Tag: Fadhlina Sidek

  • Banjir: Penjadualan semula SPM 2022 bagi 533 calon 16 Mac – KPM

    Banjir: Penjadualan semula SPM 2022 bagi 533 calon 16 Mac – KPM

    PENJADUALAN semula peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 bagi 533 calon yang tidak dapat menduduki peperiksaan itu akibat banjir akan bermula 16 Mac ini, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

    Beliau berkata ia melibatkan 450 calon di Johor, Pahang (79) dan Sarawak (empat) bagi kertas mata pelajaran Ekonomi, Sains, Fizik dan Sains Rumah Tangga yang berlangsung pada 1 dan 2 Mac lepas.

    “Kita akan bermula pada 16 Mac, tetapi juga akan lihat dari semasa ke semasa khususnya persediaan logistik dan lain-lain yang terkait rapat. Kita berharap cuaca bertambah baik supaya tidak bertambah penjadualan semula dan kita boleh tumpu kepada yang terjejas tempoh hari sahaja,” katanya. 

    Fadhlina berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Gerakan Massa #terimakasihcikgu peringkat kebangsaan di sini hari ini.

    Beliau berkata 17 sekolah di Johor dan dua di Pahang terjejas banjir setakat ini, dan beliau akan ke Johor esok untuk meninjau sekolah yang terkesan supaya bantuan sewajarnya dapat diberikan selain menziarah guru yang terlibat bencana itu. 

    Menurutnya Kementerian Pendidikan (KPM) juga akan memberi tumpuan kepada reka bentuk sekolah yang hendak dibina dengan rekaan kalis bencana, khususnya di lokasi kerap berdepan bencana seperti banjir.

    Pada perkembangan lain, Fadhlina berkata KPM sedang melaksanakan beberapa tindakan bagi mengatasi masalah kekurangan guru khususnya di Sarawak sebelum sesi persekolahan baharu bermula pertengahan Mac ini. 

    Beliau berkata antaranya ialah soal penempatan guru yang sedang dilihat bersama antara Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Pkharuddin Ghazali dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP). 

    Pada majlis itu, Fadhlina juga mengumumkan tema Hari Guru tahun ini iaitu ‘Guru Insani Pemangkin Generasi MADANI’ yang akan disambut di Melaka. – BERNAMA 

  • KPM tetap tidak iktiraf UEC, bukan keutamaan, kata Fadhlina

    KPM tetap tidak iktiraf UEC, bukan keutamaan, kata Fadhlina

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) tetap tidak mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang dilaksanakan di sekolah menengah persendirian Cina (SMPC).

    Menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, malah melihat isu berbangkit tentang pengiktirafan UEC itu bukan keutamaan kementerian tersebut.

    Beliau berkata, pendirian teguh itu berlandaskan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan peruntukan Akta Pendidikan 1996 (Akta 550).

    “Sehingga kini KPM tidak mengiktiraf UEC yang dilaksanakan di SMPC dan KPM tidak melihat isu berbangkit tentang perkara itu sebagai keutamaan.

    “Pendirian ini berlandaskan kepada Dasar Pendidikan Kebangsaan dan peruntukan Akta Pendidikan 1996 yang sentiasa menjadi pegangan KPM,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, hari ini.

    Beliau menjawab soalan Tan Sri Abdul Hadi Awang (PN-Marang) yang mahu tahu pendirian KPM terhadap pengiktirafan UEC dan permohonan untuk menginstitusikan peruntukan kepada SMPC.

    Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, KPM hanya menyalurkan peruntukan kepada kategori institusi pendidikan kerajaan dan bantuan kerajaan sahaja.

    Dalam konteks itu, beliau memaklumkan, SMPC bukan sebahagian daripada institusi pendidikan dalam sistem pendidikan kebangsaan seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 16 Akta 550.

    “Oleh yang demikian, KPM tiada obligasi untuk memperuntukkan atau menginstitusikan sebarang sumbangan modal atau sumbangan bantuan penuh kepada SMPC,” jelas beliau, lapor UtusanTV.

  • Isu harga makanan: Pengusaha kantin sekolah perlu rujuk garis panduan

    Isu harga makanan: Pengusaha kantin sekolah perlu rujuk garis panduan

    PENGUSAHA kantin sekolah diminta merujuk kembali garis panduan ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) berhubung dakwaan kenaikan harga makanan di premis berkenaan baru-baru ini.

    Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, KPM sentiasa mengawal dan memantau operasi kantin termasuk penetapan harga makanan, memandangkan ia melibatkan pemegang taruh yang besar.

    “Sekolah dan kontraktor (pengusaha kantin) tertakluk dengan garis panduan tersebut. Jadi kalau ada dakwaan itu (harga mahal) mereka kena pergi kepada garis panduan yang telah dibuat.

    “Pemegang taruh untuk isu harga makanan ini besar, bukan saja dengan kontraktor kantin dan pihak sekolah, tapi juga KPM sebab nutrisi dan diet kanak-kanak kena tengok,” katanya kepada pemberita selepas melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Rusa di Kuala Terengganu, yang terjejas akibat banjir besar Disember lepas.

    Ditanya mengenai laporan rasmi berhubung isu itu, beliau berkata pihaknya akan mengumpul maklumat berkenaan jika mendapat aduan daripada mana-mana pihak.

    “Kalau ada aduan yang disifatkan sebagai mengganggu, sama ada memberi kesan kepada kontraktor kantin dan paling penting kepada kanak-kanak dan ibu bapa, kita minta kemukakan (aduan),” katanya.

    Baru-baru ini media melaporkan, harga makanan di kantin sekolah didakwa meningkat sehingga 50% pada sesi persekolahan baru-baru ini susulan peningkatan harga bahan mentah di pasaran.

    Sementara itu, Fadhlina berkata tafsiran kerugian secara keseluruhan bagi sekolah-sekolah terjejas akibat banjir di seluruh negara masih belum diperoleh KPM, namun peruntukan awal telah disalurkan kepada mana-mana sekolah yang teruk dan kritikal.

    Katanya, tahap kerosakan setiap sekolah di setiap negeri adalah berbeza justeru, peruntukan untuk proses penyelenggaraan juga adalah tidak sama.

    “Untuk SK Pulau Rusa ini misalnya, KPM memperuntukkan sebanyak RM150,000 untuk proses penyelenggaraan agar pelajar dapat belajar dengan selamat dan ceria,” katanya.

    Beliau berkata pihaknya sangat kagum dengan usaha pihak sekolah berkenaan yang melakukan kaedah ‘staging’ sebagai persediaan untuk menghadapi banjir.

    “Kaedah staging saya fikir sangat efektif untuk tangani isu banjir. Kaedah ini boleh disebar luas ke negeri-negeri lain yang juga menghadapi isu banjir,” katanya.

    Staging adalah kaedah penyediaan platform tinggi di sekolah untuk menempatkan aset-aset sekolah bagi mengurangkan risiko kerosakan harta benda. – BERNAMA

  • Sesi persekolahan penggal 3 bermula 1 Januari – Fadhlina

    Sesi persekolahan penggal 3 bermula 1 Januari – Fadhlina

    KALENDAR Akademik Penggal 3 Sesi 2022-2023 akan bermula pada 1 Januari 2023 bagi sekolah-sekolah dalam Kumpulan A.

    Bagi sekolah-sekolah dalam Kumpulan B pula akan memulakan sesi persekolahan pada 3 Januari 2023.

    Perkara itu dimaklumkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menerusi kenyataan di akaun media sosial beliau.

    Fadhlina Sidek

    “Kalendar Akademik Penggal 3 Sesi 2022-2023 akan bermula pada 1 Jan 2023 bagi sekolah-sekolah dalam Kumpulan A.

    “Manakala sekolah-sekolah dalam Kumpulan B akan memulakan sesi persekolahan pada 3 Januari 2023.

    “Saya ucapkan selamat kembali ke sekolah tidak lama lagi,” katanya hari ini.

    Berdasarkan infografik yang dikongsi, Kumpulan A adalah sekolah-sekolah yang berada di Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

    Bagi kumpulan B, sekolah di Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

    Sementara itu berdasarkan infografik berkenaan, cuti persekolahan bagi sekolah dalam kumpulan A bermula pada 17 Februari hingga 18 Mac 2023.

    Cuti persekolahan bagi sekolah dalam kumpulan B pula bermula pada 18 Februari hingga 19 Mac 2023.