid dakwa ada orang ketiga, Diana nafi curang

    Farid dakwa ada orang ketiga, Diana nafi curang

    PELAKON, Farid Kamil, 42, mendedahkan keretakan rumah tangga bersama isterinya, Diana Danielle, 32, berpunca daripada kehadiran orang ketiga.

    Ketika ditemui media di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, di Shah Alam, Farid berkata, dia mula menghidu mengenai kecurangan yang berlaku sejak tahun lalu.

    “Alhamdulillah saya bersyukur kerana Allah sudah memberi petunjuk dan hidayah. Saya juga sudah cuba sedaya upaya memujuk Diana atas kesalahan yang tak munasabah tapi hari ini saya dapati ada pihak ketiga yang menyokong dia dari belakang.

    “Saya kalau boleh nak tegakkan undang-undang Islam dan hak sebagai seorang suami, yang mana rumah tangga diganggu. Saya rasa sangat tidak adil sebagai seorang suami. Dan bila kita menuntut jawapan daripada dia mengenai perkara itu, perpisahan yang diminta.

    “Saya sayangkan keluarga saya, saya tidak pernah lagi diuji sebegini. Saya baru mengesahkan mengenai hal ini hari ini tapi saya sudah maklum dari tahun lalu. Ia bukan masalah berlarutan cuma masalah ‘terkantoi’ baru-baru ini,” katanya menurut laporan Harian Metro.

    Farid dan Diana hadir ke mahkamah bagi memaklumkan kepada mahkamah mengenai pelantikan wakil dalam Jawatankuasa Pendamai (JKP) bagi menyelesaikan konflik rumah tangga mereka, selepas Farid enggan melafazkan cerai terhadap Diana.

    Farid tiba di mahkamah kira-kira pukul 9 pagi membawa jambangan bunga mawar untuk Diana. Malah Farid turut membawa sebentuk cincin sebagai hadiah ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-11.

    Diana pula hadir lebih awal pada 8.55 pagi memakai baju hitam bersama pengawal peribadi.

    Mengulas lanjut, Farid berkata, dia sudah 23 hari tidak bertemu kedua anaknya, Muhammad dan Nur Aurora dan akan cuba sedaya upaya menyelamatkan perkahwinan mereka demi anak-anak.

    “Saya harus menyelamatkan isteri dari terus diperlakukan sebegitu. Saya sayangkan anak-anak kerana tanpa isteri saya, saya tak dapat jumpa anak-anak saya.

    “Saya tidak dibenarkan jumpa anak selama 23 hari dan telefon pun tidak dibenarkan. Jadi, hari ini saya cuba menyelamatkan keluarga saya walaupun saya tahu itu kesalahan orang luar,” katanya.

    Ditanya adakah dia akan memfailkan nusyuz terhadap Diana, Farid menegaskan dia menyerahkan perkara itu kepada pihak mahkamah.

    Sementara itu, Diana menafikan dakwaan suaminya, yang menuduhnya berlaku curang sehingga nekad untuk memfailkan perceraian.

    Menurutnya, segala tuduhan yang dibuat Farid adalah fitnah semata-mata dan segala masalah yang berlaku berpunca daripada kesalahan suaminya.

    “Itu semua fitnah. Masalah yang timbul adalah kesalahan dia 100 peratus. Kalau betul saya ada orang ketiga, kenapa dia nak belikan cincin kahwin saya? Kalau ‘kantoi’ kenapa nak bawa bunga?

    “Bayangkan cincin yang dia nak bagi tadi sudah dia hilangkan selama lapan tahun, tapi baru hari ini dia nak beri semula cincin perkahwinan kami selepas lapan tahun,” katanya.

    Kata Diana, kehadiran Farid membawa sebentuk cincin dan sejambak bunga bukan untuk menyelamatkan perkahwinan sebaliknya mahu menjaga maruahnya.

    “Ya saya masih dengan keputusan untuk bercerai. Dia bukan cuba nak menyelamatkan rumah tangga (pemberian bunga dan cincin), tapi nak menyelamatkan air muka dia saja,” katanya.

  • Dadah: Farid Kamil didenda RM5,000, hukuman penjara diketepikan

    Dadah: Farid Kamil didenda RM5,000, hukuman penjara diketepikan

    PELAKON dan pengarah Farid Kamil Zahari terlepas hukuman penjara selepas Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini mengenakan hukuman denda RM5,000 kerana menggunakan dadah, empat tahun lepas.

    Panel tiga hakim diketuai Datuk Seri Kamaludin Md Said membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan akhir Farid Kamil, 41, selaku perayu bagi mengetepikan hukuman penjara sembilan bulan yang dijatuhkan oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 2019.

    Bagaimanapun, Hakim Kamaludin mengekalkan dua tahun pengawasan di bawah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) terhadap pelakon itu dan memerintahkannya dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda.

    Pelakon filem Remp-It 2 itu membayar denda berkenaan.

    Kamaludin dalam keputusan sebulat suara berkata mahkamah bersetuju dengan peguam perayu bahawa Mahkamah Majistret tidak konsisten dalam membuat pertimbangan ketika menjatuhkan hukuman terhadap Farid Kamil.

    Hakim itu berkata tiada satu penjelasan konkrit yang boleh menyatakan bahawa hukuman tersebut setimpal dengan kesalahan dilakukan pada masa itu dan tiada aspek pemberatan contohnya tiada kesalahan lampau atau sebagainya. 

