Tag: FAMA

  • FAMA Jamin bekalan komoditi tidak terputus pada musim tengkujuh

    FAMA Jamin bekalan komoditi tidak terputus pada musim tengkujuh

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    PENDUDUK di Terengganu khususnya yang tinggal di kawasan ditenggelami banjir tidak perlu risau mengenai kekurangan bekalan dan harga barangan komoditi seperti sayur dan buah-buahan.

    Ini kerana bekalan tersebut dijamin tidak akan terputus disamping ia tetap dijual pada harga berpatutan.

    Begitulah jaminan diberikan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Terengganu kepada penduduk di negeri ini sekiranya banjir melanda pada musim tengkujuh kali ini.

    Menurut Pengarah FAMA Terengganu, Che Ghani Che Wan, sehingga ini pihaknya mempunyai pembekalan dan kelengkapan mencukupi bagi menyalurkan sayur dan buah-buahan
    dari Cameron Highlands ke Terengganu.

    Katanya, di Terenganu terdapat 12 pasar tani dan 140 ‘outlet’ peruncitan diusahakan oleh usahawan tempatan yang akan beroperasi seperti biasa walaupun pada musim tengkujuh.

    “Pihak FAMA
    akan terus bekerja sepenuh masa di sepanjang musim banjir untuk memastikan rakyat di negeri ini tidak terbeban akibat terjejas bekalan makanan menjelang musim banjir,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Walkabout Ke Pasar Tani Kuala Ping, Hulu Terengganu sempena Sambutan Ulang Tahun ke 56 FAMA, hari ini.

    Menurut Che Ghani, walaupun pengeluaran hasil pertanian dan produk makanan biasanya akan berkurangan pada musim banjir, namun beliau memberi jaminan bahawa harga yang ditetàpkan adalah berpatutan.

  • FAMA Kelantan belanja RM375,000 beli durian kampung elak lambakan

    FAMA Kelantan belanja RM375,000 beli durian kampung elak lambakan

    Oleh:Bernama

    LEMBAGA Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Kelantan membelanjakan RM375,000 untuk membeli 100 hingga 150 tan metrik buah durian kampung sekali gus menyelamatkan harga dan lambakan ‘raja’ buah tersebut di pasaran tahun ini.

    Pengarah FAMA Kelantan Wan Nora Wan Ahmad berkata pihaknya membeli pada harga RM2.50 sekilogram berbanding RM2 sekilogram yang ditawarkan di peringkat ladang.

    “Kelantan merupakan pengeluar durian kampung terbesar di negara ini malangnya harga pada musim ini jatuh merudum susulan prosedur operasi standard (SOP) Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang menyukarkan untuk dipasarkan ke negeri lain terutama di Pantai Barat.

    “Pembelian itu telah membantu 600 pemilik kebun durian di empat jajahan iaitu Jeli, Tanah Merah, Kuala Krai dan Pasir Puteh,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Pusat Pemprosesan Durian di Pejabat FAMA Machang, di sini hari ini.

    Mengulas lanjut, Wan Nora berkata pihaknya telah melantik ejen dalam kalangan pemilik kebun di empat jajahan itu bagi memudahkan mereka memasarkan terus ke FAMA tanpa melalui orang tengah yang mungkin cuba mengambil kesempatan.

    Wan Nora berkata durian yang dibeli itu dibawa ke pusat pemprosesan buah-buahan sejuk beku di Pejabat FAMA Machang yang telah mendapat pengiktirafan Amalan Pengilangan Baik (GMP), bagi menghasilkan tiga produk iaitu pes durian, tempoyak dan durian pulp (durian segar dibuang biji).

    “Produk berkenaan mendapat permintaan tinggi terutama daripada pengusaha makanan bagi dijadikan perisa dalam makanan seperti ais krim, kek dan sebagainya.

    “Produk yang dihasilkan turut mendapat permintaan dalam dan luar negara seperti dari China dan Singapura,” katanya.

    Sementara itu, Wan Nora berkata bagi memastikan kelancaran aktiviti pemasaran dan membantu pekebun sepanjang tempoh pandemik COVID-19 ini, FAMA Kelantan telah mewujudkan bilik gerakan yang beroperasi dari 8 pagi hingga 7 malam.

    “Pekebun durian boleh melayari portal FAMA atau menghubungi talian hotline 019-7476754,” katanya.- BERNAMA