Tag: Facebook

  • Lelaki dituduh hina raja, agama

    Lelaki dituduh hina raja, agama

    SEORANG lelaki hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini, gara-gara membuat hantaran menghina institusi raja dan agama di laman sosial Facebook.

    Bagaimanapun tertuduh, Prajiv Lionel Proctor, 39, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Maziah Joary Mohd Tajudin.

    Mengikut pertuduhan, Prajiv didapati secara sedar telah membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik dengan niat untuk menganiayai orang lain, yang telah dibaca di laman profil Facebook ‘Bantal Busuk’ dan kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 1 tengah hari di KM4 Bukit Piatu dalam daerah Melaka Tengah pada 29 Dis 2019.

    Prjajiv didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) Akta yang sama yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya N Sivashangari memohon agar mahkamah mengenakan ikat jamin sebanyak RM15,000.

    Namun peguam Tan Chow Teng yang mewakili Prajiv merayu agar sukarelawan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) itu dikenakan jaminan RM3,000 kerana beliau menghidapi kanser tiroid, kecelaruan obsesif kompulsif (OCD) dan masalah hiperaktif dan kekurangan tumpuan (ADHD) selain masih menjaga kedua-dua orang tuanya, serta tidak mempunyai pendapatan tetap.

    Hakim Maziah Joary kemudian membenarkan Prajiv diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan kes disebut semula pada 17 Jan 2022.- BERNAMA

  • Sebar berita tidak benar tentang vaksin, suri rumah didenda RM12,000

    Sebar berita tidak benar tentang vaksin, suri rumah didenda RM12,000

    PADAH menyebarkan berita tidak benar tentang vaksin menerusi hantaran video dalam aplikasi Facebook, seorang suri rumah hari ini didenda RM12,000 atau dipenjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

    Hakim M. M Edwin Paramjothy menjatuhkan hukuman itu ke atas Tengku Noor Azlin Wa Kembang Tengku Azizan, 46, selepas dia mengaku bersalah menyebarkan berita tidak benar melalui hantaran video bertajuk ‘Siapa yang dah daftar! Lelaki ini bongkar bahayanya vaksin COVID-19?’ dalam Facebook.

    Dia mengaku menyebarkan video berkenaan dengan niat untuk menyebabkan kebimbangan kepada orang awam melalui aplikasi Facebook dengan nama profil ‘Kak Siti Wakembang’ pada 11.44 malam, 25 Mei lepas. 

    Hantaran itu kemudian dibaca pada 8.30 pagi, 3 Jun di Kementerian Kesihatan (KKM) di Putrajaya dan pertuduhan mengikut Seksyen 4(1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No.2) 2021 yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

    Sebelum menjatuhkan hukuman, Edwin berkata kesalahan dilakukan Tengku Noor Azlin Wa Kembang berkemungkinan mendatangkan kegusaran kepada orang awam sekali gus membantutkan usaha kerajaan memerangi pandemik COVID-19.

    “Tempoh masa kesalahan dilakukan adalah pada masa kerajaan sedang bertungkus lumus dalam menjalankan program vaksinasi secara menyeluruh untuk membasmi penularan wabak COVID-19,” kata hakim itu.

    Tengku Noor Azlin Wa Kembang yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan atas alasan dia tidak bekerja dan tidak berniat untuk menjadikan video itu tular.

    “Saya mengaku bersalah…dalam kes ini niat saya hanyalah untuk mendapatkan komen sahabat-sahabat saya dan berikan pendapat mereka pada video itu,” katanya.

    Pengarah Pendakwaan Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Datin Kalmizah Salleh memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat umum kerana perbuatannya boleh mendatangkan kebimbangan kepada orang awam ketika negara masih berperang dengan pandemik COVID-19.- BERNAMA

  • Rugi RM46,000 diperdaya kenalan Facebook sertai pelaburan Forex

    Rugi RM46,000 diperdaya kenalan Facebook sertai pelaburan Forex

    PADAH mempercayai individu yang dikenali menerusi laman sosial Facebook, seorang wanita berusia 28 tahun di Butterworth, Pulau Pinang kerugian kira-kira RM46,000 akibat ditipu individu berkenaan.

