Tag: Exco

  • SPRM panggil semua Exco kerajaan negeri Kedah beri keterangan

    SPRM panggil semua Exco kerajaan negeri Kedah beri keterangan

    Oleh RIZQI ZABIDI

    KESEMUA Exco Kerajaan Negeri Kedah dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia bagi memberi keterangan berhubung isu yang sedang disiasat oleh agensi berkenaan.

    Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, sebahagian daripada exco tersebut sudah pun memberi keterangan hari ini manakala selebihnya akan dipanggil esok.

    Bagaimanapun katanya, setakat ini beliau belum dipanggil berbuat demikian.

    “Mungkin selepas selesai semua exco barulah saya dipanggil. Saya pun hairan sebab tak pernah lagi setiap exco dipanggil untuk mengesahkan minit mesyuarat.

    “Mereka beri keterangan di Alor Setar dengan sebahagian dipanggil hari ini dan selebihnya esok,” katanya dalam sidang akhbar sempena Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Kumpulan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah Bagi Tahun Kewangan 2022 dan 2023 di Wisma Darul Aman di Alor Setar.

    Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki sebelum ini memaklumkan, Muhammad Sanusi akan dipanggil pihaknya untuk dirakamkan percakapan berhubung isu kecurian unsur nadir bumi (REE) di Kedah.

    Menurut Azam, Muhammad Sanusi selain Muhammad Sanusi, beberapa lagi individu akan dipanggil bagi memberi keterangan berhubung perkara itu.

    Dalam pada itu Muhammad Sanusi mendakwa, beliau langsung tidak pernah menuduh pihak polis terlibat dalam komplot untuk mengenakannya sebelum ini.

    Menurutnya, beliau tidak mahu bergaduh dengan kakitangan awam dan kesemua mereka sama ada di peringkat Persekutuan atau negeri, dianggap sebagai rakan-rakannya.

    “Saya bukan maksudkan polis, yang perasan itu kenapa? Saya tak mahu gaduh dengan kakitangan awam kerana semua kakitangan awam negeri dan Persekutuan adalah rakan saya.

    “Mereka bekerja atas arahan am, mengikut bidang kuasa masing-masing. Maka bekerjalah ikut perkara itu dan jangan ikut arahan elit politik, demi kepentingan politik kerana itu bahaya untuk negara serta profesion mereka.

    “Buatlah kesimpulan sendiri (Siapa merancang komplot). Siapa dapat untung, dialah yang rancang,” katanya.

    Beliau mendakwa, kejadian letupan melibatkan sebuah kabin kontena yang dijadikan stor di kediaman rasmi Menteri Besar, Seri Mentaloon pada Oktober tahun lalu, merupakan sebahagian daripada komplot tersebut.

    “Kejadian stor dibom itu adalah sebahagian daripada komplot ini. Kemudian kerajaan bertukar dan saya dihalang menghadiri Majlis-Majlis Mesyuarat Kerajaan Persekutuan tetapi disebabkan saya pandai serta riuh, terpaksalah saya dibenarkan hadir.

    “Sekarang mereka itu bersama (pihak membuat letupan dan pihak berkomplot). Saya nak jawab kepada polis sekejap lagi kerana katanya sebentar lagi ada pihak polis mahu ambil keterangan saya, seolah-olah tumpuan kepada saya berlebihan dan sebab itulah orang kesian kepada saya,” katanya.

  • Enam ADUN angkat sumpah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Perlis

    Enam ADUN angkat sumpah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Perlis

    ENAM Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perlis  hari ini mengangkat sumpah jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri (Exco) di hadapan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di Istana Arau, di sini hari ini.

    Mereka terdiri daripada empat ADUN PAS dan dua daripada Bersatu yang telah diperkenan oleh Tuanku Syed Sirajuddin.

    Berangkat sama pada majlis berkenaan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

    Kesemua mereka kemudian menandatangani surat pelantikan dengan disaksikan Ketua Hakim Mahkamah Tinggi Kangar Dr Arik Sanusi Yeop Johari dan Ketua Hakim Syarie Perlis Jaidi Ahmad.

    Pada Selasa lepas, ADUN Sanglang Mohd Shukri Ramli mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Perlis baharu di hadapan Tuanku Syed Sirajuddin.

    PN berjaya membentuk kerajaan negeri selepas menang 14 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) selain menyapu bersih tiga kerusi Parlimen iaitu Padang Besar, Arau dan Kangar pada Pilihan Raya Umum ke-15.

    Berikut senarai penuh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis:

    1.Muhammad Azmir Azizan (PAS) DUN Santan

    2.Fakhrul Anwar Ismail (PAS) DUN Bintong

    3.Izizam Ibrahim (Bersatu) DUN TitiTinggi

    4.Megat Hashirat Hassan (Bersatu) Pauh

    5.Wan Badariah Wan Saad  (PAS) DUN Mata Ayer

    6.Razali Saad  (PAS) Simpang Empat

    – BERNAMA

  • Cikgu Shukri mulakan tugas sebagai MB Perlis baharu

    Cikgu Shukri mulakan tugas sebagai MB Perlis baharu

    AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang, Mohd Shukri Ramli memulakan tugas rasmi sebagai Menteri Besar Perlis yang baharu hari ini.

    Mohd Shukri, 61, tiba di Kompleks Dewan Undangan Negeri Perlis di sini dan disambut Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad serta pegawai kanan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis.

    Beliau kemudian mengimbas cap jari pada perakam waktu di pintu masuk pejabatnya pukul 9 pagi.

    Mohd Shukri yang mesra dengan panggilan ‘Cikgu Shukri’ berkata beliau akan berusaha menjalankan tugasnya dengan baik demi rakyat di negeri ini.

    “Ini merupakan pengalaman baharu…bermulalah dunia baharu setelah lama tidak masuk pejabat, saya akan menyesuaikan diri dengan rutin ini setelah lama bersara sebagai guru,” katanya kepada pemberita di sini.

    Dalam perkembangan lain, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis itu berkata beliau telah menghantar nama barisan Exco Kerajaan Negeri Perlis kepada PN Pusat semalam.

    “Kita tunggu lampu hijau daripada PN Pusat dahulu untuk buat keputusan,” kata ADUN Sanglang itu.

    Majlis Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis akan diadakan di Istana Arau pada petang Jumaat ini (25 Nov).

    Mohd Shukri yang juga Pesuruhjaya PAS Perlis mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar di hadapan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di Istana Arau semalam.

    PN berjaya membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 14 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri selain menyapu bersih tiga kerusi Parlimen iaitu Padang Besar, Arau dan Kangar pada Pilihan Raya Umum ke-15. – BERNAMA