Tag: FAM

  • ‘Angkara’ struktur pentas konsert, hanya 59,000 tiket separuh akhir Piala AFF dijual

    ‘Angkara’ struktur pentas konsert, hanya 59,000 tiket separuh akhir Piala AFF dijual

    HANYA 59,000 tiket dijual bagi aksi separuh akhir pertama Piala AFF 2022 antara skuad Harimau Malaya dengan Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu ini (7 Jan).

    Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Noor Azman Rahman berkata perkara itu berikutan 21,000 tempat duduk terpaksa ‘dikosongkan’ kerana dihalang oleh struktur pentas konsert Jay Chou yang sedang dalam proses pemasangan.

    FAM turut mengumumkan bahawa harga tiket perlawanan itu kekal seperti aksi peringkat kumpulan – RM30 (dewasa) dan RM5 (kanak-kanak 6-12 tahun) bagi tempat duduk terbuka, RM50 bagi tempat duduk Premium dan RM60 bagi tempat duduk Grandstand.

    “Situasi ini tidak dapat dielakkan. FAM dan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) telah berusaha sedaya upaya mencari jalan penyelesaian terbaik memastikan aksi skuad Harimau Malaya sepanjang kempen Piala AFF ini dilangsungkan di Stadium Nasional, berbanding jika ia diadakan di stadium lain yang berkapasiti lebih kecil.

    “Harga tiket RM30 bagi tempat duduk terbuka ini sama seperti harga tiket perlawanan separuh akhir, Malaysia lawan Thailand pada edisi 2018 dan adalah lebih rendah daripada harga tiket RM40 ketika perlawanan separuh akhir Malaysia lawan Vietnam pada 2014,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

    Konsert Jay Chou, artis terkemuka dari Taiwan, akan berlangsung pada 15 Jan di Stadium Nasional.

    Noor Azman berkata tiket bagi perlawanan itu hanya akan dijual secara dalam talian menerusi www.tickethotline.com.my bermula 3 petang Rabu, dengan tiada penjualan di kaunter.

    Selepas separuh akhir pertama di Bukit Jalil, skuad Harimau Malaya akan berlepas ke Thailand untuk aksi timbal balik menentang skuad Gajah Perang di Stadium Thammasat, Pathum Thani yang terletak di utara Bangkok, pada Selasa (10 Jan).

    Sementara itu, FAM turut menasihatkan penyokong supaya berhati-hati dengan pembelian tiket selain daripada secara dalam talian di www.tickethotline.com.my, berikutan terdapat penjualan tiket palsu bagi perlawanan menentang Singapura, malam tadi.

    “FAM berharap perkara sedemikian tidak akan berlaku pada perlawanan separuh akhir pertama ini dan tindakan keras akan diambil terhadap pelaku,” tegasnya.

    Malaysia mara ke separuh akhir sebagai naib juara Kumpulan B dengan sembilan mata, selepas menewaskan Singapura 4-1 semalam. Vietnam muncul juara kumpulan dengan 10 mata, manakala Singapura tersingkir apabila menduduki tempat ketiga dengan tujuh mata.

    Sekiranya berjaya menundukkan pasukan paling cemerlang, Thailand yang mempunyai enam gelaran, skuad Harimau Malaya akan bertemu pemenang antara Vietnam dengan Indonesia di pentas final pada 13 dan 16 Jan ini. – BERNAMA

  • Saya tak melarikan diri, kata Presiden FAM

    Saya tak melarikan diri, kata Presiden FAM

    PRESIDEN Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin akan menjawab segala kontroversi yang melanda badan induk bola sepak negara itu pada Jumaat ini.

    Hamidin berkata, beliau sedia untuk menjelaskan segala persoalan dan kritikan terhadap kepimpinannya susulan kemuncak kemerosotan prestasi pasukan negara pada kempen Kejuaraan Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2020, Disember lepas.

    Katanya, beliau juga tidak pernah bersembunyi selepas skuad Harimau Malaya bimbingan bekas Ketua Jurulatih Tan Cheng Hoe tersingkir seawal peringkat kumpulan pada kejohanan dwitahunan yang berlangsung di Singapura itu.

    “Saya tak nak jawab hari ini, saya akan jawab pada Jumaat. Saya mahu berita mengenai perkara ini dilaporkan.

    “Saya tak larikan diri, saya ada urusan keluarga di luar dan semalam baru potong gelang kuarantin. Saya bersedia untuk menjawab pada Jumaat, namun hari ini tolong lah fokus kepada majlis pecah tanah,” katanya pada sidang media selepas majlis pecah tanah ibu pejabat baharu FAM di Presint 5, Putrajaya, hari ini.

    Menurut jemputan media yang diterima Bernama, FAM akan mengadakan sidang media Mesyuarat Khas Pertama Jawatankuasa Eksekutif FAM bagi penggal 2021-2025 pada Jumaat ini.

    Sebelum ini, prestasi pasukan negara menjadi tumpuan peminat dan pengkritik bola sepak tempatan susulan kegagalan Malaysia selaku naib juara edisi 2018 melangkah ke peringkat separuh akhir kejuaraan Piala AFF 2020.

    Harapan untuk melihat pasukan negara sekurang-kurangnya menyamai pencapaian edisi terdahulu itu musnah selepas skuad bimbingan Cheng Hoe menamatkan saingan Kumpulan B di kedudukan ketiga di belakang musuh tradisi Indonesia dan juara bertahan Vietnam.

    Malaysia memulakan kempen dengan cemerlang apabila membenam Kemboja 3-1 dan Laos 4-0, namun tewas di tangan Vietnam 0-3 dan Indonesia 1-4.

    Berikutan kegagalan itu, Cheng Hoe mengambil keputusan melepaskan jawatan yang disandang sejak 2017, namun terdapat desakan supaya barisan kepimpinan tertinggi FAM turut mengambil tanggungjawab dengan melepaskan jawatan masing-masing.

    Sementara itu, Hamidin percaya sumbangan RM10 juta kerajaan kepada FAM dapat membantu usaha badan induk itu dalam menstabilkan semula industri bola sepak negara yang masih terkesan dengan impak COVID-19.

    Beliau berkata, FAM melalui tempoh yang sukar termasuk dari aspek kewangan apabila kehilangan beberapa penaja sejak pandemik itu bermula pada awal 2020.

    Menurut Hamidin, beliau menyuarakan mengenai perkara itu pada pertemuan kepimpinan FAM bersama Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika melakukan kunjungan hormat di Bangunan Parlimen pada November lepas.

    “Jadi itu (sumbangan) memang akan digunakan untuk FAM keseluruhannya dan pasukan kebangsaan. Saya akan bincang dengan Exco mengenai apa yang perlu dibuat.

    “Kita (FAM) pun sebelum ini kehilangan penaja dan kita tengah mencari penaja baharu, jadi sumbangan ini dapat membantu FAM untuk jalankan apa jua usaha kerana betapa sukarnya kita sejak 2020,” katanya. – BERNAMA