    “Ini kerana kes-kes mahkamah menunjukkan sama ada untuk menjatuhkan hukuman penjara dan denda, mahkamah bergantung kepada fakta kes itu. Dalam kes ini, kami dapati faktanya adalah jelas dan tidak menjurus kepada kesalahan terlalu serius atau berat.

    “Oleh itu, mahkamah bersetuju dengan hujah peguam perayu dan memutuskan bahawa hukuman penjara sembilan bulan yang dijatuhkan Mahkamah Majistret dan disahkan oleh Mahkamah Tinggi, diketepikan serta diganti dengan hukuman denda RM5,000. Dua tahun pengawasan di bawah AADK dikekalkan,” kata hakim itu.

    Turut bersidang Hakim Datuk Wira Ahmad Nasfy Yasin dan Datuk See Mee Chun.

    Pada 15 Mei 2019, Mahkamah Majistret Petaling Jaya menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati Farid Kamil bersalah kerana menggunakan dadah dikenali sebagai THC, iaitu ‘11-nor-delta-9-tetrahydrocannabinol-9-carboxylic acid’.

    Dia dituduh melakukan kesalahan di Pejabat Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya pukul 4.30 petang, 11 Jan 2018.

    Hukuman berkenaan dikekalkan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada November 2019.

    Turut hadir di mahkamah isterinya, pelakon Diana Danielle dan adik Farid Kamil iaitu Fadzil.

    Farid Kamil ketika ditemui pemberita selepas membayar denda menzahirkan rasa syukur dengan keputusan hari ini yang disifatkan terbaik untuk dirinya.

    “Saya gembira kerana kes ini telah selesai di peringkat rayuan dan kini saya boleh fokus terhadap penggambaran filem seterusnya berjudul Anwar, yang kini berada di peringkat akhir serta bakal ditayangkan pada Februari 2023,” katanya yang turut berterima kasih kepada barisan peguam mewakilinya.

    Farid Kamil diwakili peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik, Kee Wei Lon dan Low Wei Loke manakala pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Eyu Ghim Siang. – BERNAMA

  • Farid Kamil gagal dapat kebenaran rayu sabitan kekerasan jenayah

    Farid Kamil gagal dapat kebenaran rayu sabitan kekerasan jenayah

    PELAKON dan pengarah Farid Kamil Zahari hari ini gagal mendapatkan kebenaran merayu terhadap sabitan dan hukuman denda RM5,500, atas kesalahan menggunakan kekerasan jenayah serta mengeluarkan perkataan tidak sopan terhadap seorang anggota polis, dengan niat untuk menghalangnya melakukan tugas, empat tahun lepas.

    Panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Hanipah Farikullah sebulat suara menolak permohonan Farid Kamil, 40, selaku pemohon, bagi mendapatkan kebenaran merayu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 23 Ogos 2021.

    “Mahkamah mendapati persoalan undang-undang yang dikemukakan oleh pemohon adalah tidak relevan. Oleh itu, permohonan pemohon tidak mempunyai merit dan ditolak oleh mahkamah,” kata Hakim Hanipah yang bersidang bersama-sama Datuk Wira Ahmad Nasfy Yasin dan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali.

    Pada 2 Jun 2020, Mahkamah Majistret Petaling Jaya menjatuhkan hukuman penjara 13 bulan ke atas Farid Kamil, yang didapati bersalah menggunakan kekerasan jenayah terhadap Konstabel Muhammad Nizam Jamaluddin di Pejabat Pertanyaan Balai Polis Trafik Kota Damansara di sini pada 1.20 tengah hari, 11 Jan 2018, mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan.

    Aktor itu juga dipenjara empat bulan kerana mengeluarkan perkataan tidak sopan terhadap mangsa yang sama pada masa dan tempat sama, mengikut Sesyen 90 Akta Polis 1967. Namun, mahkamah memerintahkan kedua-dua hukuman itu berjalan serentak, iaitu Farid Kamil hanya perlu menjalani hukuman penjara 13 bulan.

    Bagaimanapun, berikutan rayuan pelakon itu, Mahkamah Tinggi Shah Alam telah menggantikan hukuman penjara 13 bulan bagi kesalahan menggunakan kekerasan jenayah kepada denda RM5,000, manakala hukuman penjara empat bulan kerana mengeluarkan perkataan tidak sopan digantikan dengan denda RM500.

    Pesuruhjaya Kehakiman Nurulhuda Nur’aini Mohamad Nor membuat keputusan itu, selepas mengambil kira bahawa Farid Kamil telah membayar kompaun kepada pihak-pihak yang terlibat dalam kejadian itu termasuk anggota polis berkenaan.

    Sementara itu, panel tiga hakim berkenaan turut menolak permohonan pendakwa raya untuk mendapatkan lanjutan masa bagi memfailkan petisyen rayuan terhadap hukuman bagi pertuduhan di bawah Sesyen 90 Akta Polis 1967, selepas mendapati pihak pendakwa raya tidak menyatakan alasan mencukupi bagi menyokong permohonannya.

    Ini bermakna, pihak pendakwaan hanya akan meneruskan rayuan silang terhadap denda RM5,000 yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam terhadap Farid Kamil, atas kesalahan menggunakan kekerasan jenayah.

    Tarikh pendengaran rayuan masih belum ditetapkan oleh mahkamah.

    Dalam prosiding hari ini, pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Nahra Dollah dan Zaki Asyraf Zubir manakala peguam Kee Wei Lon dan Low Wei Loke bertindak bagi pihak Farid Kamil. – BERNAMA