Tag: Exco Pahang

  • Exco Pahang: Wan Rosdy pegang lapan portfolio

    Exco Pahang: Wan Rosdy pegang lapan portfolio

    MENTERI Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail memegang lapan portfolio dalam pentadbiran kerajaan negeri yang diumumkan pagi tadi.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai itu bertanggungjawab dalam portfolio perancangan, kewangan, tanah, sumber asli, tenaga dan air.

    Beliau pada masa sama turut memegang portfolio berkaitan pembangunan ekonomi, perladangan dan komoditi.

    Anak kepada bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak, Datuk Mohd Nizar pula diberi tanggungjawab menjaga portfolio pelaburan, perindustrian, sains, teknologi dan inovasi.

    ADUN Benta, Datuk Seri Ir Mohd Soffi Abd Razak pula memegang portfolio pertanian, industri asas tani, bioteknologi dan pendidikan.

    Selain itu, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad yang juga Adun Kerdau memegang portfolio hal ehwal agama Islam, pembangunan luar bandar dan hal ehwal Orang Asli.

    ADUN Bebar, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff pula memegang portfolio kerja raya, pengangkutan dan kesihatan.

    Portfolio hal ehwal felda, koperasi dan usahawan pula dipegang ADUN Muadzam Shah, Ir Razali Kassim manakala Adun Pelangai, Datuk Seri Johari Harun pula memegang portfolio kerajaan tempatan, perumahan, alam sekitar dan teknologi hijau.

    ADUN Guai dan ADUN Dong yang baru menjadi wakil rakyat untuk penggal pertama, Datuk Sabariah Saidan dan Mohd Fadzli Mohamad Kamal turut tersenarai sebagai exco dalam barisan kerajaan Pahang.

    Sabariah memegang portfolio kebajikan masyarakat, pembangunan wanita dan keluarga, manakala Mohd Fadzli pula memegang portfolio komunikasi dan multimedia, belia, sukan dan badan bukan kerajaan.

    Dua ADUN Pakatan Harapan (PH) yang turut dilantik sebagai exco ialah ADUN Teruntum, Sim Choon Siang dan ADUN Triang, Leong Yu Man.

    Sim diamanahkan memegang portfolio hal ehwal pengguna dan sumber manusia, manakala Leong pula memegang portfolio perpaduan, pelancongan dan kebudayaan.

    Wan Rosdy dalam sidang media selepas pengumuman barisan exco dan portfolio itu berharap semua pihak dapat mengetepikan sentimen politik dan perbezaan ideologi supaya dapat bekerja sebagai satu pasukan yang mantap.

    “Saya harap semua agenda pembangunan negeri dan kebajikan rakyat dapat terus dilaksanakan dengan cemerlang.

    “Laksanakanlah segala tugas yang diberikan dengan penuh rasa tanggungjawab dan amanah untuk menjadikan Pahang sebuah negeri maju dapat dicapai,” katanya, lapor Malaysiakini.

    Wan Rosdy turut meminta rakyat Pahang memberi peluang dan kepercayaan kepada kerajaan Pahang yang baru dibentuk ini demi kestabilan dan kemakmuran negeri.

    “Sudah sampai masanya untuk kita membuka lembaran baharu ke arah politik matang serta meraikan perbezaan antara kita dalam suasana kepelbagaian kaum dan agama,” katanya lagi.

    Pada PRU15 lalu, BN memperoleh 16 kerusi dewan undangan negeri (DUN) manakala Perikatan Nasional (PN) pula mendapat 17 kerusi dan PH memenangi lapan kerusi DUN.

    Bagaimanapun, kerajaan Pahang dapat dibentuk selepas BN bersetuju untuk menjalinkan kerjasama dengan PH.

    BN mendapat kerusi ke-17 mereka selepas menang dalam pilihan raya kecil (PRK) Tioman pada 7 Disember lalu.

  • Anak Najib, 2 ADUN PH antara 10 exco Pahang angkat sumpah

    Anak Najib, 2 ADUN PH antara 10 exco Pahang angkat sumpah

    ANAK bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak, Datuk Mohd Nizar, adalah seorang daripada 10 wakil rakyat Pahang yang mengangkat sumpah sebagai exco negeri hari ini.

    Lapor Malaysiakini, Mohd Nizar dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Peramu Jaya dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) lalu.

    Selain itu, dua ADUN Pakatan Harapan (PH) turut mengangkat sumpah di Istana Abu Bakar, Pekan, petang ini.

    Mereka ialah Adun Teruntum yang juga wakil PKR, Sim Chon Siang, dan Adun Triang (DAP), Leong Yu Man.

    Sim adalah Adun Teruntum untuk penggal ketiga manakala Yu Man yang juga anak pengerusi DAP Pahang, Leong Ngah Ngah, pula dipilih sebagai Adun Triang sejak 2013.

    Dalam pada itu, antara muka lama yang dikekalkan ialah ADUN Benta, Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak; Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad (Kerdau) dan Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff (Bebar).

    Muka baru BN yang disenaraikan dalam exco kerajaan Pahang pula ialah ADUN Muadzam Shah, Razali Kassim; Datuk Seri Mohd Johari Harun (Pelangai) dan Datuk Sabariah Saidan (Guai).

    Mohd Johari dan Sabariah adalah ADUN penggal pertama.

    Turut dilantik sebagai exco ialah bekas setiausaha akhbar menteri besar Pahang, Mohd Fadzli Mohamad Kamal yang juga ADUN Dong.

    Seorang bekas exco digugurkan dalam senarai walaupun turut menang dalam PRU baru-baru ini iaitu ADUN Batu Talam, Abdul Aziz Mat Kiram.

    Istiadat angkat sumpah berlangsung di hadapan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah di Balairung Seri Istana Abu Bakar bermula pukul 3.05 petang tadi.

    Turut hadir pengerusi PH Pahang, Datuk Seri Amirudin Shari yang juga menteri besar Selangor.