Tag: England

  • Tunjuk perasaan ganggu perlawanan Everton vs Newcastle

    Tunjuk perasaan ganggu perlawanan Everton vs Newcastle

    PERLAWANAN Liga Perdana Inggeris antara Everton dan Newcastle United pada Khamis terpaksa dihentikan seketika gara-gara insiden tunjuk perasaan.

    Seorang pemuda yang memakai baju oren dengan perkataan “Just Stop Oil” bertindak menceroboh padang bola dan mengikat lehernya pada tiang gol menggunakan pengikat kabel ketika minit ke-49 perlawanan, lapor Agensi Anadolu.

    Perlawanan disambung semula lapan minit kemudian selepas kabel itu berjaya dipotong.

    Seorang lagi penunjuk perasaan dari kumpulan sama cuba melakukan aksi serupa ketika perlawanan Liverpool menentang Arsenal pada Rabu tetapi berjaya dihalang pegawai bertugas.

    Kumpulan penunjuk perasaan yang digelar “Just Stop Oil” membantah penerokaan bahan api fosil baharu United Kingdom di Laut Utara.

    Everton, berjaya menewaskan Newcastle United 1-0 hasil jaringan lewat Alex Iwobi ketika waktu kecederaan. – BERNAMA

  • England tawar vaksinasi Covid-19 remaja 12-15 tahun

    England tawar vaksinasi Covid-19 remaja 12-15 tahun

    SEMUA remaja berusia 12 hingga 15 tahun di England akan diberikan vaksin Covid-19 selepas penasihat perubatan tertinggi negara itu menyatakan kanak-kanak akan mendapat manfaat daripada sedikit gangguan dalam pendidikan mereka.

    Kerajaan Britain lapor agensi berita Reuters mengesahkan suntikan itu akan diperluaskan kepada semua kanak-kanak berusia 12-15 tahun selepas sokongan sebulat suara oleh Ketua Pegawai Perubatan (CMO) dari empat negara di United Kingdom (UK).

    “Saya telah menerima saranan daripada CMO untuk memperluaskan vaksinasi ke atas mereka berusia 12-15 tahun bagi melindungi remaja daripada dijangkiti Covid-19, mengurangkan jangkitan di sekolah dan memastikan pelajar kekal berada di kelas,” kata Menteri Kesihatan, Sajid Javid dalam satu kenyataan.

    Pelancaran vaksinasi di England akan bermula minggu depan manakala Scotland, Wales dan Ireland Utara menetapkan polisi kesihatan sendiri walaupun setiap kerajaan menerima nasihat yang sama daripada ketua pegawai perubatan masing-masing.

    CMO menyarankan remaja 12 hingga 15 tahun di Britain mendapatkan dos pertama vaksin Pfizer-BioNTech selepas jawatankuasa bersama vaksinasi dan imunisasi (JCVI) awal bulan ini memutuskan untuk tidak menyokong cadangan tersebut.

    Remaja yang mempunyai masalah kesihatan sebelum ini telah disarankan mengambil vaksin Covid-19.

    Amerika Syarikat (AS), Israel dan beberapa negara Eropah lain telah memulakan vaksinasi kepada remaja dengan lebih meluas.

    Terdapat lebih daripada 134,000 kematian akibat Covid-19 di Britain dengan pemberian vaksinasi mula perlahan setelah lebih 81 peratus orang berumur 16 tahun ke atas telah lengkap dua dos vaksin.

    Sementara itu, Ketua Pegawai Perubatan England, Chris Whitty berkata, vaksinasi remaja dapat mengelakkan gangguan pendidikan.

    “Kami percaya vaksinasi penting dan mungkin membantu dalam mengurangkan impak kesihatan awam dari gangguan pendidikan,” katanya.

    Menurut CMO, dos kedua tidak akan diberikan kepada kumpulan umur itu sehingga sekurang-kurangnya musim bunga nanti kerana masih menunggu lebih banyak data dari seluruh dunia.