Tag: Farhash Wafa Salvador

  • Syarikat diketuai orang kuat Anwar disiasat SC

    Syarikat diketuai orang kuat Anwar disiasat SC

    SURUHANJAYA Sekuriti (SC) mengesahkan sebuah syarikat yang baru-baru ini melantik orang kuat kepada Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim terlibat dalam siasatan agensi itu kerana melanggar peraturan pasaran modal.

    Lapor MalaysiaNow, pengawal selia pasaran modal itu bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai kes tersebut kerana perkara berkenaan berada dalam mahkamah.

    Farhash Wafa Salvador yang juga bekas pengerusi PKR Perak, dilantik sebagai pengerusi kumpulan Apex Equity Holdings Bhd, sebuah syarikat yang terlibat dalam pegangan pelaburan, pembrokeran saham, pembangunan hartanah dan pinjaman wang, tidak lama selepas SC melancarkan siasatan terhadap syarikat itu.

    Individu berusia 40 tahun itu, yang pernah berkhidmat sebagai setiausaha politik Anwar dan terkenal sebagai penyokong setia kepada perdana menteri itu, turut dinamakan pengerusi syarikat rangkaian runcit 7-Eleven.

    Langkah itu mencetuskan perdebatan mengenai hubungan antara dunia korporat dan ahli politik yang mempunyai peranan di peringkat tertinggi.

    Apex Holdings menjadi tumpuan siasatan SC, pengawal selia pasaran Malaysia di bawah kementerian kewangan, kerana didakwa melanggar Akta Pasaran Modal dan Akta Perkhidmatan serta Akta Syarikat.

    Sementara itu, pemegang saham kedua terbesar dalam Apex Equity, ACE Group dilaporkan turut diheret ke mahkamah oleh SC untuk menghalangnya daripada mengawal firma broker saham itu.

    SC mendakwa Apex Securities melanggar undang-undang sekuriti, sambil menambah ACE Group bukanlah “syarikat yang layak dan sesuai” untuk menjadi pengawal syarikat itu.

    Bulan lalu, memetik fail mahkamah bertarikh 1 Disember 2022, The Edge memetik Apex Equity sebagai berkata SC memohon pengisytiharan mahkamah bahawa anak syarikatnya Apex Securities Sdn Bhd melanggar undang-undang sekuriti, dan ACE Holdings Bhd, yang merupakan sebahagian daripada ACE Group, secara sedar terlibat dalam pelanggaran itu.

    “SC mendakwa Apex Securities melanggar undang-undang sekuriti ‘kerana ACE menjadi pengawal kepada Apex Securities, apabila ACE bukan syarikat yang layak dan sesuai’untuk berbuat demikian,” tambah laporan itu.

    ACE Group diketuai Calvin Choong Chee Meng yang dilantik sebagai pengarah urusan Apex Equity awal tahun ini.

    ACE Group juga terlibat dalam pelanggaran akta SC sebelum ini, yang membawa kepada larangan ke atasnya daripada aktiviti pengumpulan dana.

    Dokumen mahkamah yang difailkan pada Oktober tahun lepas menunjukkan ACE Group dan Apex Securities berusaha untuk menghalang SC daripada mengenakan syarat tambahan berkenaan dengan Pasaran Modal dan Lesen Perkhidmatan (CMSL) Apex.

    Pada 2019, Apex Equity dan anak syarikatnya Apex Securities Sdn Bhd memfailkan tindakan undang-undang terhadap 18 defendan termasuk pemegang sahamnya Lim Siew Kim, anak perempuan pengasas Kumpulan Genting mendiang Lim Goh Tong.

    Syarikat itu menuduh mereka cuba mendapatkan kawalan ke atas syarikat dengan melanggar peraturan pasaran modal.

  • Pelantikan Farhash burukkan lagi pertalian perniagaan-politik di Malaysia

    Pelantikan Farhash burukkan lagi pertalian perniagaan-politik di Malaysia

    PELANTIKAN Farhash Wafa Salvador sebagai Pengerusi 7-Eleven Malaysia Holdings Bhd adalah bertentangan dengan tata kelola yang baik dan memburukkan lagi pertalian perniagaan-politik di Malaysia.

    Berikut kenyataan penuh Ahli Parlimen Ketereh, Mejar Jeneral (B) Datuk Khlir Mohd Nor berhubung pelantikan bekas setiausaha politik Datuk Seri Anwar Ibrahim itu yang berkuat kuasa, semalam.

    Oleh MEJAR JENERAL (B) DATUK KHLIR MOHD NOR

    KAMI merujuk kepada perlantikan Farhash Wafa Salvador, bekas setiausa politik Perdana Menteri Anwar Ibrahim, sebagai pengerusi rantaian 7-Eleven kepunyaan Vincent Tan serta perlantikannya minggu lepas juga sebagai Pengerusi Eksekutif Kumpulan Apex Equity.

    Kesemua ini berlaku dalam masa sebulan lebih sahaja setelah Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri. Ianya adalah pengetahuan umum bahawa Farhash adalah sekutu rapat Anwar Ibrahim dan juga bekas setiausaha politik beliau.

    Perlantikan Farhash untuk jawatan-jawatan besar ini sebaik sahaja selepas Anwar Ibrahim diangkat ke Pejabat Perdana Menteri adalah suatu yang bertentangan dengan prinsip tata-kelola yang baik didalam negara ini, dan adalah suatu perkara yang jijik dan dipandang serong. Mana pergi janji-janji yang dilaungkan oleh Pakatan Harapan untuk tata-kelola yang baik dan integriti dalam mentadbir negara? Perlantikan Farhash adalah bukti bahawa agenda “reformasi” yang dilaung-laungkan oleh PH dan Anwar sekian lama adalah bohong dan merupakan taktik politik untuk memperdaya pengundi.

    Kami menyeru Anwar Ibrahim untuk tidak terus membisu dalam isu jawatan-jawatan baru Farhash ini dan menjelaskan kepada rakyat bagaimana ia adalah konsisten kepada konsep reformasi dan tata kelola yang baik. Majlis Pimpinan Tertinggi PH, yang selama ini telah mencanangkan nilai-nilai ini untuk bertahun-tahun semasa menjadi pembangkang, juga wajib menjelaskan pendirian mereka atas jawatan-jawatan Farhash ini.

    Paling penting, apakah Anwar selaku Menteri Kewangan dan Perdana Menteri, akan memberitahu rakyat jika ada lagi perlantikan seperti ini, samada melibatkan Farhash atau sekutu-sekutu rapat Anwar yang lain, yang bakal diumumkan?

    Penulis adalah Ahli Parlimen Ketereh