Tag: Exco Melaka

  • ‘Saya tak pernah beri rasuah seks’, kata Rais

    ‘Saya tak pernah beri rasuah seks’, kata Rais

    TIMBALAN Pengerusi UMNO Melaka, Datuk Rais Yasin menyifatkan video rasuah seks tular yang dikaitkan dengan beliau sebagai satu yang direka oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk menjatuhkan karier politiknya.

    Beliau yang juga Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana berkata, ia bukan pertama kali tular pada Syawal ini, namun telah ditularkan ketika tempoh pemilihan UMNO pada Mac lalu.

    Jelas beliau, ketika itu dia tidak memikirkan mengenai video fitnah tersebut kerana mahu memberi fokus kepada pemilihan, sebelum akhirnya beliau menang jawatan Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu seterusnya dilantik sebagai Timbalan Pengerusi UMNO negeri.

    Namun tegasnya, beliau tidak pernah memberikan rasuah seks kepada mana-mana individu dan mengakui ‘seram’ melihat perbualan WhatsApp seperti yang disebarkan.

    “Mana-mana yang mengenali saya, kawan, teman rapat, saya yakin mereka tahu siapa diri saya.

    “Saya harap kita hentikan polemik politik fitnah yang tidak baik ini supaya kita boleh fokus, siapa yang menang bantulah rakyat, buatlah kerja, yang kalah tidak kalah selamanya,” katanya menurut laporan Sinar Harian.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika membuat tinjauan di Pasar Besar Bachang, Melaka hari ini.

    Pada soalan sama ada beliau akan mengambil tindakan terhadap individu yang menyebabkan fitnah tersebut, Rais yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput setakat ini belum membuat sebarang laporan polis.

    Namun tegasnya, beliau bersedia untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa sekiranya dipanggil untuk membantu siasatan berhubung kes itu.

    “Saya sedang meneliti dan melihat bagaimana untuk saya mempertahankan diri, maruah saya dan keluarga dalam masa sama menginsafi diri supaya lebih berhati-hati,” katanya.

    Katanya, sebagai Exco kanan yang memegang portfolio besar, beliau perlu fokus terhadap tanggungjawab dan amanah yang telah diberikan dan tidak boleh terlalu memikirkan isu yang tidak berkaitan dengan rakyat.

    “Saya tak mahu ambil pusing, fokus saya meneruskan kerja-kerja saya dalam negeri Melaka,” katanya lagi.

  • SPRM didesak siasat dakwaan rasuah seks babit Exco Melaka

    SPRM didesak siasat dakwaan rasuah seks babit Exco Melaka

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) didesak menyiasat berhubung dakwaan rasuah seks membabitkan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), kata Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Melaka, Mohd Zamri Abu Bakar.

    Dakwanya, terdapat banyak bukti didedahkan di Facebook mengaitkan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin membayar sehingga RM15,000 sebulan bagi mendapatkan khidmat seks daripada seorang wanita.

    Beliau mendakwa, bukti gambar, cetakan skrin telefon dan video yang mengaitkan Exco itu dengan skandal rasuah seks itu disiarkan bermula 25 April lalu di Facebook.

    “Bukti-bukti yang dimuat naik menunjukkan Exco terbabit punya hubungan dengan seorang perempuan yang menawarkan khidmat seks bagi mendapat bayaran.

    “Exco itu dikehendaki membayar sehingga RM15,000 sebulan kerana khidmat seks yang diberikan,” katanya, menurut laporan Harian Metro.

    Beliau menyatakannya kepada media selepas menyerahkan laporan di Pejabat SPRM Melaka, hari ini.

    Mohd Zamri berkata, bukti itu juga jelas menunjukkan tindakan kedua-dua watak wanita dan Exco terbabit masing-masing boleh disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 372(1)(f) dan 372(B) Kanun Keseksaan.

    “Dalam pendedahan itu jelas wujud elemen rasuah yang sangat besar apabila wanita itu dikatakan sudahpun memberikan khidmat seks bagi tujuan mendapatkan projek untuk ‘uncle’nya dan watak yang dikatakan Exco itu turut didakwa berjanji memberikan projek demi mendapatkan layanan seks.

    “Ini jelas menyalahi Seksyen 16 dan 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 iaitu meminta/menerima rasuah dan memberi suapan (rasuah seks).

    “Selain itu, salah guna kuasa mengikut Seksyen 23 ASPRM 2009 iaitu menggunakan kedudukan untuk mendapatkan rasuah (layanan seks) dengan menawarkan projek kepada pihak wanita itu,” katanya.

    Beliau berkata, pendedahan skandal rasuah seks itu umpama mencurah garam ke luka rakyat yang hidup dalam keadaan sangat tertekan dengan kos kehidupan.

    Justeru pihaknya, mendesak SPRM membuka kertas siasatan dan memanggil kesemua watak iaitu individu yang membuat pendedahan serta wanita dan Exco yang dimaksudkan.

    Sementara itu, Mohd Zamri berkata, jawapan Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang disiarkan media sangat mengecewakan apabila tidak mahu menafikan perkara itu terjadi atau tidak malah menyifatkan ia fitnah yang boleh dikenakan kepada sesiapa saja.

    “Maka timbul persoalan adakah Kerajaan Melaka hari ini tidak kisah mengenai integriti termasuk wujud rasuah seks tetapi akan terus membela dan melindungi pelaku?

    “Semua sangat jelas dan jika SPRM pun gagal bertindak maka sesuatu sangat tidak kena sedang berlaku,” katanya.