    Wanita yang bekerja sebagai jurujual itu mula terjerat selepas berkenalan dengan seorang individu di laman sosial terbabit pada pertengahan Julai lalu yang kemudian mengajaknya menyertai pelaburan tukaran wang asing.

    Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor, mangsa dan suspek telah berhubung melalui aplikasi Messenger di Facebook sebelum bertukar-tukar nombor telefon dan berhubung menerusi aplikasi WhatsApp.

    Katanya, mangsa dipujuk menyertai pelaburan Forex yang akan didagangkan sendiri oleh suspek melalui aplikasi Cainvest dan dijanjikan keuntungan tinggi beserta pulangan modal.

    “Wanita tersebut yang sudah meletakkan kepercayaan kepada kenalan Facebooknya itu membuat sembilan transaksi pindahan wang berjumlah RM45,979 ke dalam lima akaun bank tempatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Noorzainy berkata, mangsa bagaimanapun menyedari ditipu selepas suspek gagal dihubungi.

    Malah ujar beliau, aplikasi Cainvest yang digunakan untuk melihat aktiviti dagangan tukaran wang asing juga telah dinyah aktif.

    Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

  • Penyanyi lagu asli sempat muat naik status minta maaf sebelum meninggal dunia akibat Covid-19

    Penyanyi lagu asli sempat muat naik status minta maaf sebelum meninggal dunia akibat Covid-19

    PENYANYI lagu-lagu asli, Muhammad Hanizam Azman sempat memuatnaik status terakhir di akaun Facebooknya sebelum meninggal dunia akibat Covid-19, Jumaat lalu.

    Lebih menyedihkan, Allahyarham, 30, memuat naik status itu kira-kira pukul 2 petang, hanya empat jam sebelum menghembuskan nafas terakhir.

    Muhammad Hanizam Azman

    “Saya akan ditidurkan, maafkan semua,” tulis status terakhir itu.

    Allahyarham yang merupakan pemenang tempat ketiga pertandingan Bintang Asli Remaja Kebangsaan pada 2009 meninggal dunia di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani.

    Muhammad Hanizam juga pernah dinobat sebagai johan Bintang Asli Remaja anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKNN) Kedah pada 2014.

    Beberapa jam selepas meninggal dunia, masih ramai rakan dan kenalan yang belum mengetahui tentang pemergian Allahyarham, meninggalkan komen mendoakan kesembuhannya.

    Berdasarkan status di laman sosial Muhammad Hanizam, Allahyarham serta beberapa ahli keluarga disahkan positif Covid-19 pada 7 Ogos lalu.

    Allahyarham menetap di Kuala Muda dan mengusahakan kedai makan dan pada masa sama menerima tawaran mengadakan persembahan.

    Muhammad Hanizam dimasukkan ke hospital tiga hari lalu selepas mengalami kesukaran bernafas.

  • Facebook padam ratusan akaun kempen antivaksin Covid-19

    Facebook padam ratusan akaun kempen antivaksin Covid-19

    FACEBOOK memadam ratusan akaun yang didakwa terlibat dalam kempen antivaksin yang dikendalikan oleh Rusia.

    BBC melaporkan, syarikat itu berkata, rangkaian akaun itu menyasarkan India, Amerika Latin serta Amerika Syarikat (AS).

    Katanya, penggerak kempen itu berusaha untuk merekrut individu berpengaruh atau ‘influencer’ bagi menyebarkan berita palsu dalam usaha menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap vaksin Covid-19.

    Dalam laporan terbaharunya, Facebook mendapati terdapat hubungan antara rangkaian dan kempen itu dengan agensi pemasaran influencer, Fazze.

    Agensi itu dilaporkan sebahagian daripada syarikat yang berpangkalan di Rusia bernama Adnow.

    Bulan lalu, siasatan BBC pada Mei tahun ini melaporkan, influencer ditawarkan sejumlah wang oleh Fazze untuk menyebarkan dakwaan palsu mengenai risiko yang berkaitan dengan vaksin Pfizer.

    Menurut Facebook, ia adalah gelombang kedua percubaan untuk memburukkan vaksin dari Barat.

    Siasatan BBC pada November 2020, rangkaian yang sama berusaha untuk memburukkan vaksin AstraZeneca dengan mendakwa ia berbahaya kerana menggunakan adenovirus daripada sampel chimpanzee.